SHAH ALAM - Pembentukan kabinet baharu Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya memiliki pertimbangan politik strategik buat parti-parti gabungan yang membentuk kerajaan itu.
Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, pengagihan portfolio kementerian lebih kanan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Ekonomi kepada Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) juga menjadi isyarat pengukuhan kuasa dua parti politik itu amat penting bagi menjamin kestabilan kerajaan baharu ini.
Sebagai contoh, Anis Anwar menjelaskan keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipimpin Anwar memegang empat portfolio strategik iaitu kementerian yang menjaga sumber kewangan negara, ekonomi, keselamatan dalam negeri dan komunikasi, amat signifikan dalam mengawal naratif penyampaian maklumat kerajaan, mengenepikan sebarang ancaman dalam negeri serta memastikan tadbir urus kewangan negara lebih tersusun.
"Kepimpinan Anwar yang memegang sendiri jawatan Menteri Kewangan dan (Timbalan Presiden PKR) Rafizi Ramli yang menjaga portfolio Menteri Ekonomi dijangkakan akan mengambil pendekatan pengurangan perbelanjaan kerajaan untuk mendapatkan lebihan pendapatan negara.
"Pendekatan sebegini ini dibimbangi akan membataskan pertumbuhan ekonomi pada kadar lebih perlahan, namun saya fikir Anwar dan Rafizi menyedari satu langkah lebih radikal dan progresif harus diambil demi memastikan ekonomi negara terus mampan mendepani ancaman krisis kemelesetan ekonomi global tahun hadapan.
"Begitu juga dengan hala tuju kerajaan baharu dalam menguruskan ekonomi negara, pada saat ramai penyokong PH mula mempersoalkan kewibawaan barisan kabinet baharu ini.
"Rafizi dan rakan-rakannya akan terus diperhati sama ada akan kekal memfokuskan agenda pemulihan dan pembangunan negara pasca Covid-19 atau mengulangi kesilapan menyalahkan kepimpinan kerajaan terdahulu sekiranya mereka hilang 'formula' penyelesaian terbaik," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan lebih ramai menteri yang memegang portfolio signifikan dalam kalangan PKR dan BN, berbanding parti-parti lain dalam PH mahu pun parti-parti yang berada dalam kerajaan baharu.
Pada 2 Disember, Anwar mengumumkan barisan kabinet yang dianggotai 28 menteri serta dua timbalan perdana menteri (TPM) termasuk daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain beliau sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.
Kerajaan Perpaduan dibentuk atas saranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada mana-mana parti atau gabungan politik berjaya mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kerajaan Perpaduan dianggotai PH, Barisan Nasional (BN), GPS, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain.
Pada masa sama, Anis Anwar turut melihat langkah pelantikan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Menteri Belia dan Sukan, akan memberi peranan signifikan parti itu di kawasan bandar.
Jelasnya, peranan besar itu termasuklah dalam konteks negosiasi dengan golongan pemaju, kredit komuniti, masyarakat sivil dan golongan pengundi belia 18 tahun ke atas.
"Cuma pelantikan Kor Ming yang sering dikaitkan dengan politik ekstremisme kaum pastinya berdepan cabaran membendung keresahan komuniti Melayu bandar berhubung isu perumahan mampu milik di bandar serta agenda pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang selama ini diperjuangkan DAP," ujar Anis Anwar.
Mengenai UMNO diberikan jawatan TPM dan beberapa portfolio taktikal seperti Kementerian Pertahanan; Menteri Undang-Undang dan Reformasi Insitusi; Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; serta Menteri Pengajian Tinggi, Anis Anwar berpandangan langkah itu penting bagi mengimbangi pengaruh parti itu dan BN yang semakin terhakis pasca PRU15 dengan angin perubahan sokongan Melayu kini terarah kepada Perikatan Nasional (PN).
Tambah beliau, enam portfolio kementerian diberikan kepada UMNO-BN juga merupakan portfolio yang memiliki kekuatan sumber kewangan yang memberi kelebihan kepada pucuk kepimpinan parti itu untuk mendepani proses pemilihan parti yang dijangka bakal diadakan pada Februari 2023.
"Dalam situasi sebegini, cabaran dan ujian sebenar adalah kepada perwakilan dalam UMNO sendiri menjelang pemilihan parti tahun hadapan.
"Mereka perlu menilai sama ada akan terus berprinsip memulihkan kepimpinan parti setelah mengalami prestasi terburuk dalam sejarah pilihan raya atau masih mudah dipengaruhi untuk terus menyokong pemimpin yang berkedudukan dan berjawatan dalam kerajaan," kata Anis Anwar.
Bagi portfolio undang-undang pula, pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai menteri baharu akan dinilai atas kemampuan beliau mengusahakan pindaan perlembagaan mengasingkan fungsi jawatan Peguam Negara dengan pendakwa raya agar menghilangkan konflik kepentingan itu.
"Ia secara tidak langsung memberi tekanan kepada Azalina untuk melindungi mekanisme sedia ada atau melakukan pembaharuan institusi.
"Sebagai contoh, pelantikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan kes mahkamah sebagai TPM dibimbangi akan mencetuskan konflik berkepentingan di antara beliau dan Peguam Negara susulan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Peguam Negara masih merupakan seorang pendakwa raya.
"Pada masa sama, Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan Peguam Negara turut berperanan memberi nasihat undang-undang kepada Jemaah Menteri," tegas Anis Anwar lagi.
Klik di sini untuk terus membaca