SHAH ALAM - Pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan dilihat kurang wajar malah tidak selaras dengan prinsip tadbir urus baik seperti yang dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh berkata, Anwar sebelum ini dengan tegas mengisytiharkan perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia sebagai agenda teras Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, komitmen untuk mengasingkan portfolio tersebut juga telah dibuat dengan jelas menerusi manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Tegasnya, IDEAS berharap agar pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan menerusi individu sama dapat dilakukan.
"Perkara ini seharusnya menjadi pengajaran apabila skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting kabinet secara serentak.
"Walaupun secara politiknya sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam Kerajaan Perpaduan, namun ia perlu diasingkan terutamanya untuk proses semak dan imbang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu katanya, IDEAS mencadangkan Perdana Menteri untuk berusaha mencari seorang Menteri Kewangan yang bersesuaian iaitu individu yang boleh melaksanakan urusan kerajaan secara telus dan bertanggungjawab.
Tambahnya lagi, Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama.
Sementara itu, Tricia berkata, IDEAS juga mahu melihat perwakilan wanita, belia dan wilayah yang lebih baik dalam barisan kabinet semasa.
Menurutnya, perkara itu seharusnya diterjemahkan menerusi lima jawatan menteri dengan lima ahli politik wanita, empat ahli politik belia dan enam wakil Borneo termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.
"Bagaimanapun kami amat berharap agar Perdana Menteri tidak mengikuti langkah pentadbiran sebelum ini yang melantik timbalan menteri dan duta khas bertaraf menteri untuk memuaskan hati pelbagai pihak dan menjadikan saiz kabinet terlalu besar,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca