SHAH ALAM - Penghapusan monopoli terhadap keperluan asas seperti beras berupaya membantu menurunkan harga barangan itu di pasaran.
Pakar Sekuriti Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Dr Abdul Shukor Juraimi berkata, ia juga dapat membenarkan banyak syarikat lain untuk turut serta menceburi dalam sektor pembekalannya.
Ujar beliau, dengan adanya persaingan dalam kalangan syarikat pembekal akan menyebabkan harga beras yang berpatutan kepada pengguna.
"Perkara ini dapat kita lihat jelas dalam sektor pembekalan beras import apabila terdapat beberapa pihak yang memonopoli, jadi bila dihapuskan ia dapat memberi sedikit perubahan.
"Pengeluaran beras di negara kita sekarang pula kurang memuaskan kerana pada tahun 2021 kita hanya dapat menghasilkan sehingga 65 peratus dan selebihnya perlu bergantung kepada import,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu, Abdul Shukor berharap kerajaan dapat memberikan subsidi lebih tinggi kepada golongan pesawah dalam meningkatkan produktiviti terhadap pengeluaran sumber makanan utama itu.
"Jika sekarang subsidinya dalam RM360, mungkin selepas ini kerajaan boleh naikkan sehingga RM450.
"Kita tak nak nanti pesawah merungut tanam padi tak untung dan akhirnya mereka pun sudah tidak mahu tanam lagi,” tambah beliau.
Sementara itu, Bernama melaporkan, isu monopoli industri beras tempatan dan import beras yang dikuasai tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang juga pemegang saham terbesar Padiberas Nasional Bhd (Bernas) perlu dilihat dari perspektif kepentingan pesawah miskin dan bukannya dijadikan isu kaum.
Naib Presiden Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan, M Rathakrishanan berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa Bernas memberi balik RM60 juta kepada pesawah miskin perlu dilihat dari sudut positif oleh semua pihak termasuk netizen di media sosial.
"Isu ini (monopoli import beras) adalah suara rakyat dan demi kebajikan pesawah. Bagi saya, netizen yang menjadikan isu Bernas ini sebagai isu perkauman adalah sangat tidak relevan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif Anwar itu adalah bagi meringankan beban serta membela nasib pesawah yang kebanyakannya daripada golongan B40.
"Bagi golongan pesawah, pasti mereka merasakan ada sinar daripada pengumuman Perdana Menteri itu kerana ada bantuan yang akan diberikan kepada mereka,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin berkata, walaupun inisiatif Anwar itu bertujuan membela nasib pesawah miskin, namun pada masa sama Bernas juga mempunyai tanggungjawab besar walaupun ia memonopoli industri terbabit.
"Bila kita lihat dari segi keupayaan Bernas, syarikat ini mempunyai tanggungjawab yang tinggi kerana syarikat itu perlu membeli kesemua beras daripada pesawah, tidak kira dari segi cantik atau tak cantik. Walaupun harganya berbeza mengikut kualiti namun Bernas tetap mengambil tanggungjawab sama,” katanya.
Tanggungjawab Bernas
Tambahnya, Bernas turut mempunyai tanggungjawab dalam mengimbangi harga beras yang diimport ke negara ini mahupun beras tempatan.
"Seperti yang kita tahu, harga beras dari negara jiran dijual dengan harga lebih murah berbanding negara kita. Kalau katakan kerajaan buka pasaran industri beras (kepada syarikat lain), mungkin syarikat yang baharu ini akan mengambil inisiatif untuk mengimport beras dari negara jiran sebab ia lebih berkualiti dan harganya lagi murah.
"Jadi belum tentu lagi syarikat baharu ini akan mengambil beras tempatan. Dari sini akan wujud ketidakseimbangan terhadap pesawah tempatan kita. Di sini Bernas melakukan perkara yang baik, syarikat itu tetap mengambil hasil pesawah tempatan, walaupun ia boleh sahaja mengambil beras import,” katanya.
Beliau berkata, jika industri beras ini dibuka dan tidak dimonopoli, kebarangkalian pesawah tempatan yang mendapat hasil beras yang kurang berkualiti akan berdepan dengan penurunan hasil jualan.
Oleh itu, beliau menyarankan kepada kerajaan untuk mencari mekanisme baharu supaya ia dapat memberi situasi menang-menang kepada Bernas dan juga pesawah.
Sementara itu, Anwar sentiasa konsisten terhadap isu bagi membantu golongan pesawah, malah beliau pernah menyuarakan perkara tersebut pada Julai lepas di Dewan Rakyat dengan membidas tindakan kerajaan melanjutkan tempoh konsesi Bernas selama 10 tahun bermula dari 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.
Beliau dilaporkan berkata, lanjutan itu perlu dihentikan supaya peladang, petani dan pesawah padi mendapat manfaat langsung.
Anwar menegaskan, kerajaan perlu menghentikan monopoli import beras serta membantah keras dasar yang menguntungkan pemodal dalam keadaan rakyat dan pesawah padi susah.
Pada sidang media Isnin lepas, Anwar berkata, kerajaan pimpinannya akan meneliti isu monopoli import beras yang dikuasai Syed Mokhtar serta meneliti keuntungan beliau yang membeli pegangan Bernas milik Tan Sri Tan Boon Seng dengan harga RM800 juta dan Datuk Seri Shahidan Kassim (RM400 juta).
Anwar berkata, Syed Mokhtar bersetuju memperuntukkan RM10 juta bulan ini dan RM50 juta tahun depan kepada pesawah miskin.
Klik di sini untuk terus membaca