MENJELANG pilihan raya umum (PRU) 30 tahun dahulu, pak cik mak cik yang berbincang hal-hal politik tidak akan memberitahu dengan sewenang-wenangnya parti mana yang mereka akan undi. Namun, dalam satu tinjauan YouGov semasa tempoh kempen... Klik di sini untuk terus membaca

MENJELANG pilihan raya umum (PRU) 30 tahun dahulu, pak cik mak cik yang berbincang hal-hal politik tidak akan memberitahu dengan sewenang-wenangnya parti mana yang mereka akan undi.

Namun, dalam satu tinjauan YouGov semasa tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan 46 peratus rakyat Malaysia memberitahu siapa calon pilihan mereka kepada keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.

Golongan warga emas yang dahulunya berpegang kuat kepada prinsip ‘undi anda adalah rahsia’ mungkin sudah bertukar pendapat hari ini. Dalam tinjauan yang sama, individu berumur 50 tahun ke atas lebih cenderung untuk berkongsi parti pilihannya kepada kawan terdekat.

Pada PRU tahun-tahun sebelum ini, penjawat awam akan keluar mengundi secara diam-diam tetapi pada PRU15, mereka bersuara menyokong calon pilihan masing-masing terutama di kawasan Parlimen Putrajaya.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menjadi Ahli Parlimen Putrajaya sejak 2004 tidak disangka-sangka kalah kepada calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang dahulunya kalah pada PRU14 di Parlimen Ketereh.

Seorang pembaca Kopitiam Kita yang mengundi di Putrajaya menceritakan komuniti WhatsApp beliau penuh dengan mesej menyokong Mohd Radzi.

Hal itu menimbulkan persoalan kenapa orang zaman sekarang berani bersuara memandangkan undi dirahsiakan bagi memastikan orang dapat membuang undi dengan selesa dan aman tanpa rasa ketakutan, diugut atau dipengaruhi pihak-pihak tertentu.

Sebenarnya kelantangan hak bersuara bermula sebelum PRU12, pada 2008 ketika protes Bersih yang pertama diadakan. Keberanian rakyat menghadapi gas pemedih mata dan semburan air demi pilihan raya yang bersih serta telus menjadi inspirasi kepada orang ramai. Ia menjadi pemangkin kepada empat protes Bersih yang seterusnya dari 2011 sehingga 2016.

PENJAWAT AWAM

Menjelang PRU14, kejatuhan kerajaan BN menjadi bukti parti gergasi mampu ditumbangkan dan penjawat awam tidak lagi perlu ‘menunduk kepala’ kepada parti pemerintah.

Pada Disember 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Akta Berita Palsu 2018 dan tuduhan-tuduhan hasutan terhadap penulis kartun satira politik Zunar dan aktivis lain.

Walaupun kerajaan PH tidak sempat memansuhkan Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Perhimpunan Awam 2012 yang pernah digunakan untuk menyiasat dan mendakwa individu, terdapat kesefahaman dalam kalangan ramai bahawa hak kebebasan bersuara walaupun terdapat batasannya, lebih digalakkan pada masa kini.

Datangnya PRU15, perang naratif sosial media semakin hangat. PH dan PN giat menggunakan TikTok serta YouTube untuk menyampaikan mesej kepada pengundi.

Kajian pernah menunjukkan bahawa orang lebih rela menyuarakan pendapat dalam media sosial kerana terdapat semangat kekitaan dengan pengguna lain yang berfikiran sama.

Bagi PN yang mengupah pempengaruh TikTok bagi kempen PN Best, pempengaruh bukan sahaja dibayar tetapi mereka memandang kempen tersebut sebagai kerja berdakwah. Oleh itu, kerja berdakwah tidak sepatutnya menjadi rahsia.

Untuk PH, naratif yang dibina sama seperti PRU sebelum ini iaitu berasaskan emosi. PH berjaya menarik penyokong dengan memainkan emosi mentah manusia – ketakutan, kebanggaan dan kemarahan.

Tanpa mengira umur, penyokong bukan bumiputera PH lantang bersuara untuk membebaskan negara daripada rasuah, kroni dan nepotisme. Tindakan yang didorong emosi dan kemarahan politik menakutkan kerana ia sama seperti kebakaran hutan yang tidak boleh dikawal atau diramal.

Konsep ‘undi anda adalah rahsia’ berdasarkan kematangan masyarakat. Dalam peralihan kepada masyarakat celik demokrasi, ketelusan mengundi akan berubah mengikut peredaran masa.

* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca