TUJUH sebab utama dikenal pasti menjadi faktor peratusan keluar mengundi rendah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang dilaksanakan pada Rabu berbanding kemuncaknya yang... Klik di sini untuk terus membaca

TUJUH sebab utama dikenal pasti menjadi faktor peratusan keluar mengundi rendah bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang dilaksanakan pada Rabu berbanding kemuncaknya yang dilaksanakan pada 19 November lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi antara 60 hingga 75 peratus bagi dua kerusi berkenaan tetapi data pada jam 4 petang menyaksikan Parlimen Padang Serai merekodkan sebanyak 63 peratus manakala DUN Tioman dengan 54 peratus sahaja.

Sebab utama yang dikenal pasti adalah faktor kelesuan politik dan pengundi hilang kepercayaan terhadap calon serta parti bertanding.

Keadaan itu bertambah buruk apabila majoriti pengundi luar tidak pulang mengundi kerana hari pengundian jatuh hari biasa (Rabu) dan tiada cuti umum diberikan Kerajaan Persekutuan mahu pun negeri.

Tambahan pula, suasana kempen PRU15 bagi dua kawasan itu juga berbeza berbanding pada 19 November di mana Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini bermusuhan, kini membentuk gabungan kerajaan di peringkat persekutuan, Perak dan Pahang.

Menjelaskan faktor-faktor itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar sudah meramalkan peratusan kadar keluar mengundi rendah kerana rakyat sudah bosan dan lesu dengan situasi politik negara ketika ini.

Malah katanya, pilihan raya di dua kawasan itu bersifat anti klimaks selepas kemuncak PRU15 berakhir pada 19 November lalu.

"Fenomena ini memang diramal akan berlaku kerana ramai pengundi yang berada di luar kawasan Padang Serai dan Dun Tioman memilih untuk tidak pulang mengundi kerana kebanyakan mereka sudah pulang menunaikan tanggungjawab mereka, pada 19 November lalu.

"Mereka juga enggan keluar mengundi adalah kerana kelesuan politik dan tidak mahu mengundi mana-mana calon susulan mereka sudah hilang kepercayaan kepada gabungan parti bertanding dalam PRU15," katanya kepada Sinar Premium.

Berkongsi pandangan sama Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali menjelaskan, ramai pengundi luar dan setempat merasakan tiada keperluan untuk balik mengundi kerana keputusannya tidak memberikan impak besar kepada status quo dan jatuh bangun Kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri Pahang.

Katanya, ini berbeza jika dibandingkan PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang boleh mengubah Kerajaan Persekutuan atau pentadbiran negeri.

"Sebagai contoh ramai pengundi luar di Kedah sudah balik mengundi pada PRU15 lalu, jadi untuk pulang sekali lagi semasa PRU15, Parlimen Padang Serai sudah pasti memerlukan belanja besar kepada pengundi luar. Oleh itu, mereka berpandangan tiada guna mereka balik mengundi sekali lagi semata-mata untuk balik mengundi," katanya.

Untuk rekod, pengundian bagi dua kerusi terbabit tidak dapat diadakan serentak dengan PRU15 pada 19 November lalu kerana kematian seorang calon yang bertanding di setiap kerusi terbabit sebelum hari mengundi.

Di Padang Serai, calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 November, manakala calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Tioman, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi 19 November.

Parlimen Padang Serai menyaksikan Datuk Azman Nasrudin mewakili PN menang dengan 51,637 undi menewaskan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak (35,377 undi); calon Bebas, Sreanandha Rao (846 undi); dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Hamzah Abd Rahman (424 undi).

Dua lagi calon, walaupun menarik diri kerana memberi sokongan terhadap PH, iaitu dari BN, Datuk C Sivaraajh tetap meraih 2,983 undi manakala calon Parti Warisan, Mohd Bakhri Hashim dengan 149 undi.

Sementara itu, di DUN Tioman, BN melalui Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang dengan 8,080 undi, menewaskan calon PN, Nor Idayu Hashim (7,507 undi); calon Pejuang, Osman A Bakar (79 undi) dan calon Bebas, Sulaiman Bakar (58 undi).

Calon PH yang menarik diri kerana memberi sokongan kepada BN, Mohd Fadzli Mohd Ramly meraih 784 undi.

Berdasarkan perutusan SPR, tindakan menarik diri selepas penamaan calon disahkan, tidak akan mengubah kedudukan nama mereka di atas kertas undi.

Untuk rekod, Parlimen Padang Serai mempunyai 132,955 pengundi, manakala DUN Tioman mempunyai 28,108 pengundi.

INFO

7 SEBAB PERATUSAN UNDI RENDAH DI PARLIMEN PADANG SERAI DAN DUN TIOMAN

1. Kelesuan politik

2. Pengundi hilang kepercayaan kepada calon

3. Pengundi luar tidak pulang mengundi

4. Pengundian pada hari bekerja

5. Tiada cuti khas diberikan

6. Memerlukan belanja yang besar untuk pulang

7. Keputusan tidak akan merubah pentadbiran Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri Pahang

Klik di sini untuk terus membaca