SHAH ALAM - Lantikan menteri menerusi status Senator seharusnya dibuat secara lebih eksklusif dan dihadkan kepada keperluan mendesak, bukannya dilaksanakan untuk memenuhi permintaan daripada pihak-pihak tertentu. Ahli Majlis Eksekutif... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Lantikan menteri menerusi status Senator seharusnya dibuat secara lebih eksklusif dan dihadkan kepada keperluan mendesak, bukannya dilaksanakan untuk memenuhi permintaan daripada pihak-pihak tertentu.

Ahli Majlis Eksekutif Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Dr Erwan Mohd Tahir berkata, pembentukan kabinet Kerajaan Perpaduan dilihat banyak melibatkan pelantikan menteri-menteri melalui jawatan Senator dan lebih ramai berbanding kerajaan-kerajaan sebelum ini.

Beliau secara peribadi berkata, langkah membentuk ahli kabinet yang ramai menerusi lantikan Senator agak kurang baik kerana kerajaan seolah-olah tidak meraikan amalan demokrasi pilihan raya.

Beliau berkata, sebelum ini pelantikan menteri melalui Senator hanya dibuat apabila terdapat keperluan membawa seseorang individu yang mempunyai kepakaran atau pengalaman tertentu ke dalam kabinet.

"Atas sebab itulah dalam semua pilihan raya, calon yang bertanding akan berusaha sekuat mungkin untuk memenangi hati pengundi bagi membolehkan mereka dijadikan wakil rakyat, seterusnya layak menjadi pemimpin tertinggi negara atau sebagai menteri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Erwan berkata, ada keperluan bagi seseorang pemimpin kanan sesebuah parti yang dipercayai oleh Perdana Menteri perlu dilantik bagi memegang portfolio penting seperti di Kementerian Dalam Negeri.

"Tetapi untuk kementerian-kementerian lain, menjadi suatu keutamaan dan lebih bersesuaian sekiranya menteri yang dilantik adalah dalam kalangan ahli Parlimen yang berkelayakan dan mencatat kemenangan pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15),” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, senarai anggota jemaah menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat agak seimbang dari segi jumlah wakil semua parti gabungan dan paling penting penyertaan semua kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak.

"Memahami cabaran dihadapi oleh Perdana Menteri memilih anggota jemaah menteri agak sukar kerana beliau berusaha mengecilkan saiz kabinet, tetapi dalam masa sama terpaksa mengambil kira permintaan daripada semua parti gabungan serta memastikan keanggotaan semua kaum dalam kabinet baharu ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca