KITA masih tidak boleh berubah. Fikiran kita masih di takuk lama. Memang kita nampaknya tidak boleh berfikir secara sempurna. Mungkin kita tidak akan mencapai taraf negara maju, hanya negara membangun.
Apabila kita bangun, kita akan jatuh lagi. Sentiasa bangun dan jatuh. Maka moleklah jika kita digelar negara membangun sahaja.
Maju hanyalah untuk orang berfikiran matang dan bebas. Demokrasi kita tidak matang selagi tidak tercapai kebebasan melakukan sesuatu tanpa memberi kesan kepada orang lain.
Seperti kata nasionalis Indonesia, Tjokroaminoto, demokrasi mutlak tercapai apabila ada kebebasan penuh. Selagi tiada kebebasan penuh, maka tidak akan tercapai maksud demokrasi itu sendiri.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah menyajikan satu keputusan yang unik. Rakyat memilih dengan bijaksana tanpa perlu taasub kepada sesiapa atau satu parti lagi. Hasilnya wujudlah Kerajaan Perpaduan.
Namun, banyak perkara mendukacitakan yang sebelum ini berulang. Kutuk mengutuk, tuduh menuduh dan saling memperlekehkan berlaku antara segelintir ahli politik yang tidak matang.
Kerajaan yang dilantik belum boleh lagi memberi perhatian penuh terhadap pentadbiran kerajaan kerana terpaksa melayani perkara remeh-temeh.
Paling malang, ada segelintir ahli politik sendiri yang tidak dapat menerima hakikat. Entah sampai bila.
Segelintir ahli politik ini cuba membodohkan rakyat supaya menyokong mereka dan mengajak rakyat menjadi bodoh seperti mereka.
Cara berfikir mereka masih seperti dahulu kala. Cuba mencari salah dan pada masa sama berasakan diri mereka sahaja betul. Mereka ini bak kata pepatah Melayu lama, ibarat hendak meluruskan ekor anjing.
PENTAASUB
Sepatutnya mereka mula berfikir untuk menstabilkan negara. Bantu kerajaan untuk terus menerajui sehingga pilihan raya seterusnya. Mereka boleh sahaja menegur dengan lebih profesional dalam proses semak dan imbang.
Jangan lagi berceramah mengata orang itu dan ini semata-mata untuk menang serta berkuasa. Rakyat sudah muak dengan telatah kelakuan begitu.
Politik taasub sudah sepatutnya pupus. Tidak ada lagi parti berkuasa penuh seperti dahulu. Rakyat kini bijak memilih pemimpin yang berintegriti, jujur, amanah dan dapat menjaga kebajikan mereka, bukan menyeleweng serta mementingkan diri sendiri.
Sampai masanya, jika rakyat sudah muak, maka mereka yang berkuasa boleh sahaja ditendang keluar.
Ada segelintir mereka berasakan jika mereka yang buat boleh dihalalkan sahaja. Kalau orang lain yang buat tidak boleh. Mereka ini bak kata pepatah Melayu, telur mengatakan lepang tak pandai duduk.
Mereka kadang tidak sedar ketika menjilat ludah yang jatuh dari langit. Asalkan mereka boleh mempengaruhi rakyat menyokong untuk berkuasa, maka dalam diam mereka ketawa terbahak-bahak.
Orang-orang muda sepatutnya tidak menyokong lagi parti atau segelintir ahli politik begini. Orang muda bukan lagi bagaikan jelongak kerbau rampung. Mereka adalah generasi cerdas fikirannya.
Orang sudah mula sedar. Mereka tidak suka kepada orang yang suka menggunakan agama untuk kepentingan diri. Selagi ada kelakuan begini, maka negara kita tidak akan berubah.
Maka, kepada ahli politik yang suka memperbodohkan rakyat terutama generasi muda, mereka perlu berhati-hati. Sudahlah ludah jatuh ke muka sendiri dan tidak tahu malu, akhirnya nanti menimbulkan kebencian pula.
Ia sekadar peringatan kepada segelintir ahli politik tua atau muda yang masih berperangai sedemikian.
Kecil-kecil pun janganlah disangka anak, besar tak bolehlah disangka bapa. Kalau tidak, kita akan masih berada di takuk lama dan tidak akan berubah.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca