HAKIKATNYA, setiap insan ingin disayangi. Apabila disayangi, mereka rasa lebih selamat kerana sentiasa disantuni, dihormati dan dilindungi. Justeru, ramai yang berusaha untuk disayangi.
Pun begitu, kaedah dan tahap sayang terhadap seseorang tentunya berbeza antara satu sama lain. Ia bermakna, amat sukar untuk mengukur bagaimana dan banyak mana kadar sayang yang diperlukan oleh seseorang.
Akhirnya, berlakulah persaingan untuk mendapat kasih dan sayang. Persoalannya, wajarkah kita ‘berebut’ untuk mendapat kasih dan sayang, sedangkan tiada kayu ukur untuk dimuktamadkan.
Sebetulnya, ramai yang masih keliru terhadap elemen kasih sayang. Adakah menerusi kata-kata romantis, belaian jiwa yang berpanjangan, meraikan sambutan hari-hari penting dalam hidup, membawa melancong, makan di restoran mewah atau hanya sekadar letakkan kasih sayang di hati tanpa ditunjukkan perbuatan tersebut?
Tambahan pula, pelbagai perkongsian elemen kasih sayang di media sosial telah mengelirukan lagi pengertian kasih sayang yang sebenar.
Jika benarlah elemen kasih sayang seperti diungkapkan tadi, tentunya ramai kurang kasih sayang jika dilahirkan dalam keluarga miskin, keluarga terpisah, sakit berpanjangan, tidak ramai kawan dan pasangan yang kurang romantis.
Malah, tidak sedikit yang berada dalam kelompok tersebut berasa tidak disayangi, dihargai dan dihormati setelah membuat perbandingan dengan mereka yang ‘kononnya’ lebih bernasib baik.
BUKTI SAYANG
Pada masa sama, mereka membina sistem kepercayaan dalam diri yang sukar untuk dirungkaikan iaitu putus harapan dan tidak berguna, kesan daripada tidak dikasihi.
Perlukah kita memaksa orang lain menyayangi diri kita? Jika kita memaksa, garis panduan yang bagaimana perlu digunakan? Adakah kita perlu paksa pasangan kita untuk meraikan apa juga hari-hari penting dalam kehidupan bagi membuktikan kasih sayang?
Adakah ibu bapa tidak boleh tinggikan suara kepada anak-anak kerana dianggap tidak sayangkan anak-anak atau adakah rakan pejabat dan majikan perlu sentiasa melontarkan puji-pujian, barulah terserlah kasih dan sayang?
Pada hemat saya, orang yang ‘memaksa’ kasih sayang daripada orang lain, mereka sebenarnya masih belum matang dan jiwa mereka masih kecil. Lantaran itu, kita perlukan jiwa yang besar.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Pribadi Hebat - "Jiwa yang besar tidak perlu dipukulkan gong. Jiwa yang besar tenang jalannya, melangkah setapak demi setapak tetapi tetap konsisten. Menahan segala pukulan dan gelombang laksana batu karang yang semakin dipukul gelombang, semakin banyak anasir yang lekat pada dirinya untuk menambah kukuh.”
Selain itu, berjiwa besar menjadikan kita lebih ‘berbuat ihsan’ kepada orang lain. Berkaitan hal itu, Pendita Za’Ba menerusi bukunya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri menjelaskan - "Setiap individu perlu mempunyai fahaman yang luas tentang kehidupan, antaranya ‘berbuat ihsan’. Sesungguhnya berbuat ihsan lebih tinggi tingkatnya berbanding ‘berbuat adil’.
"Ia kerana, berbuat baik bukan dengan kira membalas atau memberi ‘sama timbang’ kepada pihak yang dibuat baik itu dan bukan pula kerana hendak mendapat balas tetapi hanya kerana berbuat baik semata-mata.
"Orang yang berbuat baik pada tingkat ini hendaklah dengan tidak mengira apa dan bagaimana perbuatan orang lain kepadanya. Ia hanya berbuat baik kepada orang lain walau apa pun perbuatan yang telah diterimanya atau akan diterimanya daripada orang lain itu, baik atau jahat.”
Ingatlah, kita tidak boleh memaksa orang lain menyayangi kita, sebaliknya kita boleh berusaha agar orang lain mengubah pandangan mereka terhadap kita. Biarlah mereka tidak sayang, yang penting kita disayangi oleh ALLAH SWT.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca