PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berakhir dengan keadaan luar biasa dan boleh dianggap sebagai satu tsunami politik Melayu yang belum pernah tercatat dalam sejarah negara. Tidak pernah orang Melayu menghumban UMNO begitu dahsyat... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) telah berakhir dengan keadaan luar biasa dan boleh dianggap sebagai satu tsunami politik Melayu yang belum pernah tercatat dalam sejarah negara.

Tidak pernah orang Melayu menghumban UMNO begitu dahsyat sekali. Barisan Nasional (BN) hanya mampu memenangi 30 kerusi, manakala UMNO sendiri hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Jika sebelum ini Perikatan Nasional (PN) dianggap hanya mampu menang di Kelantan dan Terengganu, namun kini ia telah melebarkan pengaruh di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pahang, Melaka, Johor serta Sabah. PN mendapat 73 kerusi Parlimen.

UMNO gagal menang walau satu pun kerusi Parlimen di Perlis dan Kedah yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian kawasan tradisi parti itu.

UMNO kehilangan kerusi tradisi di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang kepada PN. Parti tersebut juga gagal merampas kerusi-kerusi yang mereka kecam sebagai 'katak' kerana melompat meninggalkan UMNO selepas PRU14.

Tsunami pengundi Melayu sangat jelas apabila PN merampas kawasan Permatang Pauh yang selama berdekad menjadi kubu kuat keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di kebanyakan kawasan dimenangi PH, PN mendapat undi kedua terbanyak, berbanding BN.

Daripada sebuah konsortium politik yang tidak beri banyak peluang, PN kini mewakili lebih separuh kerusi Melayu Islam.

Pasca PRU15 menyaksikan UMNO membuat keputusan drastik menolak kerjasama dengan PN. Mereka memilih untuk bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan DAP.

Bagi elit politik UMNO, kerjasama itu adalah keputusan taktikal untuk merampas kembali kerusi-kerusi yang kalah kepada PN pada PRU15. Hanya masa akan menentukan sama ada kerjasama tersebut satu taktikal bijak atau satu lagi harakiri seperti sebelum PRU15.

KORBAN KERUSI TRADISI

Sebelum PRU15, UMNO menolak sebarang kerjasama dengan PN walaupun diberi kerusi lebih berbanding Bersatu dan Pas.

Mereka bersedia bekerjasama dengan Pas, namun tidak sanggup mengorbankan kerusi-kerusi tradisi yang kalah/lompat kepada Bersatu.

UMNO yakin mereka sahaja mampu memenangi lebih 80 kerusi. Keyakinan kepimpinan UMNO itu berasaskan pandangan orang Melayu aliran sederhana dan nasionalis hanya akan menyokong sama ada UMNO atau PKR, manakala yang lebih cenderung kepada aliran gerakan Islam akan memilih Pas serta Amanah. Mereka beranggapan Bersatu akan kalah teruk.

Ternyata pemikiran kuno kepimpinan UMNO yang membuat strategi itu tidak sama dengan anak muda Melayu yang pertama kali mengundi.

Rupa-rupanya kumpulan itu lebih sofistikated dan memahami politik melangkaui stigma garis parti serta jasa politik.

Mereka nampak UMNO tidak berupaya menyelesaikan isu kepimpinan dan kekal dengan budaya feudal dalam parti yang menginstitusikan kepimpinan melangkaui batas-batas rasionaliti politik baharu.

Justeru, pada PRU15, mereka beramai-ramai turun memenangkan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun UMNO berhempas pulas menafikan satu undi untuk BN adalah satu undi untuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ternyata pasca PRU15, tanggapan anak muda Melayu menjadi realiti.

Kini Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman beberapa hari lagi akan menjadi antara salah satu titik ‘turning points’ politik Melayu dalam masa beberapa bulan akan datang.

Di atas kertas dan berdasarkan pola pengundian PRU14, BN dengan dukungan PH boleh memenangi PRK tersebut dengan selesa.

Apatah lagi, calonnya merupakan EXCO kerajaan negeri Pahang penggal lalu dan BN telah kembali menjadi kerajaan negeri.

Namun, andainya PN memenangi DUN itu dengan majoriti agak signifikan, ia akan mencerminkan protes pengundi Melayu terhadap keputusan UMNO bekerjasama dengan DAP.

UMNO mungkin akan menjadi seperti Bersatu dalam kerajaan PH yang lalu – ditolak orang Melayu.

Dalam keadaan itu, ia perlu membuat keputusan sama ada mahu melakukan perubahan besar dalam kepimpinan parti atau mengekalkan kepimpinan yang ada dalam dimensi politik baharu.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca