SHAH ALAM - Pakar berpandangan jurang pembangunan ekonomi antara negeri dan kebergantungan terhadap aktiviti berintensifkan buruh menyebabkan negara tersekat dalam situasi middle income trap atau perangkap pendapatan sederhana.
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, perangkap pendapatan sederhana atau situasi di mana sesebuah negara tidak dapat mencapai status negara berpendapatan tinggi perlu diberi perhatian serius.
"Perangkap pendapatan sederhana ini sebenarnya berlaku sejak tahun 1980-an lagi hingga ke hari ini dan ia disebabkan beberapa faktor antaranya kewujudan jurang pembangunan ekonomi dan pendapatan antara negeri-negeri di Malaysia.
"Negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembah Klang misalnya dilihat lebih maju berbanding negeri-negeri lain sekali gus dapat menyumbang lebih banyak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya kepada Sinar Premium.
Pada masa sama tegasnya, kebergantungan negara terhadap aktiviti ekonomi dan pengeluaran berintensifkan buruh juga antara punca negara masih gagal keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.
"Kebergantungan terhadap aktiviti ekonomi berintensifkan buruh berkemahiran sederhana dan rendah tidak bergaji tinggi, memberi makna ia tidak akan dapat diterjemahkan kepada pendapatan negara yang tinggi.
"Sebaliknya, negara perlu menumpukan kepada aktiviti ekonomi berintensifkan modal, teknologi dan pendigitalan selain melahirkan lebih banyak buruh berkemahiran tinggi agar dapat meningkatkan produktiviti dan pendapatan negara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Rafizi Ramli ketika sidang akhbar pertamanya selaku Menteri Ekonomi pada Isnin yang meletakkan objektif menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dengan menyingkirkan perangkap pendapatan sederhana.
Ahli Parlimen Pandan itu juga akan menumpukan kepada pembangunan ekonomi bagi negeri kurang membangun antaranya inisiatif membantu golongan miskin tegar seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Muhammad Daaniyall menambah, jurang pembangunan ekonomi antara negeri turut mewujudkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin sekali gus menyekat negara daripada mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025.
"Rentetan daripada jurang pembangunan ekonomi dan pendapatan ini juga mengakibatkan pertumbuhan ekonomi tidak dapat mencapai tahap paling optimum walaupun situasi KDNK negara menunjukkan peningkatan stabil terutama pasca pandemik Covid-19,” jelasnya.
Jika situasi perangkap pendapatan sederhana ini tidak diperhalusi sebaiknya oleh kerajaan, Muhammad Daaniyall mengakui pastinya kesan negatif akan berbalik kepada rakyat dan juga ekonomi negara.
"Dengan pelbagai tekanan ekonomi domestik dan luar negara, kerajaan berdepan cabaran besar untuk mencorak masa depan ekonomi negara yang lebih cerah untuk rakyat selepas ini, namun kerangka untuk reformasi ekonomi telah tersedia seperti digariskan dalam RMK12 untuk dijadikan panduan,” tambah beliau.
Klik di sini untuk terus membaca