KUALA LUMPUR - Individu yang terlibat sebagai bookie dalam kegiatan perjudian dan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022 akan didakwa di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM),... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Individu yang terlibat sebagai bookie dalam kegiatan perjudian dan pertaruhan bola sepak Piala Dunia 2022 akan didakwa di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, Op Soga IX telah dilancarkan pada 19 November bagi mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh tanpa lesen sah sepanjang kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 berlangsung.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM200,000 serta penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

"Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 pula membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Selain itu, tindakan juga boleh dikenakan mengikut Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953 yang mana jika sabit salah boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 serta boleh dipenjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Sementara itu, tambah Noorsiah, Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 pula membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih dari RM50,000 serta boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun dan sebagai tambahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih dari RM50,000 bagi setiap mesin judi yang disita.

Tegas beliau, PDRM akan mengambil tindakan tegas kepada individu yang didapati menganjur dan menjalankan pertaruhan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh salurkan melalui Hotline WhatsApp Op Soga di talian 016-577 3477.

ADA PELBAGAI BENTUK PERTARUHAN

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kegiatan judi bola sepak berkenaan bukan sahaja didalangi warga tempatan tempatan malah turut melibatkan sindiket antarabangsa.

"Setiap kali Piala Dunia memang akan ada perjudian ini semua. Dulu kita buat Op Soga bersama dengan pihak berkuasa Britain kerana masa itu kejohanan diadakan di Eropah.

"Jadi, polis Britain bantu kita kerana kita perlukan bantuan pihak luar,” katanya.

Musa berkata, sindiket berkenaan berani untuk terus beroperasi kerana jumlah keuntungan amat lumayan yang mampu diperoleh mereka terutama di sepanjang kejohanan Piala Dunia.

Semasa beliau berkhidmat, kata Musa, sindiket kebanyakannya dikesan beroperasi secara dalam talian dan menyasarkan pelanggan dari dalam serta luar negara.

Jelasnya, pertaruhan yang ditawarkan merangkumi pelbagai aspek dalam perlawanan bola sepak bukan hanya pasukan mana yang menang.

"Memang banyak duit dalam 'betting' ini, macam-macam jenis ada. Dari segi jaringan gol, pasukan mana yang menang sehingga ke jumlah faul dan penalti pun ada,” katanya.

INFO

Statistik serbuan dan tangkapan Op Soga di seluruh negara dari 19 November - 28 November

Jumlah serbuan - 129

- Jumlah tangkapan - 152

- Jumlah rampasan meliputi:

Nilai had kredit di dalam perisian mencecah RM3.1 juta

Wang tunai RM113,140

Dolar Hong Kong 356,940

Dolar Singapura 500

3 komputer

5 komputer riba

2 tablet

151 telefon bimbit

2 router

54 keping sim kad

16 helai kertas catitan disyaki pertaruhan

14 keping jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022

Klik di sini untuk terus membaca