SISTEM Kedudukan Global atau Global Positioning System (GPS) telah lama meresap dalam kehidupan masyarakat negara ini. Ada yang meletakkan koordinasi GPS longitud dan latitud pada kad jemputan perkahwinan. Malah ada yang sanggup... Klik di sini untuk terus membaca

SISTEM Kedudukan Global atau Global Positioning System (GPS) telah lama meresap dalam kehidupan masyarakat negara ini.

Ada yang meletakkan koordinasi GPS longitud dan latitud pada kad jemputan perkahwinan.

Malah ada yang sanggup menghabiskan wang untuk membeli jam mewah berorientasikan GPS. Itu hakikatnya GPS dalam kehidupan kita.

Namun, adakala ramai yang terkeliru dengan GPS apabila berada dalam bandar. Ini kerana GPS dikatakan bertembung dengan frekuensi radio yang dilantun oleh bangunan besar.

Satu persoalan penulis, kenapa GPS penting dalam kehidupan kita?

GPS berkait rapat dan menjadi tunjang bagi kebanyakan perkhidmatan berasaskan lokasi dan sistem navigasi seperti kenderaan autonomi, dron, kapal dan peranti boleh pakai.

Salah satu cabaran utama adalah untuk mengesahkan sama ada lokasi geografi yang dilaporkan sah disebabkan wujudnya pelbagai alat penipuan GPS.

Alat penipuan seperti FalseGPS, Lockito dan radio yang ditentukan perisian, membolehkan pengguna biasa merampas serta melaporkan koordinat GPS palsu serta menipu pelayan pemantauan tanpa dikesan.

Kebelakangan ini wujud kegilaan terbaharu rakyat Malaysia bermain dron. Asas utama dron ialah lokasi GPS.

Penulis pernah dimaklumkan oleh sumber pertahanan berpangkalan di Eropah betapa dron yang memiliki sumber GPS tepat mampu menghapuskan musuh dari jarak satu kilometer.

Tidak perlu lagi pertempuran jarak dekat. Itulah kelebihan GPS.

Justeru, penulis terpegun dengan keupayaan sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Delft (TU Delft), universiti teknikal awam tertua dan terbesar di Belanda yang pernah disenaraikan 10 universiti kejuruteraan dan teknologi terbaik di dunia.

TU Delft juga pernah menduduki tempat kedua bidang seni bina dan kejuruteraan awam selepas Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat.

TU Delft berjaya mencipta teknologi navigasi dengan ketepatan 10 sentimeter (sm) terhampir yang jauh lebih tepat daripada teknologi GPS.

Teknologi navigasi terbaharu ini pasti akan menyebabkan semua perkara yang berkaitan nagivasi GPS tidak boleh dipalsukan sama sekali.

Konsep perkiraan ini telah disebut ALLAH SWT dalam surah al-Muzzammil [73:20] bermaksud, "Dia (ALLAH) mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia (ALLAH) menarik balik perintah-Nya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya daripada al-Quran.”

Kumpulan penyelidik TU Delft diketuai Christian Tiberius berjaya membangunkan sistem penentududukan alternatif (APS) yang lebih mantap dan tepat daripada teknologi navigasi GPS dikenali sebagai SuperGPS.

Ini akan memudahkan pengguna mendapat lokasi GPS sangat tepat dalam bandar besar seperti New York, London, Paris, Rom, Munich, Tokyo, Shanghai, Beijing atau Singapura.

Di negara ini, penulis mendapati GPS mula digunakan sejak awal 1970-an. GPS digunakan untuk kereta, kapal laut, kapal terbang, kamera, peralatan pembinaan, jentera pertanian, komputer riba dan telefon pintar.

Begitu pun, GPS berdepan masalah ketepatan atau kedudukan terhampir antara 50 meter (m) dan 100m. Ia terlalu bergantung kepada isyarat satelit.

Jika kedudukan ketepatan diperbetulkan menggunakan teknik pembetulan pembezaan (differential correction) mungkin kesilapan ketepatan mampu seminimum 5m sahaja.

Berdasarkan artikel disiarkan SciTechDaily pada 16 November lalu, prototaip yang dibangun menunjukkan infrastruktur rangkaian mudah alih baharu ini mencapai ketepatan seminimum 10sm.

Penulis percaya kejayaan terbaharu SuperGPS dibangunkan TU Delft merupakan penemuan penting untuk pelbagai aplikasi berasaskan lokasi termaju, termasuk kenderaan autonomi, komunikasi kuantum dan sistem komunikasi mudah alih generasi akan datang.

Paling penting ia akan menjadi tunjang utama kepada golongan OKU cacat penglihatan.

Penulis pernah membaca laporan penyelidikan Yayasan Orang Buta Malaysia Kuala Lumpur yang membuktikan kesukaran penggunaan GPS dalam kalangan orang buta di bandar raya.

Penyelidikan tersebut dilaksanakan mengikut metodologi etnografi dan pengujian pemerhatian lapangan ke atas sekumpulan masyarakat buta tatkala menavigasi perjalanan menggunakan teknologi GPS sedia ada.

Oleh itu, penulis ingin mencadangkan generasi penyelidik muda di Malaysia segera memahami penyelidikan SuperGPS.

Pada masa yang sama, mereka juga boleh menyelidik pembangunan peralatan kemudahan berasaskan GPS untuk kegunaan golongan cacat penglihatan.

Kesimpulannya, teknologi akan terus berevolusi. SuperGPS membuktikan penyelidik Barat tidak pernah tidur dan sentiasa mencari inovasi terkini sebagai sumbangan kepada generasi akan datang.

Persoalannya kini, apakah sumbangan penyelidik dan saintis Malaysia kepada dunia?

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca