SHAH ALAM - Tindakan UMNO memecat keahlian pemimpin yang suka mengkritik dan berbeza ideologi bakal memberi implikasi buruk kepada parti itu sendiri.
Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, individu yang dipecat itu sudah lama berada dalam UMNO, selain perbezaan tersebut perlu ditangani secara rundingan.
Menurut beliau, sebaik-baiknya kepimpinan tertinggi parti perlu mengadakan pertemuan untuk selesaikan kemelut, selain mencari jalan membangunkan semula parti politik terbesar Melayu berkenaan.
"Pemecatan lebih ramai pemimpin UMNO selepas ini seperti membakar rumah sendiri. Tindakan yang regresif itu seolah-olah sedang memusnahkan parti politik terbesar Melayu tersebut.
"Berbeza pandangan dan ideologi dalam parti, itu perkara biasa tetapi jangan diambil perbezaan pandangan tersebut sebagai musuh kepada parti.
"Kemelut UMNO sudah tentu membuka ruang kepada lebih banyak perpecahan dalaman, selain melemahkan parti untuk bangkit semula,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Pada Khamis, tiga pemimpin UMNO dipecat keahlian kerana mencemuh parti dan berkempen untuk pihak lain ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
KALI PERTAMA
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, dua Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran serta Arau dilucutkan keahlian.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melucutkan keahlian terhadap Annuar, Datin Seri Fatimah Kassim (bekas Ketua Wanita UMNO Maran) dan isteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Datin Seri Shamsiah Yassin (bekas Ketua Wanita UMNO Arau) mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO selepas mereka melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO serta berkaitan tataetika ahli.
Mohammad Tawfik menjelaskan, ia merupakan kali pertama dalam sejarah apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada PRU15.
Katanya, pemimpin sedia ada perlu berani menyuarakan suara dan menentang sekiranya tidak bersetuju terhadap satu dasar yang diluluskan pemimpin di peringkat atasan.
Seorang lagi penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, ia isyarat UMNO kepada ahlinya agar tidak membantu parti pesaing iaitu Pas dan Bersatu.
Bagaimanapun, katanya, pemecatan cuma boleh dipakai ke atas ahli yang bukan wakil rakyat.
"Untuk yang jadi wakil rakyat, UMNO tidak akan pecat mereka kerana ia akan membebaskan mereka untuk menyertai PN di bawah undang-undang anti lompat parti,” ujarnya.Justeru, beliau menjangkakan UMNO mungkin meminda perlembagaan parti.
"Ini bagi memastikan tingkah laku mensabotaj termasuk menandatangani akuan berkanun (SD) yang melanggar keputusan parti akan ditakrifkan sebagai tingkah laku menyebabkan seseorang itu 'tidak lagi menjadi anggota parti' di bawah Perkara 49A(2)(ii) yang boleh mengosongkan kerusi mereka dan membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK),” jelasnya.
Selain itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpendapat, pemecatan keahlian pemimpin UMNO adalah tindakan kepimpinan untuk melakukan pembersihan parti terhadap pemimpin yang menyokong lawan.
"Pembersihan dalam parti itu menunjukkan kumpulan tertentu cuba menguasai parti. Mereka yang tidak sealiran dan tidak sehaluan akan dicantas.
"Isyarat dihantar UMNO itu jelas ketika penamaan calon pada PRU15 untuk proses pembersihan parti.
"Mungkin alasan diberikan untuk pemecatan ahli itu berkait rapat dengan disiplin parti, namun proses tersebut adalah untuk mengukuhkan kem-kem tertentu dalam parti,” kata Mujibu.
Klik di sini untuk terus membaca