GENEVA - Fenomena berpanjangan La Nina yang telah memburukkan lagi kemarau dan banjir di seluruh dunia diramalkan berterusan sehingga Februari atau Mac 2023. Amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Rabu lalu setelah... Klik di sini untuk terus membaca

GENEVA - Fenomena berpanjangan La Nina yang telah memburukkan lagi kemarau dan banjir di seluruh dunia diramalkan berterusan sehingga Februari atau Mac 2023.

Amaran itu dikeluarkan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Rabu lalu setelah keadaan cuaca tidak menentu yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

"Keadaan luar biasa ini hanya akan berakhir pada penghujung musim sejuk hemisfera utara/musim panas hemisfera selatan," jelas agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tersebut.

La Nina yang menyebabkan penyejukan suhu permukaan memberikan impak meluas kepada keadaan cuaca global bermula sejak September 2020.

"La Nina pertama triple-dip (tiga tahun berturut-turut) pada abad ke-21 akan terus menjejaskan corak suhu dan kerpasan serta memburukkan lagi kemarau dan banjir di bahagian berbeza di seluruh dunia.

"Terdapat potensi tinggi ia akan berlanjutan pada Disember hingga Februari atau pada Januari hingga Mac depan," ujarnya lagi.

Menurutnya, aktiviti manusia yang menyumbang kepada perubahan iklim di samping La Nina telah meningkatkan lagi suhu global, sekali gus mengakibatkan cuaca menjadi lebih ekstrem.

Antara impak La Nina ialah banjir dahsyat sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda yang besar.

"Lapan tahun lalu direkodkan sebagai paling panas dengan kenaikan paras laut dan pemanasan lautan berlaku pada kadar yang pantas," kata Ketua WMO, Petteri Taalas sambil menambah La Nina biasanya dikaitkan dengan keadaan lebih lembap di beberapa bahagian dan kering di kawasan lain.

Ketika ini, komuniti antarabangsa telah menzahirkan kebimbangan terhadap bencana kemanusiaan melibatkan jutaan penduduk di Tanduk Afrika yang disebabkan kemarau paling panjang dan teruk dalam sejarah moden.

MASALAH AIR EKSTREM

Menerusi laporan tahunan pertama Sumber Air Global pada Selasa, WMO juga mendapati seluruh benua di dunia berdepan masalah air ekstrem pada tahun lalu.

"Sebahagian besar kawasan adalah lebih kering berbanding biasa pada 2021," jelas kandungan laporan itu yang menilai kesan perubahan iklim, alam sekitar dan masyarakat terhadap sumber air tawar yang merupakan bekalan terhad dan semakin mendapat permintaan yang tinggi.

Difahamkan, terdapat kira-kira 3.6 bilion penduduk mengalami akses tidak mencukupi terhadap bekalan air tawar sekurang-sekurangnya dalam tempoh sebulan pada setiap tahun.

Angka itu diramalkan meningkat kepada lebih lima bilion menjelang 2050.

"Antara 2001 dan 2018, 74 peratus daripada bencana alam adalah berkaitan air. Terdapat kejadian banjir yang memecahkan rekod di bahagian Eropah Barat dan Amazon selain paras sungai di Paraguay dan selatan Brazil menurun kepada paras terendah," ujar laporan itu yang turut menilai aliran dan isipadu air sungai dalam tempoh lebih tiga dekad lalu.

Hasil penilaian WMO mendapati penurunan isipadu air adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahap kenaikannya.

Selain itu, lembangan sungai utama di Amerika dan Afrika Tengah juga menyaksikan paras air yang semakin merosot manakala sungai di utara India serta selatan Afrika meningkat pada tahap melebihi purata.

WMO menjelaskan takungan air tawar semula jadi terbesar di dunia, cryosphere yang terdiri daripada glasier, pentas ais dan permafrost yang mana sebarang perubahan terhadapnya boleh memberi kesan kepada penghasilan makanan, kesihatan dan dunia semula jadi.

Kira-kira 1.9 bilion penduduk mendapatkan sumber bekalan air minuman daripada pencairan glasier dan salji, namun sumber itu kian terancam kerana keadaan mencair pada kadar lebih cepat akibat perubahan iklim.

WMO turut menyarankan penggunaan sistem amaran awal banjir dan kemarau yang dikatakan dapat mengurangkan impak air ekstrem. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca