SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman masih belum dapat menterjemahkan sokongan atau penolakan pengundi terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, masih terlalu awal untuk memerangkap respons rakyat terhadap pembentukan Kerajaan Perpaduan yang antara gabungannya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)
"Kabinet Kerajaan Perpaduan baru terbentuk lima hari dan tidak ada sebarang pencapaian atau kegagalan lagi.
"Saya rasa keputusan ini hanya menggambarkan trend pengundian pada PRU15 yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Nada sama turut disuarakan Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang berkata, faktor pemilihan pengundi adalah bergantung kepada dua perkara iaitu sama ada ditentukan dengan isu-isu nasional atau isu-isu berkepentingan tempatan.
"Ia adalah satu proses yang bermula sebelum PRU15 lagi. Kemungkinan pengundi telah membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka pilih dan hanya diterjemahkan dengan pengundian yang agak lewat.
"Sama ada dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan merubah keputusan sedia ada yang dibuat pengundi adalah satu perkara yang perlu dilihat dengan lebih teliti,” katanya.
Noor Nirwandy berkata, kajian juga perlu dilakukan untuk melihat jumlah undi yang didapati dan jurang perbezaan undi-undi tersebut serta apakah sebenarnya yang mengakibatkan berlakunya penerimaan atau penolakan pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan.
Sementara itu, bagi penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, keputusan pemilihan Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman adalah referendum yang akan memperlihatkan sama ada konteks kerjasama PH dan BN diterima atau tidak.
"Bagi saya, referendum daripada PRU15 Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman itu sangat bermakna dan merupakan isyarat yang akan memandu hala tuju politik negara selepas ini.
"Sama ada perlu ada perubahan terhadap dasar kerjasama, atau kerajaan yang mentadbir negara hari ini perlu menilai apa yang mereka lakukan dengan memerhatikan mesej yang jelas daripada rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca