SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meminda 19 undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan supaya pengasingan kuasa di antara Peguam Negara dan pendakwa raya dapat dilaksanakan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara berkenaan antara hasil kajian daripada laporan cadangan pengasingan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.
Katanya, pengasingan tersebut memerlukan kos dan penambahan perbelanjaan kerajaan kerana Peguam Negara perlu memiliki pejabat, perpustakaan, staf serta penasihat sendiri kerana tidak lagi boleh berkongsi dengan pendakwa raya.
Bagaimanapun Wan Junaidi yang juga bekas Ahli Parlimen Santubong yakin, kerajaan yang diterajui Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mampu melaksanakan pengasingan dalam masa terdekat sekiranya ada komitmen berterusan.
"Hasil daripada dapatan kajian itu, ada beberapa komen antaranya seperti yang saya sebut iaitu pinda undang-undang dan perlembagaan serta kos yang perlu diambil kira kerana jika ingin buat pengasingan, ia memerlukan kos untuk mencari pejabat baharu kepada Peguam Negara.
"Pengasingan boleh dilakukan dan ia dijangka tidak mengambil masa.
"Cuma kita perlu ambil kira komitmen kewangan kerajaan kerana ia memerlukan perbelanjaan tambahan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau mengulas mengenai fokus utama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Urusan Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menyemak semula undang-undang 'lapuk' dan membuat pindaan diperlukan agar relevan pada masa kini.
Sebagai contoh kata Ahli Parlimen Pengerang itu, ia termasuklah usaha pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan pendakwa raya untuk memelihara kebebasan budi bicara pendakwa raya.
Mengulas mengenai kewajaran pengasingan kuasa itu, Wan Junaidi menjelaskan, ia perlu dilaksanakan seiring konteks politik hari ini, di samping dapat membuang persepsi wujudnya campur tangan politik.
"Sebenarnya pengaruh politik dalam kuasa Peguam Negara atau pendakwa raya bergantung kepada perdana menteri.
"Kalau pemimpin nombor satu itu bukan sejenis yang campur tangan dalam hal perundangan dan penghakiman, tidak menjadi masalah sebenarnya kerana saya tidak rasa orang lain seperti menteri mampu mempengaruhi mereka.
"Tetapi disebabkan kita tidak mahu wujud sebarang sangkaan atau pengaruh individu tertentu, adalah perlu untuk pengasingan kuasa dibuat seperti yang dimahukan ramai pihak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berharap kerajaan khususnya Azalina dapat melaksanakan 21 senarai kajian yang dilakukannya ketika memegang portfolio undang-undang sebelum ini.
Antara senarai kajian itu termasuk pengasingan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya; penambahbaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); kajian semula undang-undang insolvensi dan sebagainya.
Klik di sini untuk terus membaca