PRU15 telah selesai, tetapi kekesalan terhadap pelantikan Perdana Menteri (PM), seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM), beberapa menteri, gelagat PM dan sesetengah menteri masih berlarutan. Ini ditunjukkan kelmarin oleh sokongan kepada... Klik di sini untuk terus membaca

PRU15 telah selesai, tetapi kekesalan terhadap pelantikan Perdana Menteri (PM), seorang Timbalan Perdana Menteri (TPM), beberapa menteri, gelagat PM dan sesetengah menteri masih berlarutan.

Ini ditunjukkan kelmarin oleh sokongan kepada kedua-dua calon PN, di mana Datuk Azman Nasrudin menang besar di Parlimen Padang Serai dan Idayu Hashim kalah tipis di DUN Tioman. Ini bermakna rakyat memprotes kerjasama PH-BN.

Pada masa yang sama, kita harus terus menggerakkan pembangunan Politik Baharu, iaitu politik yang lebih segar dan bersih, yang berasaskan nilai dan demokrasi Malaysia yang matang, iaitu moderat dan pelbagai kaum – centripetalisme.

Ia soal pembaharuan, islah, reformasi. Saya menulis tentangnya sejak 2006 dan percaya bahawa pelaksanaannya, walaupun melalui jalan berliku-liku, akhirnya akan berhasil jua.

Buat masa ini, terdapat dua perkara pokok yang wajar dilaksanakan. Pertama, PN menjadi pembangkang konstruktif (profesional dan progresif).

Dalam konteks ini, perlu diwujudkan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA), iaitu sesuatu yang lebih konkrit daripada MoU antara PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang dahulu.

CSA melibatkan, antaranya:*Peranan dan kedudukan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat (DR)/Dewan Undangan Negeri (DUN).

Walaupun jawatan Ketua Pembangkang telah wujud di DR, tetapi peranan dan kedudukannya masih samar. Ia perlu diperjelaskan.

Bagi negeri yang belum mempunyainya, ia perlulah diwujudkan.

*Pembentukan kabinet bayangan di Persekutuan/Exco bayangan di negeri-negeri. Ia penting sebagai platform pembangkang yang berkesan dan persaingan sihat dengan kerajaan.

*Penetapan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas. Wujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas DR mutakhir ini baik. Ia perlu diinstitusikan supaya peranannya lebih bermakna.

*Penggubalan akta/enakmen peruntukan kawasan. Idealnya, wakil rakyat tidak memerlukan peruntukan kawasan. Tetapi, sekiranya ia diadakan, maka, ia harus saksama, dan perlu diperundangkan supaya konsisten.

Dan kedua, bagi memperbaiki parti, PN harus mengadakan muhasabah dan mengolah semula idealisme perjuangannya. Supaya lebih jelas matlamatnya (iaitu tidak terhad kepada manifesto PRU), mengamalkan kesederhanaan (wasatiyah) dan bersifat centrist.

Bagi Bersatu, ia perlu menjalankan tiga perkara utama. Satu, menetapkan DNAnya. Adakah ia masih sebagai pengganti UMNO atau lebih besar lagi? Apakah dasar-dasar fundamentalnya?

Dua, memperkasa sayap bersekutu bagi memastikan penglibatan lebih bermakna anggota-anggota bukan-Melayu/bumiputera.

Dan tiga, meningkatkan program perkaderan, supaya memiliki jentera PRU dan anggota yang lebih komited dan mantap.

PRU16 dan seterusnya akan berlangsung atas faktor baharu, contohnya, persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN, perubahan demografik dan rakyat lebih celik politik. Marilah melihatnya dari sudut pembaharuan.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca