KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di dua kawasan tertangguh iaitu Parlimen Padang Serai di Kedah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada Rabu akhirnya terjawab. Di kerusi Parlimen Padang Serai yang sebelum ini... Klik di sini untuk terus membaca

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di dua kawasan tertangguh iaitu Parlimen Padang Serai di Kedah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang pada Rabu akhirnya terjawab.

Di kerusi Parlimen Padang Serai yang sebelum ini dikuasai Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) meneruskan dominasi kemenangan di negeri Kedah dengan menyapu bersih satu-satunya kerusi Parlimen negeri itu yang masih tertinggal.

Di DUN Tioman yang selama ini merupakan kerusi deposit tetap Barisan Nasional (BN) bagi 14 siri PRU terdahulu, PN nyaris mencipta kejutan untuk merampas kerusi berkenaan meskipun BN kini tampil mendepani PRU dengan sokongan rakan politik baharu, PH.

Di sebalik keputusan dua kerusi PRU15 tertangguh itu mencatat dua pemenang berbeza, hakikatnya terdapat dua indikator jelas yang boleh diambil daripadanya.

Pertama, momentum peralihan tsunami pengundi Melayu terhadap PN yang diterjemahkan pada 19 November lalu, tampak kekal utuh dan semakin menebal tatkala UMNO-BN sudah memuktamadkan kerjasama politik tidak rasmi dengan PH pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Kedua, terdapat petanda jelas kerjasama 'segera' UMNO-BN dengan PH sebenarnya masih kurang diterima sebilangan besar penyokong kedua-dua parti berkenaan secara positif dengan kebanyakan mereka kekal meragui keikhlasan pemimpin-pemimpin yang pernah menjadi musuh ketat politik masing-masing.

"Dengan PN menunjukkan dominasi luar biasa dengan kemenangan majoriti besar di Parlimen Padang Serai pada Rabu, momentum tsunami pengundi Melayu terutama pengundi muda yang lebih menyakini perjuangan politik Pas dan PN dilihat lebih utuh dan teguh.

"Ditambah UMNO-BN mengesahkan kesangsian mereka terhadap keikhlasan perjuangan parti itu lebih-lebih lagi selepas Presiden UMNO yang terpalit kes mahkamah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi Kerajaan Perpaduan pasca PRU15.

Keputusan Parlimen Padang Serai

"Saya jangka kemenangan PN di Parlimen Padang Serai bakal memberi kesan domino terhadap usaha koalisi itu untuk menyapu bersih semua kerusi DUN dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri dikuasai Pas dan tiga negeri dipimpin PH.

"Kemenangan BN di DUN Tioman dengan majoriti tipis pula memberi isyarat kepada pucuk kepimpinan UMNO-BN bahawa pengundi Melayu yang setia menyokong parti itu sebenarnya tidak begitu merestui kerjasama 'segera' koalisi itu dengan PH yang turut dianggotai DAP," kata penganalisis politik veteran, Dr Ahmad Atory Hussein kepada Sinar Premium pada Rabu.

Keputusan PRU15 bagi kerusi DUN Tioman yang tertangguh menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain berjaya menewaskan calon PN, Nor Idayu Hashim; calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly; calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Osman A Bakar dan calon Bebas dengan majoriti 573 undi.

Sementara itu, keputusan rasmi bagi Parlimen Padang Serai menyaksikan PN menerusi calonnya, Datuk Azman Nasrudin memenangi kerusi itu dengan majoriti 16,260 undi.

Beliau menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi.

Dengan keputusan terkini melibatkan kerusi Parlimen Padang Serai, PN bakal menambah satu lagi wakil rakyat di Parlimen kepada 74 kerusi, selain PH (82), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Parti Warisan (tiga), Bebas (dua) dan masing-masing satu daripada Parti Bangsa Malaysia dan Kesejahteraan Demokratik Masyarakat.

PRU15 melibatkan DUN Tioman ditangguhkan berikutan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, beberapa jam sebelum tarikh pengundian dibuka pada 19 November lalu.

Walaupun PH menarik diri, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan, nama Mohd Fadzli tetap disenaraikan pada kertas undi dan pengundi boleh memberi undi kepadanya.

PRU15 bagi Parlimen Padang Serai pula ditangguhkan susulan kematian calon yang disahkan bertanding dan penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya daripada PH.

Pada PRU14, mendiang Karupaiya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 8,813 undi, menewaskan Datuk Dr Leong Yong Kong (BN) dan Muhammad Sobri Osman (Pas).

Ahmad Atory

Selain faktor keresahan pengundi tegar BN dan PH terhadap hala tuju kerjasama politik baharu di antara dua bekas seteru politik berkenaan, Ahmad Atory turut melihat keupayaan BN mampu mengekalkan kemenangan di DUN Tioman dibantu faktor logistik.

Hal ini kerana kedudukan DUN itu yang meliputi keseluruhan kawasan Pulau Tioman menyukarkan pengundi untuk pulang susulan perkhidmatan feri ke pulau itu agak terhad dan jauh.

"Perkara itu dapat dilihat menerusi kadar peratusan keluar mengundi di DUN berkenaan hanya mencapai 54 peratus, petunjuk jelas pengundi rasional dan atas pagar kurang mengambil bahagian atas faktor aksesibiliti pulang mengundi.

"Bagaimanapun, keputusan berbeza berlaku di Parlimen Padang Serai apabila aksesibiliti lebih mudah untuk pengundi pulang mengundi menyaksikan kadar peratusan keluar mengundi mencecah 63 peratus dan membantu kemenangan bergaya PN," tambah Ahmad Atory lagi.

Ditanya sama ada momentum sama bakal dikecapi PN bagi mendepani enam PRN dalam tempoh lima bulan akan datang, Ahmad Atory melihat keputusan Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman masih terlalu awal untuk dijadikan kayu ukur kemenangan mana-mana parti.

Mujibu

Perkara sama turut disokong Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abdul Muis yang berpandangan keputusan dua kerusi bagi PRU15 yang tertangguh itu masih terkesan dengan naratif politik dimainkan PN sepanjang kempen pilihan raya umum lalu.

"Trend sokongan pengundi menjelang enam PRN tahun hadapan berkemungkinan besar akan berubah dan memihak kepada BN-PH sekiranya kerajaan campuran dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya memenuhi jangkaan dan harapan rakyat untuk menjunjung agenda reformasi pentadbiran negara," kata Mujibu.

Klik di sini untuk terus membaca