PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas berakhirnya perebutan kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah pada Rabu, menyaksikan tsunami Perikatan Nasional (PN) terus membadai tiga negeri di utara tanah air. Dengan pertambahan satu kerusi... Klik di sini untuk terus membaca

PASCA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas berakhirnya perebutan kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah pada Rabu, menyaksikan tsunami Perikatan Nasional (PN) terus membadai tiga negeri di utara tanah air.

Dengan pertambahan satu kerusi itu, PN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini memiliki bilangan 74 kerusi Parlimen.

Apabila berakhirnya perebutan 222 kerusi Parlimen itu juga, pentas politik negara kini disajikan dengan jajaran baharu parti melibatkan Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan menentang PN yang bertindak sebagai pembangkang.

Berdasarkan pemerhatian Sinar Premium, mengambil kira jajaran baharu PH-BN yang membentuk kerajaan pada hari ini, koalisi berkenaan mampu merampas 32 kerusi milik PN, jika digabungkan jumlah undi yang dikumpul oleh parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Koalisi PH-BN itu bakal menguasai sepenuhnya kerusi Parlimen di Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Melaka dan Johor.

Di Pulau Pinang, PH-BN dijangka menguasai sepenuhnya Pulau Mutiara termasuk tiga kawasan Parlimen iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh yang sebelum ini jatuh ke tangan PN pada 19 November lalu.

Begitu juga di Pahang, PN berisiko hilang semua tujuh kerusi Parlimen dimenangi iaitu Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan, Maran, Kuala Krau, Temerloh dan Rompin, sekiranya undi PH-BN disatukan.

Di Jerantut misalnya, PH-BN akan mengumpul jumlah undi sebanyak 35,053 berbanding 31,701 undi dimiliki PN, manakala Indera Mahkota, PN dengan 41,692 undi boleh tewas di tangan gabungan PH-BN yang memperoleh 49,823 undi.

Di Selangor juga, enam kerusi Parlimen yang dimenangi PN iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat akan bertukar tangan sekiranya jumlah undi PH-BN disatukan.

Seterusnya Melaka dengan enam kerusi Parlimen, PN yang menang di tiga kerusi iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu dan Jasin bakal kehilangan tiga kerusi itu sekiranya undi PH-BN digabungkan.

Di Johor, PN menang di dua kerusi Parlimen iaitu Pagoh yang diwakili oleh Muhyiddin dan Mersing, namun kedua-duanya juga boleh bertukar tangan.

Gabungan PH-BN dengan jumlah keseluruhan undi sebanyak 25,542 berbanding 21,066 undi milik PN mampu merampas kerusi Mersing daripada perikatan tersebut.

Sementara di Pagoh, PH-BN yang mengumpul keseluruhan 29,405 undi akan menamatkan dominasi Muhyiddin yang hanya memperoleh 24,986 undi.

Di Perlis, satu daripada tiga kerusi Parlimen dimenangi PN iaitu Kangar, boleh terlepas daripada penguasaan mereka sekiranya PH-BN bergabung dengan jumlah keseluruhan undi sebanyak 30,513 mengatasi jumlah undi milik perikatan tersebut sebanyak, 24,562.

Di Kedah pula, PN yang menang 14 daripada 15 kerusi Parlimen akan kehilangan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, di mana jika undi PH-BN digabungkan koalisi itu akan memperoleh 35,280 undi mengatasi PN dengan 34,469 undi.

Di Perak, PN ketika ini menguasai sejumlah 10 kerusi Parlimen terdiri daripada Gerik, Larut, Parit Buntar, Bagan Serai, Bukit Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Lumut.

Bagaimanapun, PN berisiko hilang lapan daripada kerusi tersebut jika bilangan undi PH-BN digabungkan.

Klik di sini untuk terus membaca