LONDON - Ruang pejabat di Twitter yang berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) kini telah ditukar menjadi bilik tidur. Perkara itu dibongkar BBC pada Khamis menerusi bukti bergambar yang turut membawa kepada siasatan dilancarkan... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Ruang pejabat di Twitter yang berpusat di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) kini telah ditukar menjadi bilik tidur.

Perkara itu dibongkar BBC pada Khamis menerusi bukti bergambar yang turut membawa kepada siasatan dilancarkan pihak berkuasa berhubung pelanggaran kod bangunan.

Jabatan Pemeriksaan Bangunan di bandar tersebut mengesahkan mereka telah menerima aduan tentang perkara itu.

"Kami sudah menyiasat kesemua laporan itu. Terdapat peraturan berbeza untuk bangunan kediaman walaupun ia digunakan bagi penginapan jangka pendek,” kata jurucakap jabatan itu, Patrick Hannan.

Salah satu imej tersebut memaparkan sebuah bilik dilengkapi katil kelamin termasuk almari pakaian dan selipar.

Siri pembaharuan 'memeningkan' telah dibuat Musk sejak pengambilalihan 'huru-hara' pada Oktober lalu.

Tetapi, Musk menyelar siasatan tersebut dan menyifatkan pihak berkuasa sengaja ‘menyerang’ syarikat berkenaan hanya kerana ia menyediakan katil untuk kakitangan yang ‘penat’ bekerja.

Menerusi ciapan sebelum ini yang telah dipadamkan, Musk menegaskan beliau akan bekerja dan tidur di pejabat sehingga ‘struktur firma itu dipulihkan’.

Seorang bekas pekerja syarikat gergasi media sosial itu mendedahkan bos baharu Twitter, Elon Musk tinggal di ibu pejabat firma tersebut sejak pengambilalihan ‘huru-hara’ oleh bilionair Amerika berkenaan pada Oktober lalu.

Ia sekali gus mengiakan laporan media sebelum ini yang mendakwa beliau tidak memiliki rumah sendiri dan ‘menumpang’ di rumah rakannya.

Antara gambar lain yang diperoleh BBC ialah sofa di premis itu yang dijadikan sebagai katil.

Bekas kakitangan Twitter mendakwa almari pakaian turut ditempatkan di pejabat tersebut.

Selain itu, sebuah bilik persidangan turut dilengkapi kelengkapan seperti di dalam bilik tidur termasuk jam loceng.

"Ia sudah kelihatan seperti bilik hotel,” kata bekas kakitangan Twitter yang mendakwa Musk sering tidur di pejabat.

Foto memaparkan Pengarah Pengurusan Produk Twitter, Esther Crawford yang terpaksa tidur di lantai pejabat demi untuk mematuhi tarikh akhir ditetapkan Musk turut menjadi tular pada bulan lalu.

STAF TESLA 'MENUMPANG'

Pada bulan lalu, Musk yang mengumumkan siri pembaharuan ‘memeningkan’ turut menghantar e-mel kepada seluruh staf dan mengarahkan mereka supaya bekerja ‘lebih keras dan lebih masa’ untuk berjaya.

"Hanya prestasi luar biasa akan menentukan jika seseorang sudah melakukan tugas mereka dengan baik dan efisien,” katanya.

ARAHAN MENGARUT

Senator California, Scott Wiener bagaimanapun menyelar ‘arahan mengarut’ pemilik Tesla berkenaan.

"Beliau kini telah menyebabkan staf terpaksa tidur di pejabat. Ia jelas menunjukkan Musk tidak mengambil berat dan langsung tidak peduli dengan kebajikan pekerjanya,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa berkaitan ketika disoal CBS News tentang perkara tersebut memberitahu mereka perlu memastikan bangunan berkenaan tidak disalah guna.

Sebagai respons terhadap kritikan terhadapnya, Musk cuba berdalih dengan menyatakan pihak berkuasa San Francisco sepatutnya mengutamakan masalah lebih besar seperti melindungi golongan muda daripada penyalahgunaan dadah opioid berbanding aduan tentang pejabatnya.

Menerusi laporan Bloomberg, ia mendakwa ‘hotel Twitter’ itu turut menempatkan kakitangan Tesla dan staf perniagaan lain milik Musk yang dibawa masuk bekerja di premis berkenaan.

"Sebahagian daripada mereka ‘bermalam’ untuk menghadiri mesyuarat kerja,” jelas laporan itu.

Pada Mei 2020 sebelum diambil alih Musk, Twitter memaklumkan kepada kakitangan mereka boleh meneruskan bekerja dari rumah kerana langkah tersebut, namun kelonggaran itu ditarik balik bos baharu mereka yang mengumumkan ‘tiada lagi polisi bekerja jarak jauh’. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca