JUBA - Keganasan yang tercetus di Selatan Sudan telah memaksa ribuan orang awam melarikan diri dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dedah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Katanya, lebih menyedihkan terdapat sebilangan... Klik di sini untuk terus membaca

JUBA - Keganasan yang tercetus di Selatan Sudan telah memaksa ribuan orang awam melarikan diri dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dedah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, lebih menyedihkan terdapat sebilangan pelarian ini terpaksa bersembunyi di paya dan makan pokok renek untuk terus hidup.

Pertumpahan darah di negeri Upper Nile telah mengorbankan sejumlah mangsa yang tidak diketahui selain kes rogol dan penculikan orang awam semasa konflik semakin meruncing.

Pejabat bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, lebih 9,100 penduduk hilang tempat tinggal sejak pertempuran antara puak bersenjata meletus di Fashoda County pada pertengahan November.

"Komuniti kemanusiaan di Sudan Selatan terkejut dengan keganasan berterusan yang memberikan kesan buruk kepada kehidupan dan mata pencarian oleh penduduknya," kata Peter Van der Auweraert dari OCHA menerusi kenyataan.

Agensi Pesuruhjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR) berkata, sekurang-kurangnya 20,000 orang telah melarikan diri dari keganasan itu sejak pertama kali meletus pada Ogos lalu, termasuk 3,000 di sempadan kejiranan Sudan.

Penduduk memindahkan barangan peribadi menggunakan trak UNCHR ke kem berdekatan di Selatan Sudan.

UNHCR menambah, orang ramai seperti orang tua dan orang kurang upaya yang tidak dapat melarikan diri terpaksa mencari perlindungan di semak sepanjang tebing Sungai Nil Putih.

Difahamkan pertempuran telah merebak di sempadan negeri Jonglei dan Unity.

Sebuah kem perlindungan berhampiran Malakal dilaporkan semakin padat dengan pendatang baharu. Kem itu dibuka sejak sedekad lalu dan menempatkan 12,000 orang yang kini didiami 37,000 orang.

Mangsa terselamat memberitahu UNHCR bahawa puluhan orang ramai terbunuh atau cedera mananakala sebilangan lagi mati lemas ketika cuba menyeberangi sungai untuk melarikan diri.

Penduduk menggunakan bot melarikan diri melalui Sungai Nil.

Di lokasi lain pula, mereka terpaksa memakan tumbuhan liar untuk terus hidup.

"Keadaan mereka sangat terdesak," kata wakil UNHCR, Arafat Jamal.

Sementara itu, Misi PBB di Selatan Sudan (UNMISS) merayu secara terbuka agar tentera kerajaan yang berpangkalan di bandar Kodok campur tangan dan menghalang keganasan tersebut.

Minggu lalu, PBB mengadakan pertemuan dengan diplomat dari Kesatuan Afrika dan komuniti antarabangsa bagi membincangkan krisis semakin kemuncak ini.

Selatan Sudan mencapai kemerdekaan pada 2011, tetapi mengalami perang saudara dua tahun kemudian yang menyebabkan 400,000 orang terkorban. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca