SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan berlakunya penjajaran baharu terhadap gabungan parti politik di dalam negara. Paling menjadi tumpuan tentunya kerjasama membabitkan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan berlakunya penjajaran baharu terhadap gabungan parti politik di dalam negara.

Paling menjadi tumpuan tentunya kerjasama membabitkan Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Umum mengetahui, dua gabungan itu terdiri daripada parti politik yang dilihat telah bermusuhan sekurang-kurangnya lebih dua dekad.

Untuk rekod, PH terdiri antaranya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) manakala BN pula dibentuk oleh komponen utama iaitu UMNO, MCA dan MIC.

Pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, walaupun kerjasama itu pada awalnya dilihat hanya bertujuan untuk membantu pembentukan kerajaan, perkembangan terkini menyaksikan terdapat cubaan untuk kedua-dua parti mengekalkan perhubungan itu bagi tempoh lebih lama.

Ia selepas BN dan PH masing-masing bersetuju untuk tidak bersaing antara satu sama lain dalam PRU15 di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

"Selain faktor kedua-dua parti ini merupakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, realiti politik berlaku sekarang ini memperlihatkan mereka saling memerlukan.

"Contohnya PH, mereka memerlukan sokongan Melayu dalam UMNO dan UMNO sendiri pun untuk pastikan dia relevan sebagai sebuah parti Melayu, dia kelihatannya perlu bersama PH.

"Ini kerana jika mereka bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam Perikatan Nasional (PN), UMNO tidak lagi menjadi parti yang besar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Izani berkata, senario itu sememangnya bakal mewujudkan dominasi persaingan antara dua blok utama dalam politik negara iaitu antara PH-BN dan PN untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Menjelaskan mengenai kemampuan PH dan BN bagi memastikan kesinambungan kerjasama tersebut, beliau berkata, terdapat dua faktor utama yang bakal menentukan perkara tersebut iaitu kedudukan kepimpinan elit politik dan kompromi melibatkan pelaksanaan dasar kerajaan perpaduan.

"Jadi saya nampak kelangsungan Kerajaan Perpaduan dan kerjasama politik ini bergantung kepada pemimpin elit Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Sekiranya elit politik ini berubah atau tidak lagi penting, saya nampak itu mungkin akan berlaku sedikit masalah,” katanya.

Kompromi

Bagi faktor kedua pula iaitu kompromi dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, ia boleh dilaksanakan jika parti seperti DAP dan UMNO menggunakan pendekatan lebih sederhana dalam menyuarakan dasar parti masing-masing.

Ia antaranya melibatkan hal sensitiviti orang Melayu seperti kelulusan sijil Unified Examination Certificate (UEC), peruntukan terhadap sekolah jenis kebangsaan dan persoalan ekonomi.

"Tapi saya kira parti seperti PKR dan DAP, mereka dah belajar banyak pengalaman kegagalan semasa berada dalam kerajaan PH sebelum ini.

"Jadi kita menjangkakan tindakan mereka tidak akan banyak menimbulkan banyak kontroversi dan akan lebih fokus kepada isu-isu melibatkan kepentingan bersama dan menghormati sensitiviti orang Melayu Islam yang merupakan kumpulan majoriti di dalam negara,” ujarnya.

Mohd Izani menambah, keperluan semasa untuk memastikan kelangsungan kerjasama dengan PH juga bakal menyaksikan BN terutamanya UMNO untuk mengguna pakai naratif baharu dalam memperjuangkan kepentingan Melayu yang lebih fleksibel dan terbuka.

"Bagi PN pula, saya melihat mereka mempunyai masa depan yang baik dengan syarat mereka perlu bijak dalam memanfaatkan sokongan majoriti Melayu yang diperolehi mereka dalam PRU15 baru-baru ini.

"Maksudnya kalau sekarang ini mereka menjadi pembangkang, mereka harus jadi pembangkang yang konstruktif dan membina, tidak sekadar meniup sentimen agama dan perkauman,” ujar beliau.

Jelasnya lagi, walaupun PN tidak berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan, gabungan itu dilihat masih mempunyai pengaruh yang besar melalui penguasaan mereka di beberapa negeri seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, meskipun masih terlalu awal, perkembangan semasa dilihat menjurus kepada berlakunya pembentukan blok antara PH-BN untuk bersaing dengan PN.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan pada tahun hadapan bakal menjadi indikator penting untuk memberikan gambaran berkenaan bentuk sokongan terhadap kedua-dua blok gabungan tersebut.

"Setakat ini yang jelas adalah parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan akan kekal dalam satu blok untuk bersaing dengan PN,” ujar beliau.

Menurutnya, di sebalik kekuatan ditunjukkan PN dengan memenangi kerusi di utara dan pantai timur negara pada PRU15, PH-BN masih mempunyai peluang untuk kembali bersaing di kawasan berkenaan terutamanya di negeri yang disifatkan sebagai ‘swing states’ seperti Kedah dan Terengganu.

Klik di sini untuk terus membaca