NEGARA kita tidak terkecuali daripada ancaman kemerosotan ekonomi yang teruk pada tahun depan walaupun mungkin tidak seburuk penguncupan 5.6 peratus pada 2020 akibat pandemik Covid-19.
Ekonomi Malaysia mulai pulih tahun lalu pada kadar 3.1 peratus dan semakin kukuh tahun ini dengan ramalan pertumbuhan 6.4 peratus.
Ia adalah perangkaan Bank Dunia. Tahun depan, Bank Dunia menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia berkembang pada kadar 4.2 peratus.
Semua agensi utama ekonomi dan kewangan global seperti Bank Dunia, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Pertumbuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meramalkan kadar pertumbahan rendah pada tahun depan.
Sebenarnya kesan awal sudah pun mula kita rasa dalam bentuk harga barang yang semakin meningkat, kadar pinjaman semakin tinggi dan gangguan bekalan barang-barang pengguna.
Kita sudah tahu puncanya seperti perang Rusia-Ukraine, kesan gangguan rantaian pembekalan global, kadar inflasi lebih tinggi daripada jangkaan di Amerika Syarikat (AS) dan penularan semula Covid-19 di China.
OECD yang menggabungkan 38 buah negara termaju di dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia akan merosot daripada jangkaan 3.1 peratus tahun ini kepada 2.2 peratus tahun depan.
Apa yang berlaku sekarang menunjukkan ekonomi AS, Eropah dan Jepun bukan lagi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dunia.
Sebaliknya, mereka sendiri mula bergantung kepada China dan negara membangun yang besar seperti Mexico, Indonesia, India serta negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat.
Setelah membelanjakan banyak wang dalam masa tiga tahun lalu bagi menangani kesan Covid-19 ke atas ekonomi dan membayar balik hutang, kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai banyak pilihan dari segi dasar dan duit, melainkan berhutang dengan banyak.
KERING SUMBER KEWANGAN
Prospek kesejahteraan rakyat jelata amat muram kecuali kerajaan dapat menambah kadar guna tenaga, memperbaiki gaji dan pendapatan, menjamin kecukupan makanan serta mengawal harga.
Banyak isi rumah, hatta dalam kategori M40 sudah kekeringan sumber kewangan apabila kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kira-kira RM155 bilion.
Dalam kaitan itu, pelantikan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican sebagai ketua penasihat ekonomi dan pembentukan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) adalah menggalakkan. Hassan dan pasukannya memberikan perkhidmatan percuma.
Natijahnya, Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak akan dapat menyusuri semula jalan mudah apabila beliau menjadi Menteri Kewangan dalam pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991.
Kewangan negara diserahkan kepadanya di atas 'dulang perak' oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin yang membersihkan kewangan kerajaan dengan membayar balik lebih awal hutang dan memulihkan ekonomi daripada krisis tahun 1980-an.
Pentadbiran dan pengurusan ekonomi bukan 'forte' Anwar. Malah, boleh dikatakan beliau kurang minat dan kesabaran terhadap nitty gritty ekonomi serta kewangan.
Untuk itu, beliau memerlukan tunjuk ajar dan bantuan anggota kabinet yang faham ekonomi serta kewangan, penasihat seperti Hassan, perkhidmatan awam, agensi-agensi ekonomi awam dan persatuan-persatuan perniagaan.
Anwar dilihat lebih berminat menjalinkan rangkaian antarabangsa dan keintelektualan. Itulah kekuatan beliau.
Tidak salah tetapi sebagai Perdana Menteri, menjamin dapur rakyat jelata berasap adalah lebih penting daripada pidato berapi-api mengenai masyarakat madani.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca