SHAH ALAM - Tiada sebarang perjanjian pemberian jawatan mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Pengerusi Petronas dibincangkan dalam satu sesi pertemuan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya pada Selasa.
Sebaliknya, bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad menegaskan, pertemuan itu hanyalah merupakan sesi kunjungan hormat Ismail Sabri untuk menemui Anwar atas jemputan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sendiri.
Jelas beliau, pertemuan itu juga merupakan amalan norma bagi seorang bekas Perdana Menteri untuk memberikan buah pandangan dan cadangan konstruktif kepada Perdana Menteri baru dilantik.
"Ismail Sabri adakan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri ke-10 (Anwar) atas jemputan beliau sendiri.
"Sesi pertemuan itu juga perkara norma kebiasaan bagi seorang bekas Perdana Menteri untuk memberikan buah fikiran dan pandangan konstruktif kepada Perdana Menteri baharu dilantik secara tertutup dan terhormat.
"Pertemuan semalam (Selasa) di pejabat Perdana Menteri juga langsung tidak ada bincang sebarang tawaran pelantikan jawatan GLC terhadap Ismail Sabri, termasuk Pengerusi Petronas," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi Naib Presiden UMNO itu bakal dilantik menggalas jawatan Pengerusi Petronas susulan pertemuan dengan Anwar di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada petang Selasa.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan penularan satu poster di media sosial yang mengatakan Ismail Sabri akan dilantik bagi jawatan GLC berkenaan sejak Rabu.
Berikutan itu, terdapat sumber mendedahkan Ahli Parlimen Bera itu bakal diberikan peranan khas dalam sebuah syarikat GLC yang tidak dinamakan dengan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
Dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2021 di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu, Ismail Sabri kemudiannya diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Syed Mohd Fazmi turut menyifatkan desas-desus terdapat usaha pucuk kepimpinan UMNO bagi mengusulkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu tidak akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO tahun hadapan sebagai 'spekulasi liar'.
Jelas beliau, khabar angin mengenai usul itu akan dicadangkan melalui satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) parti dalam masa terdekat ada didengarinya daripada beberapa pemimpin UMNO, namun beliau tidak dapat mengesahkan kesahihannya.
"Sekarang ini macam-macam khabar angin yang muncul berkenaan spekulasi pemilihan UMNO pada tahun 2023. Mana satu yang betul, saya fikir pucuk kepimpinan parti lebih mengetahuinya," tegas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca