TONGGAK kabinet negara yang baharu telah diumum dan mereka yang telah diberi tanggungjawab menggalas kementerian-kementerian yang bakal memacu hala tuju, polisi, program dan perolehan bakal melaksanakan tugas masing-masing.
Dari sudut keselamatan dan pertahanan negara, Kerajaan Perpaduan ini dilihat bakal berhadapan cabaran yang bukan sedikit.
Ini kerana Perdana Menteri baharu terkenal dengan laungan reformasi serta mahukan perubahan kepada jentera pengurusan berpaksikan ketelusan, integriti dan akauntabiliti.
Rakyat bakal mengharapkan apa yang dilaungkan tidak hanya setakat slogan semata-mata dan mereka yang telah dilantik perlu mencetuskan sama ada satu evolusi atau revolusi yang akan memacu keselamatan dan pertahanan negara kembali ke hala tuju yang kredibiliti.
Kementerian yang dikaitkan dengan keselamatan dan pertahanan negara merupakan dua kementerian yang boleh dianggap kerap dikaitkan dengan pelbagai isu, khususnya isu berkaitan pengurusan dan kewangan.
Walaupun pelbagai institusi, polisi, jawatankuasa dan mekanisme semak imbang telah digubal atau ditubuh untuk mengelakkan berlakunya salah guna kuasa, penyelewengan kewangan, rasuah dan pembaziran dana, kedua-dua kementerian terus dilanda masalah sama.
Ada pihak yang mungkin mempertikaikannya, tetapi Kementerian Pertahanan umpamanya seakan telah sinonim dengan pengurusan program yang kerap menghadapi masalah dari sudut hala tuju, kewangan, kemampuan hakiki firma tempatan, firma orang tengah yang hanya bertujuan mengaut keuntungan serta kelewatan penghantaran aset kepada pengguna.
Lebih membimbangkan ‘penyakit-penyakit’ ini seakan tiada kesudahannya dan satu masa dahulu ia mungkin boleh dipinggirkan sebagai kudis yang menjijikkan, nampak pada kulit luaran dan mudah untuk disembuhkan.
Malangnya hari ini ia telah bertukar menjadi kanser yang sukar dikesan, tidak nampak pada luaran tubuh, namun merosakkan organ-organ kritikal dan hanya dapat diketahui umum apabila ia mencapai tahap empat!
Kewujudan firma-firma orang tengah meragukan, campur tangan individu-individu berkepentingan, firma dilantik tiada kemahiran dan kemampuan serta pengagihan atau aliran dana program bukan pada tempat sepatutnya berulang kali melanda pelbagai program perolehan.
Malah bukanlah menjadi satu rahsia mengenai rungutan penjawat awam sebelum ini yang menyatakan kewujudan ‘kementerian dalam kementerian’ atau ‘kartel’ yang mampu mengetepikan pandangan dan nasihat penjawat awam yang telah berpuluh tahun memiliki pengalaman dan memacu kementerian.
Mereka digantikan oleh kumpulan tertentu yang mungkin dibawa oleh menteri baharu yang hakikatnya mempunyai objektif memastikan mereka mendapat laba serta nyawa politik dan orang disokong mereka kekal menerajui kementerian tersebut.
‘Rompakan terhormat’ serta pembaziran berleluasa kerap diselindungkan dengan mengklasifikasikan sesuatu dokumen sebagai sulit atau bersembunyi dibelakang Akta Rahsia, rakyat marhaen seakan berkali-kali tertipu apabila skandal-skandal kementerian didedahkan.
Keadaan ini menjadi bertambah buruk apabila keyakinan rakyat kepada kenyataan-kenyataan rasmi kerajaan pada ketika ini berada pada tahap yang agak rendah. Inilah antara perkara amat membimbangkan telah melanda negara.
Jika ia tidak dibendung maka aspek pertahanan negara akan menjadi lebih parah. Keadaan ini telah menjadi semakin jelas apabila kekuatan aset cabang-cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini berada dalam keadaan semakin dimamah usia dengan proses penggantian atau perolehan aset-aset baharu gagal atau amat lewat untuk disempurnakan.
Kegagalan atau kelewatan program-program seperti perolehan pesawat tempur berkemampuan tinggi, kapal-kapal tempur dan pengangkut pelbagai guna sebenarnya telah membuatkan tahap pertahanan serta kemampuan logistik pertahanan negara berada dalam keadaan amat mendesak.
Laporan dari pelbagai badan antarabangsa telah menyatakan bahawa tahun mendatang bakal menyaksikan kelembapan ekonomi global yang meruncing.
Keamanan dunia juga tidak menunjukkan perkembangan positif dengan krisis Rusia-Ukraine, Korea Utara-Amerika Syarikat dan konflik Laut China Selatan terus bergolak.
Kedua-dua faktor ini boleh memberi impak besar kepada kestabilan global dan khususnya di rantau Asia Tenggara. Ia mampu mencetuskan konflik yang bakal menggugat kedaulatan negara dan malangnya tahap persediaan negara dari aspek kemampuan aset pertahanan negara berada pada tahap yang diragukan akibat dari sikap segelintir individu yang hanya mementingkan diri dan kelompok politik.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca