AKHIRNYA, setelah kita melalui ribut dan taufan PRU15, kita merasai pula riak dan kocak pembentukan tampuk pimpinan negara. Ada intrig dan suspens yang berlaku, tetapi akhirnya Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong telah terbentuk dengan upacara mengangkat sumpah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis Raja-Raja turut menerima formula ini dan Perdana Menteri telah mengumumkan barisan kabinetnya pada Jumaat, 2 Disember diikuti dengan upacara mengangkat sumpah anggota kabinet pada keesokan harinya. Selang sehari iaitu pada Isnin 5 Disember, mesyuarat pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan telah diadakan.
Pertanian, khususnya pesawah menjadi perhatian kabinet. Kelangsungan hidup mereka menjadi tumpuan di mana bantuan RM10 juta diperuntukkan pada tahun ini dan RM50 juta lagi pada tahun hadapan. Monopoli beras dikaji untuk dihapuskan. Penurunan harga telur juga telah dimumkan untuk kepentingan peniaga dan rakyat.
Selain itu, hal judi, banjir, sentimen perkauman, pelanggaran hukum termasuk pengurangan gaji menteri sebanyak 20 peratus telah diumumkan.
Pastinya mesyuarat kabinet yang pertama itu merupakan mesyuarat penyesuaian. Di mana tempat duduk seseorang menteri, sapa menyapa dengan para pegawai kerajaan yang menyediakan maklumat yang diperlukan menteri merupakan hal-hal kecil yang perlu diketahui seseorang menteri yang memulakan tugas.
Wisel penamat PRU15 telah lama berbunyi. Yang menang menurut formula congakan telah membentuk kerajaan. 21 juta pemilih telah turun mengundi pada PRU15. Kita sebagai insan hanya menjalankan tanggungjawab memangkah. Undi kita hanya satu; umpama debu. Tetapi ALLAH Al-Hakim yang mengangkat mereka jadi pemimpin.
JALAN TERUS
Sama ada suka atau tidak, terima atau sebaliknya, kita kena akur dengan pilihan ALLAH SWT. Dia Maha Bijaksana dalam mengurus segala. Anwar yang dileluconkan sebagai 'PM In-Waiting' akhirnya dilantik menjadi pemimpin kita.
Beliau ditakdirkan menjadi Perdana Menteri untuk berdepan dengan keadaan negara dan dunia yang mencabar ini. Anwar mesti pikul tanggungjawab ini sebab beliau sendiri yang umumkan hasratnya menjadi Perdana Menteri.
Betapa tidak senangnya kita kepada barisan kabinet ini, kita kena ingat ada berjuta pemilih yang telah mengundi mereka. Istilahnya, kita kena 'move on', jalan terus. Dalam suasana yang mencabar ini kita kena terima pilihan orang lain.
Walau betapa tidak setujunya, umpama kita yang sedang terkapai-kapai dibawa arus; bila ada seseorang yang muncul ingin menyelamatkan, logikkah jika kita bertanya tentang baik, buruk orang itu sebelum membenarkan dia menyelamatkan kita?
Perdana Menteri dan barisan kabinetnya seperti duduk di rumah kaca. Semua orang boleh nampak apa yang mereka lakukan. Ada sahaja kamera yang merakam setiap langkah mereka. Silap cakap atau salah bertindak boleh memakan diri kerana masyarakat pada hari ini bukan sahaja mudah mentafsir dan menelah, malah senang-senang boleh menghukum mereka.
Di luar padang ada ramai lagi para pemimpin di pihak yang satu lagi sentiasa memantau, memerhati dan mengkritik mereka. Kita enggihkan kritik yang betul tetapi diamkan sahaja andainya kita tidak setuju. Mereka menjalankan tugas murni sebagai pembangkang.
Kita kenalah fahami bahasa orang politik yang bombastik dengan gaya menggenggam penumbuk terjulang ke udara. Mereka juga mahu kekalkan momentum dan kehadiran mereka kerana ada beberapa pilihan raya negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Bila tiba masa dan dibolehkan mengundi, kita turun lagi mengundi memilih kerajaan negeri pula. Setelah itu, kita biarkan mereka yang memang mengurus negara. Jika kita cintakan negara kita, para pemimpin juga cintakan negara ini.
Mengurus masa depan negara adalah sesuatu yang serius bagi para pemimpin. Ia memerlukan mereka memerah fikiran, bercakap dan bertindak sedangkan kita hanya bercakap sahaja! Bagi orang politik, kritik mengkritik membawa bahagia. Bagi kita, salah kritik boleh hilang kawan dan saudara!
Justeru, biarkan mereka mengurus negara. Kita ini tidak layak. Sebab itu kita tidak terpilih. Lagi pula kita sendiri tidak memilih untuk jadi pemimpin negara.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca