MASIH ingat iklan ‘makan bola, tidur bola’ yang cukup popular kira-kira suku abad dahulu? Begitu berkesan iklan tersebut. Walaupun matlamatnya mempromosi jenama sejenis minuman ringan, namun rangkuman impaknya secara menyeluruh... Klik di sini untuk terus membaca

MASIH ingat iklan ‘makan bola, tidur bola’ yang cukup popular kira-kira suku abad dahulu?

Begitu berkesan iklan tersebut. Walaupun matlamatnya mempromosi jenama sejenis minuman ringan, namun rangkuman impaknya secara menyeluruh menunjukkan betapa besarnya pengaruh sukan bola sepak ke atas kehidupan manusia.

Diiktiraf sebagai sukan nombor satu dunia, bola sepak mempunyai pemain dan peminatnya di mana-mana sahaja di muka bumi ini. Nun, jauh di Kutub Utara, ada anak-anak Eskimo bermain bola di atas air batu. Begitu juga di perkampungan kecil di tengah-tengah Sahara, ada anak-anak muda yang tidak menghiraukan bahang matahari mengejar bola di atas hamparan pasir.

Di kampung-kampung pedalaman, di kawasan miskin di tengah-tengah bandar, anak-anak yang tidak mampu membeli bola sebenar, akan berkongsi membeli bola plastik, atau setidak-tidaknya menggunakan gumpulan kertas sebagai bola. Yang penting, ada benda untuk disepak.

Minat manusia terhadap sukan ini bukan baharu. Rekod menunjukkan ia dimainkan sejak lebih 2,000 tahun dahulu di China, Greek, Rome dan beberapa bahagian di Amerika Tengah.

Tidak ada rekod tentang cara permainan pada masa itu. Mungkin sekadar sepak ikut suka hati. Bukan juga pelik kalau bola pertama yang digunakan adalah tengkorak musuh, atau kepala kawan yang dikhianati. Jangan hairan, orang dulu-dulu pun bijak dalam soal khianat-mengkhianati.

Pun begitu, kegilaan terhadap sukan ini hanya timbul selepas ‘terciptanya’ bola sepak moden pada tahun 1863 di England, di mana permainan yang ditambah baik dari semasa ke semasa itu diperkemas dengan peraturan-peraturan yang lebih jelas dan munasabah.

Saya tidaklah bermaksud hendak berkhutbah tentang sejarah bola sepak. Saya tahu orang kita bukan minat sangat pada sejarah sebab itu kita jarang belajar apa-apa daripadanya. Yang saya hendak tekankan di sini adalah tentang minat manusia terhadap sukan bola sepak.

Tiga empat dekad yang lalu, ramai bijak pandai meramalkan bahawa sebahagian besar aktiviti hidup manusia akan terkesan, malah berkemungkinan pupus, gara-gara diasak kemajuan teknologi. Ramalan itu terbukti tepat. Kita menyaksikan sendiri bagaimana satu demi satu cara hidup kita diubah oleh kemajuan.

Tetapi tidak begitu dengan minat manusia terhadap sukan bola sepak. Apa juga kemajuan yang datang ternyata tidak mengurangkan sedikit pun minat orang terhadapnya. Malah berdasarkan saiz stadium-stadium baharu yang dibina, ternyata jumlah peminat itu terus bertambah.

BOLA SEPAK DIGILAI

Berpanas, berhujan, berasak, bersesak untuk menonton di stadium tidak menjadi masalah. Melangut di depan skrin besar di kedai kopi, atau mendengar leteran isteri sebab menghadap televisyen sehingga dinihari, bukan persoalan. Semuanya rela dilakukan demi minat yang mendalam.

Kerana minat jugalah tahun lepas 132 orang terbunuh dalam rusuhan peminat bola sepak di sebuah stadium di Malang, Jawa Timur. Dan ia bukan kes pertama. Banyak lagi kes-kes lain seumpamanya termasuk yang terjadi di Estadio Nacional, di Lima, Peru pada tahun 1964, di mana 328 mati dan lebih 500 lagi cedera.

Begitulah hebatnya minat manusia terhadap sukan tersebut. Dan minat itu tidak mengenal usia. Ia bukan sekadar sukan untuk orang muda. Ramai yang usianya, jika mengikut logik, hanya beberapa jengkal dari alam yang satu lagi, masih menjadi peminat tegar.

Malah yang masih mahu bermain bola pada usia empat lima siri pun ada. Kazuyoshi Miura, seorang pemain bola sepak profesional Jepun, masih beraksi sehingga sekarang dengan kelab Suzuka Point Getters (dipinjamkan dari Kelab Yokohama FC). Usianya? Tujuh tahun lagi memasuki enam siri.

Persoalannya, kenapa bola sepak begitu digilai? Apa istimewanya?

Ada banyak pendapat mengenainya, tetapi kesemuanya bersifat hepotisis. Tidak ada yang pasti dan mutlak. Ada yang berkata, sifat permainannya yang pantas menjadikan ia tidak membosankan, sama ada untuk bermain atau untuk menonton. Tetapi pingpong dan bola keranjang pun pantas juga gerak permainannya, kenapa ia tidak digilai seperti bola sepak?

Pendapat lain mengatakan bola sepak diminati sebab permainannya mudah difahami. Betul, kalau dibandingkan dengan ragbi, ia jauh lebih mudah. Tetapi dengan sepak takraw rasanya ia lebih susah. Dalam sepak takraw tidak ada ‘curi ayam’ (offside), tidak ada penalti, tidak ada cah keting dan sebagainya.

Jadi kenapa minat orang terhadapnya tidak sama dengan minat mereka terhadap bola sepak? Saya pun tidak tahu. Saya juga tidak tahu pasukan bola sepak Malaysia sekarang ini berada pada kedudukan ke berapa dalam ranking FIFA. Kali terakhir saya semak, pada kedudukan 146.

Selepas itu saya tidak berani menyemaknya semula. Takut ranking itu jatuh lebih ke bawah dan saya pula jatuh pengsan...dush

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai seorang setiausaha politik dan juga bekas wakil rakyat

Klik di sini untuk terus membaca