KITA biasa dengan ungkapan ‘Kerajaan Seri Paduka Baginda’. Dalam tradisi Raja Berperlembagaan Westminster, ia dilengkapi dengan ‘Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda’ (His Majesty’s Loyal Opposition). Mungkin sudah tiba masanya... Klik di sini untuk terus membaca

KITA biasa dengan ungkapan ‘Kerajaan Seri Paduka Baginda’. Dalam tradisi Raja Berperlembagaan Westminster, ia dilengkapi dengan ‘Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda’ (His Majesty’s Loyal Opposition). Mungkin sudah tiba masanya kita menghargai dan menjayakan gagasan tersebut.

Ia bermaksud Parlimen yang diketuai oleh Seri Paduka Baginda terdiri daripada dua bahagian, kerajaan dan pembangkang setia. Pembangkang itu bukan setia kepada kerajaan yang merupakan pesaingnya tetapi setia kepada Seri Paduka Baginda yang melambangkan seluruh negara.

Apakah peranan pembangkang setia? Pertama, memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan. Kedua, bersedia menggantikan kerajaan pada pilihan raya akan datang atau jika kerajaan ‘jatuh’.

Namun, dalam memainkan kedua-dua peranan tersebut, pembangkang tidak boleh mensabotaj atau menjatuhkan kerajaan dengan kaedah yang boleh ‘menghancurkan’ kepentingan negara.

Kesetiaan kepada Seri Paduka Baginda bermakna pembangkang bersaing secara budiman dan profesional. Pembangkang yang bersaing secara tidak sihat sehingga sanggup merosakkan negara sebenarnya tidak setia kepada Seri Paduka Baginda.

Kerajaan Seri Paduka Baginda dan Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda saling menghormati sesama lain kerana mereka tahu suatu hari nanti mereka akan bertukar tempat.

Jika pembangkang hari ini ditindas, maka suatu hari nanti parti kerajaan juga akan ditindas apabila mereka kehilangan kuasa. Juga, jika pembangkang hari ini mensabotaj kerajaan kerana tidak dapat menerima kekalahan, maka ia juga akan disabotaj apabila menang suatu hari nanti.

Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda yang berkesan dipimpin oleh kabinet bayangan seperti parti kerajaan dipimpin oleh kabinet. Menteri-menteri bayangan diberi pengiktirafan rasmi dan akses kepada maklumat kerajaan yang setimpal untuk membolehkan mereka menjalankan tugas.

Di Australia, seorang menteri kabinet menerima gaji tambahan 72.5 peratus daripada gaji asasnya sebagai ahli Parlimen, manakala seorang menteri kabinet bayangan mendapat 25 peratus daripada gaji asas ahli Parlimen atau sedikit lebih daripada satu pertiga gaji menteri kabinet.

Ketua pembangkang Parlimen dan timbalannya pula diberi gaji lebih sedikit daripada separuh gaji Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Ia seharusnya dicontohi oleh Malaysia untuk memupuk kestabilan politik dengan persaingan sihat antara parti. Harus diwujudkan satu akta Parlimen yang memberi kuasa kepada ketua pembangkang Parlimen untuk melantik seorang menteri bayangan bagi setiap orang menteri yang dilantik kerajaan, yang dibayar gaji sepertiga gaji menteri, dibiayai seorang penyelidik dasar bertauliah sarjana atau ke atas dan dijamin akses kepada maklumat kerajaan.

Mereka tidak akan diberi pencen dan pelbagai elaun lain, tidak menerima setiausaha dan pembantu lain yang dinikmati oleh menteri dan jauh lebih tinggi kosnya daripada gaji menteri.

Dalam kata lain, sekalipun kita tambahkan 28 menteri bayangan dengan gaji sepertiga menteri, per-belanjaan tambahannya lebih kurang RM5 juta setahun.

Ia jauh lebih murah kosnya daripada sebuah ‘kabinet gemuk kerajaan campuran gergasi’ yang merangkumi semua parti dan kos ketidakstabilan politik jika pembangkang tidak dapat menerima kekalahan sehingga enggan atau gagal menjadi Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda.

Seperti menteri-menteri kabinet mengangkat sumpah di istana, menteri-menteri kabinet bayangan juga harus mengangkat sumpah di istana dengan ketaatan selaku Pembangkang Setia Seri Paduka Baginda.

Mudah-mudahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperkukuhkan demokrasi dengan membawa satu rang undang-undang kabinet bayangan dalam sesi Parlimen pada Disember ini.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway.

Klik di sini untuk terus membaca