SHAH ALAM - Penetapan kedudukan ketua pembangkang bertaraf menteri hanya termaktub dalam Memoradum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang sebelum ini dan tidak diwartakan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu hanya dipersetujui antara kedua-dua pihak, namun tidak diwartakan menjadi satu undang-undang.
"Selama ini amalan di Malaysia, ketua pembangkang dilantik begitu sahaja dan tidak dilakukan secara rasmi, (diberi) ruang pejabat untuk melakukan kerja (tetapi) tanpa pembantu.
"Tetapi apabila wujudnya MoU antara kerajaan dan pembangkang ketika era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (bekas Perdana Menteri), ditawar kedudukan itu setaraf dengan menteri, dibincangkan semasa menandatangani MoU berkenaan.
"Kemudahan yang diberi kepada ketua pembangkang adalah (seperti) ada pegawai pembantu atau pegawai lantikan dia sendiri yang diberi kontrak oleh Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Wan Junaidi menjelaskan, ketua pembangkang diberi elaun dan kemudahan lain seperti menteri, namun tidak dibenar untuk mengakses dokumen rasmi kerajaan.
"Seorang menteri sebelum menjawat jawatan, perlu angkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, jadi sumpah itu mengatakan akan menjaga rahsia kerajaan.
"Ketua pembangkang tiada sumpah itu (maka) tidak dibenar untuk akses dokumen rasmi kerajaan dan hanya diberi kemudahan bertaraf menteri, tetapi tiada setiausaha politik kerana jawatan itu tidak melibatkan hal ehwal politik.
"Dia (ketua pembangkang) tidak ada komitmen dengan kerajaan, hanya berurusan di Parlimen sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Wan Junaidi mencadangkan agar Kerajaan Perpaduan turut mengiktiraf kedudukan ketua pembangkang dengan meletakkan beberapa syarat agar perihal semak dan imbang berlangsung dengan baik.
"Pada saya, kedudukan ketua pembangkang mesti diberi sewajarnya (bertahap menteri) tetapi mempunyai had seperti akses dokumen rasmi kerajaan, (tiada) setiausaha politik.
"Kemudahan lain boleh diberi (dan) pegawai kerajaan kena akur dengan jawatan tersebut dan menghormati sebagai ketua pembangkang, tetapi jika ada satu perkara yang tidak boleh di kongsi seperti dokumen rahsia kerajaan, perlu dinyatakan sebaiknya,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca