SHAH ALAM - Pelantikan beberapa nama ahli politik yang tidak disenangi diyakini tidak akan mendatangkan sebarang masalah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui usul undi percaya pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan 19 Disember ini, bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.
Pensyarah Sosiologi Politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, sebagai seorang tokoh yang lama dalam politik, Anwar sudah pasti bersiap bersedia sebelum beliau berani mengemukakan cadangan supaya usul percaya dibentangkan di Parlimen untuk membuktikan keabsahannya.
''Sebagai seorang tokoh politik yang sudah lama menunggu untuk diangkat sebagai Perdana Menteri (24 tahun), saya percaya Anwar akan mampu atasi rasa tidak puas hati kesemua blok yang menyokong beliau.
''Semua ahli Parlimen berkenaan juga perlu akur keterbatasan Anwar untuk membuat lantikan dan memenuhi kerusi Jemaah Menteri.
"Oleh itu, berdasarkan kepada ketokohan dan kewibawaan Datuk Seri Anwar yang berjaya menarik sokongan ke atas 'Kerajaan Kesatuan Perpaduan Nasional' ini, beliau mampu terus memenangi sokongan dalam usul undi tidak percaya kerana ia juga adalah soal keabsahan politik,'' katanya kepada Sinar Premium.
Selepas Anwar mengumumkan senarai 28 menteri kabinetnya, timbul persoalan sama ada beliau bakal berdepan kesulitan dalam undi percaya pada 19 Disember nanti.
Ini berikutan banyak pihak melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Anwar mengenai pembahagian kerusi menteri kabinet.
Mereka juga kurang berpuas hati dengan tindakan melantik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, tiada keperluan bagi mengemukakan usul undi percaya terhadap Anwar pada sidang Dewan Rakyat, 19 Disember ini bagi membuktikan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.
Beliau menegaskan ini kerana sudah jelas ketika ini, Anwar mempunyai sokongan majoriti melebihi 140 ahli Parlimen.
Ramkarpal berkata, Pakatan Harapan (PH) kini diyakini mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen dengan sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pun begitu, Anwar tetap dengan pendirian bahawa usul berkenaan perlu dilakukan.
Sementara itu, ditanya mengenai apa berlaku jika ahli Parlimen BN tidak menyokong Anwar semasa undi percaya dibentangkan di Parlimen nanti, Sivamurugan berkata, keputusan BN menyokong Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri adalah bersifat 'enbloc' iaitu persetujuan bersama berasaskan kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan watikah yang ditandatangani sebelum ini.
''Status mereka sebagai ahli Parlimen tidak gugur kecuali jika terma jelas dalam perjanjian yang ditandatangani sebelum ini yang menyatakan secara jelas mengenai perkara itu.
''Jika ada perjanjian semasa menandatangani watikah sebagai calon BN sebelum ini maka mereka kena patuh kepada pendirian parti, jika tidak ahli Parlimen berkenaan mereka perlu kosongkan kerusi dan membayar sebarang pampasan tertentu,'' katanya.
Klik di sini untuk terus membaca