ATAS kertas, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya berkekalan sehingga berakhir penggal pentadbiran lima tahun kerajaan kelak, merupakan kerjasama politik paling strategik... Klik di sini untuk terus membaca

ATAS kertas, kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya berkekalan sehingga berakhir penggal pentadbiran lima tahun kerajaan kelak, merupakan kerjasama politik paling strategik dan ideal.

Hal ini kerana kerjasama kedua-dua koalisi itu mampu menguasai sejumlah 166 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, sekiranya kolaborasi dua parti itu dapat dipertahankan untuk jangka masa panjang.

Asbabnya mudah, kedua-dua parti yang bermusuhan sebelum terbentuknya Kerajaan Perpaduan, bersaing di segmentasi kawasan pengundi berbeza dengan UMNO-BN lebih tertumpu di kawasan majoriti Melayu luar bandar dan separa bandar.

Pada masa sama, PH pula menguasai kawasan pengundi majoriti bukan Melayu dan kawasan campuran di bandar.

Menariknya, pengaruh UMNO-BN dan PH di kedua-dua segmen dikuasai mereka masih dianggap utuh meskipun BN hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen sahaja pada PRU15.

Konteks di atas turut membawa satu pemahaman mudah sekiranya BN-PH berjaya mengekalkan kerjasama politik sehingga PRU16, secara teorinya proses pemindahan sokongan pengundi antara BN dan PH di kawasan masing-masing akan berlaku secara organik.

Implikasi berbeza akan berlaku sekiranya BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di mana kedua-dua parti berteraskan Melayu Islam itu perlu bersaing merebut sokongan pengundi di segmentasi pengundi sama iaitu kawasan majoriti kaum Melayu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad mempunyai pandangan berlainan dan melihat kesukaran faktor kebolehpindaan undi antara BN dan PH dapat direalisasikan secara mudah.

Beliau mendedahkan satu kajian nasional yang dilaksanakan satu kumpulan penyelidik politik pada bulan Jun 2022 mendapati dua pertiga daripada penyokong kedua-dua parti tidak bersetuju kerjasama diadakan antara BN dan PH pada PRU15.

"Barangkali atas sebab inilah pemimpin BN dan PH menafikan sekeras-kerasnya akan dakwaan adanya persefahaman antara kedua-dua parti tersebut untuk bekerjasama selepas PRU15. Jika perkara ini diketahui pengundi, kedua-dua parti berkemungkinan akan kehilangan sokongan yang lebih besar dalam pilihan raya.

"Kemungkinan untuk BN mengalami kehakisan sokongan yang lebih ketara berbanding PH adalah lebih besar kerana BN dilihat menjadi rakan kongsi minoriti dalam kerajaan pimpinan PH.

"Selain itu, penentu utama kemampanan kerjasama BN-PH adalah berasaskan kemampuan BN menangani tuntutan agresif DAP yang mungkin menyentuh sensitiviti kaum Melayu dan Islam,” ujar Marzuki dalam satu kenyataan di Facebooknya baru-baru ini.

Hakikatnya, kegusaran Marzuki terhadap kemampuan BN dan PH menyerap faktor kebolehpindahan undi di antara dua penyokong parti berkenaan turut diperakui Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis.

Dengan penyokong kedua-dua koalisi yang hebat bermusuhan sebelum PRU15 kini terpaksa menyokong antara satu sama lain pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan, Mujibu melihat akar umbi BN dan PN memang agak janggal untuk bersama buat masa ini.

"Tetapi dalam konteks kelangsungan politik kedua-dua koalisi berkenaan, faktor keanjalan adalah perlu meskipun kedua-dua penyokong BN dan PH mungkin memerlukan masa panjang untuk menyembuhkan ‘luka’ lama.

"Bagaimanapun, terdapat dua faktor penting menjadi penentu sama ada proses kebolehpindaan undi antara PH dan BN dapat berlaku secara mudah atau sebaliknya.

"Pertama, segmen akar umbi BN dan PH akan bertindak balas terhadap prestasi menteri kabinet Kerajaan Perpaduan sekurang-kurangnya bagi tempoh 100 hari, setahun dan sepenggal pentadbiran untuk jangka masa panjang. Jika kerajaan performed, maka proses asimilasi sokongan pengundi BN-PH akan menjadi lebih organik dan positif.

"Kedua, segmentasi kebolehpindaan undi BN-PH turut dipengaruhi faktor hala tuju kepimpinan UMNO selepas pemilihan parti itu tahun hadapan,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

KAYU UKUR PH-PN

Mujibu

Mujibu bagaimanapun menolak sebarang teori bahawa PRU15 Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman wajar dijadikan indikator bagi mengukur sejauh mana proses kebolehpindaan undi PH-BN berlaku secara organik.

Beliau sebaliknya melihat proses itu lebih sesuai diukur sewaktu pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pimpinan PH dan PN dalam tempoh enam lima bulan akan datang.

"Keadaan dan dinamik sokongan itu mungkin berubah pada PRN di enam negeri kelak apabila Kerajaan Perpaduan mula menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan pembentangan Bajet 2023 lebih mampan,” ujar Mujibu.

Bagi seorang lagi penganalisis politik tempatan, penyokong PH dan BN memerlukan sekurang-kurangnya satu tahun tempoh bertenang untuk akar umbi kedua-dua koalisi itu mula berlapang dada menerima kerjasama berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose turut melihat usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Parlimen 19 November ini tidak akan memberikan sebarang pukulan besar kepada blok Kerajaan Perpaduan kelak.

"Saya bersetuju mungkin PRN enam negeri pada tahun hadapan bakal menjadi penentu sama ada kerjasama politik BN-PH mampu berkekalan sehingga PRU16 atau mengulangi sejarah kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan PH pasca PRU14 yang bertahan 22 bulan.

"Lebih-lebih lagi penyokong UMNO dan segmen Melayu konservatif sukar menerima DAP menjadi sebahagian kawan politik dengan parti Melayu pilihan mereka.

"Bagaimanapun, sekiranya DAP di bawah kepimpinan Setiausaha Agung baharunya, Anthony Loke terus mengamalkan pendekatan bersederhana dalam menyantuni rakyat berbanding kepimpinan Lim Guan Eng, saya yakin jurang hubungan UMNO-DAP mampu dirapatkan kelak,” katanya lagi.


JUMLAH KEAHLIAN PARTI-PARTI DALAM BN DAN PH:


BARISAN NASIONAL (BN)

UMNO (Parti mewakili komposisi kaum Melayu)

Jumlah keahlian setakat ini: 3,391,236 orang

MIC (Parti mewakili komposisi kaum India)

Jumlah keahlian setakat ini: 570, 000 orang

MCA (Parti mewakili komposisi kaum Cina)

Jumlah keahlian setakat ini: 1.1 juta orang

JUMLAH KESELURUHAN AHLI BN: 5.061 juta orang


PAKATAN HARAPAN (PH)

Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Jumlah keahlian setakat ini: 1,118,423 orang

DAP

Jumlah keahlian setakat ini: 180,748 orang

Parti Amanah Negara (Amanah)

Jumlah keahlian setakat ini: 250,000 orang

Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda)

Jumlah keahlian setakat ini: 72, 634 orang

JUMLAH KESELURUHAN AHLI PH MUDA (Rakan tidak rasmi): 1,621,805 orang

Klik di sini untuk terus membaca