SHAH ALAM - Langkah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat terutama di kawasan dikuasai Perikatan Nasional (PN) mampu memberikan kelebihan kepada gabungan berkenaan. Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat terutama di kawasan dikuasai Perikatan Nasional (PN) mampu memberikan kelebihan kepada gabungan berkenaan.

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, gabungan itu dilihat memiliki momentum kemenangan yang baik pada pilihan raya umum (PRU) baru-baru ini, khususnya di tiga negeri yang ditadbir PN iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beliau berkata, sokongan pengundi di kawasan Pantai Timur dan Utara terhadap PN didapati agak tinggi.

"Langkah ini kalau diambil oleh mereka (PN), bermakna ia dibuat atas sebab untuk nak kekalkan momentum kemenangan tersebut.

"Kalau tidak, saya kira PN mungkin hilang sentuhan sebab kerajaan Pusat ketika ini adalah Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim mencadangkan Kedah, Kelantan dan Terengganu supaya mengadakan PRN selepas PRU15 di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman selesai.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ia adalah masa terbaik untuk ketiga-tiga negeri ditadbir PN mengadakan PRN susulan sokongan tinggi pengundi terhadap gabungan itu dalam PRU15 pada 19 November lalu.

Shahidan yang baru menyertai PN dalam PRU lalu, menyuarakan keyakinan jika PRN diadakan segera khususnya di Kedah, PN mampu mencatatkan kemenangan besar dan mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

Pada PRU15, PN menang di 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis dan menyapu bersih tiga kerusi Parlimen di negeri itu iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau.

PN turut menyapu bersih 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi di Terengganu, serta menang 13 daripada 14 kerusi Parlimen di Kedah.

Sementara itu, Awang Azman berkata, tempoh enam bulan akan datang adalah masa yang mencukupi untuk mengubah sentimen semasa pengundi di kawasan terbabit terhadap mana-mana gabungan politik termasuk PN.

Kata beliau, pembentukan kabinet baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilihat mendatangkan kebimbangan PN.

Jelasnya, ia berikutan jangkaan Kerajaan Perpaduan bakal memberi momentum yang baik terhadap keadaan dalam negara.

"Manakala naratif seperti sentimen perkauman dan keagamaan yang melampau itu sudah pasti akan dikendalikan oleh Kementerian Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri dengan jauh lebih tegas,” jelas beliau.

Pada 13 Oktober lalu, Pas mengumumkan pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Terengganu dan Kedah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum itu menjelaskan, keputusan dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh pada pertengahan November hingga Mac 2023.

Negeri lain yang turut mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN sehingga tamat penggal Parlimen ke-14 pada Jun 2023, ialah Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang masing-masing di bawah pentadbiran PH.

Klik di sini untuk terus membaca