SELEPAS tiga minggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tamat, masih belum ada tanda bahawa semua pihak akan beralih daripadanya. Malah, selepas kerajaan terbentuk pun, politiking keterlaluan masih jelas kelihatan.
Seolah-olah menggambarkan payahnya orang politik kita untuk bersikap matang dan profesional. Benar hal-hal politik banyak menjemukan daripada mengujakan.
Sekuat mana pun mengelaknya tetap akan berbalik kepada semua tetapi tidak semuanya. Cuma, sampai bila kita berterusan melihat dan dihidangkan dengan gelagat politikus yang bertelingkah dek kerana haus kuasa.
Ruangan ini tidak mahu mengulas lanjut tentang hal tersebut. Bosan dan muak untuk melanjutkannya. Yang membaca pun boleh jadi mual dan loya.
Namun, di sebalik kekurangan memang ada terselit hikmah. Bak hujan yang selepasnya memunculkan pelangi. Hikmah yang boleh dijadikan sempadan untuk diteladani.
Situasi unprecedented Parlimen tergantung selepas PRU15 berjaya dileraikan dengan cemerlang menerusi peranan istana. Tanpa sosok Yang di-Pertuan Agong, kekusutan politik negara sepanjang itu mungkin tidak terlerai.
Inilah hikmah di sebalik segalanya. Akhirnya membuktikan kepentingan institusi diraja dalam sistem politik dan pentadbiran negara.
PERANAN CEMERLANG
Hal itu menzahirkan bagaimana institusi diraja menjadi ‘pancuran keadilan’ kepada negara. Kebijaksanaan, ketelitian dan ketenangan Yang di-Pertuan Agong jelas adalah sebab mengapa per-masalahan politik itu berjaya diselesaikan dengan aman, adil serta saksama.
Sebenarnya ia bukan kali pertama kita melihat peranan cemerlang Yang di-Pertuan Agong dan istana menyelesaikan kemelut politik negara.
Kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 2020 dan krisis majoriti 2021 memperlihatkan bagaimana peranan serta fungsi Yang di-Pertuan Agong juga menjadi pemutus kepada permasalahan ketika itu.
Pasca PRU15 lebih unik. Bukan sahaja Yang di-Pertuan Agong terpaksa sekali lagi memainkan peranan, malah bertindak mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi memastikan penyelesaian cermat dan berhemah.
Itu pun dibuat selepas Seri Paduka sudah berkenan melanjutkan masa kepada semua parti politik untuk mengemukakan gabungan majoriti bagi mencalonkan seorang Perdana Menteri dan seterusnya membentuk kerajaan.
Seri Paduka sebelumnya sudah pun bertitah agar Kerajaan Perpaduan dibentuk dan memohon semua pihak bersikap rasional serta move on demi rakyat.
Titah untuk membentuk Kerajaan Perpaduan hanya memerlukan semua pihak berlapang dada dan merendahkan ego kerana keputusan PRU15 tidak memungkinkan mana-mana parti membentuk kerajaan secara en bloc.
Refleksi sebenar Seri Paduka dan institusi diraja sebagai payung negara menjadi pelindung dalam konteks menjaga perlembagaan.
Yang di-Pertuan Agong telah memastikan perlembagaan negara sentiasa terjaga, dijunjung dan didaulatkan. Semua pihak perlu menghormati dan patuh, di samping memastikan pentadbiran negara berada di landasan betul seperti digariskan perlembagaan.
Seri Paduka bertindak sebagai pengimbang dan penyemak kepada seluruh cabang kerajaan supaya berfungsi dengan adil serta bertanggungjawab kepada negara. Justeru, negara tidak pernah terjerumus ke kancah huru-hara kerana semua berasa yakin dan selamat.
Apa juga yang berlaku tiada kerisauan kerana adanya Yang di-Pertuan Agong sebagai institusi tertinggi menyelesaikan setiap masalah. Ia jelas menyerlahkan peranan Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja dalam perkara-perkara yang rumit serta mencabar, sekali gus menunjukkan peri pentingnya institusi tersebut bagi memastikan negara kekal aman, selamat dan harmoni.
Yang jelas, aspirasi istana sudah acap kali menyelamatkan negara. Di sebalik peranan utama Yang di-Pertuan Agong menggunakan peruntukan perlembagaan secara harfiah terutama Perkara 39, Perkara 40 (2) dan 43 (2) dalam merungkai kekusutan, kewibawaan institusi diraja melangkaui peranan simbolik untuk menegur, menasihati serta memberi buah pandangan lebih menyerlah dan perlu difahami.
* Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca