SUMBANGAN besar air terhadap produktiviti ekonomi dan kehidupan harian jarang dihargai walaupun semua kegiatan sosial dan ekonomi bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan kualiti air. Hakikatnya, isu dan masalah bekalan air domestik sejak... Klik di sini untuk terus membaca

SUMBANGAN besar air terhadap produktiviti ekonomi dan kehidupan harian jarang dihargai walaupun semua kegiatan sosial dan ekonomi bergantung sepenuhnya kepada bekalan dan kualiti air.

Hakikatnya, isu dan masalah bekalan air domestik sejak sekian lama mengganggu kehidupan penduduk di negeri seperti Pahang, Selangor, Kedah dan Kelantan yang diketahui mengalami masalah bekalan air yang serius serta tidak berkesudahan.

Di Kedah misalnya, pada tahun 2017 sahaja, Syarikat Air Darul Aman (SADA) menerima sebanyak 2,000 panggilan berkaitan aduan gangguan bekalan air ketika musim perayaan.

Kelemahan dalam menyediakan rancangan dan transformasi sistem bekalan air telah memberi implikasi semasa dan mengganggu kehidupan masyarakat dari segi mendapat bekalan air dalam kuantiti dan kualiti yang mencukupi.

Di Kampung Iboi, sebuah kawasan pedalaman di Baling, Kedah, air yang dicatu adalah hakikat kehidupan harian mereka dengan penduduk hanya mendapat akses kepada bekalan air dari 12 tengah malam hingga pukul 2 petang dari SADA.

Isu dan masalah kekurangan bekalan air di Kelantan juga agak serius ekoran kegagalan Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) memberikan perkhidmatan bekalan air yang baik kepada penduduk.

Maka tidak menghairankan mengapa penduduk di Kelantan, khususnya di kawasan kampung memilih untuk terus menggunakan sumber bekalan air dari telaga yang diyakini bersih dan terpelihara kualitinya.

Di Selangor pula, asas kepada masalah dan isu masalah bekalan air disebabkan paip agihan air yang sudah lama dan berada dalam tekanan yang tinggi ekoran keperluan air di Selangor dan Kuala Lumpur yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Malah, jumlah bekalan air yang dihasilkan telah melebihi kapasiti bekalan air yang mampu dihasilkan loji rawatan.

Malaysia menerima purata hujan tahunan sekitar 2,500mm hingga 3,000mm dan kadang-kala mengalami fenomena banjir yang menyebabkan salah anggapan oleh masyarakat terhadap jumlah sumber air sedia ada.

Maka, ramai masih menganggap bahawa negara dianugerahkan air hujan yang banyak, berterusan dan cukup digunakan.

Hakikatnya, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber air, namun air bersih yang selamat diguna semakin berkurang disebabkan oleh perubahan taburan hujan, pencemaran sungai, kemusnahan kawasan tadahan air, dan peningkatan populasi penduduk.

Krisis air turut disumbang oleh sikap masyarakat kita yang suka membazirkan air. Kadar penggunaan air setiap individu adalah tinggi di Malaysia, yang mana kadar penggunaan air pada 2015 adalah 209 liter sehari dan meningkat kepada 220 liter air sehari pada 2018.

Kadar ini melebihi penggunaan air yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi setiap individu iaitu 165 liter setiap hari.

Krisis air merupakan gabungan faktor kekurangan sumber air bersih dan pengurusan air yang tidak efektif. Permintaan dan penggunaan air sektor domestik yang begitu tinggi dan mengalami trend meningkat telah mengancam kelestarian air.

Pendekatan pengurusan air yang hanya memberi penekanan ke atas pengurusan penawaran air, iaitu meningkatkan bekalan air melalui pembinaan infrastruktur atau eksploitasi sumber-sumber air baharu terbukti tidak dapat menampung permintaan air yang semakin meningkat.

Isu utama dan cabaran yang dihadapi oleh sektor air Malaysia menjejaskan kelestarian pembangunan, pengagihan air kalangan pengguna dan usaha-usaha rakyat untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.

Maka, amalan pengurusan air yang cekap dan lestari yang merupakan gabungan dan keseimbangan antara pengurusan penawaran dan pengurusan permintaan air harus diberikan perhatian.

Justeru, langkah-langkah pengurusan air yang dapat mengawal permintaan air domestik perlu dilaksanakan.

Antaranya dengan mendidik pengguna tentang keperluan menilai kembali gaya hidup, membuat perubahan dan memainkan peranan dalam pemuliharaan sumber air.

Ini boleh dicapai dengan mengamalkan pengurusan permintaan air, mengamalkan sikap menjimatkan air dan menggunakan air secara bijak.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca