SHAH ALAM - Pemecatan keahlian UMNO, Tan Sri Annuar Musa oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak mengejutkan kerana bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga mantan Ahli Parlimen Ketereh berkenaan paling lantang mengkritik banyak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemecatan keahlian UMNO, Tan Sri Annuar Musa oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak mengejutkan kerana bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga mantan Ahli Parlimen Ketereh berkenaan paling lantang mengkritik banyak keputusan parti.

Bekas Setiausaha Agung UMNO berkenaan juga dilihat kurang sebulu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sering mengeluarkan kenyataan memburukkan nama Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, berpandangan pemecatan Annuar memang sudah dijangka kerana beliau bukan 'orang Presiden UMNO dan sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Zahid, selain dilihat antara pemimpin rapat dengan Perikatan Nasional (PN).

Berikutan itu, Mazlan tidak menolak kemungkinan ada lagi pemimpin UMNO lain yang tidak sehaluan dengan Presiden akan dipecat dari UMNO, dalam masa terdekat.

Beliau berkata antara pemimpin yang mungkin dipecat dari UMNO termasuklah bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan mantan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Selaku Presiden UMNO, Zahid mempunyai pengaruh dan kuasa memecat mana-mana pemimpin yang didapati terbabit dengan usaha menjatuhkannya.

"Jadi kita boleh katakan bahawa pemecatan Annuar adalah sebahagian usaha menghalang usaha untuk menjatuhkan Zahid semasa Perhimpunan Agung UMNO (pada Januari) dan pemilihan parti tahun depan," katanya.

Justeru, Mazlan tidak menolak, keputusan MKT berkenaan adalah sebagai salah satu usaha menyekat usaha menjatuhkan Zahid pada pemilihan UMNO akan datang.

"Malah, saya dengar Mesyuarat MKT malam tadi (Khamis) juga membincangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang," katanya.

Mazlan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang mengesahkan pemecatan keahlian Annuar dan dua pemimpin akar umbi parti itu dalam mesyuarat MKT dipengerusikan oleh Presiden parti itu, pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Strategi, Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat, berkata, biarpun pemecatan Annuar adalah satu amaran keras, namun ia tidak bermakna MKT akan memecat Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin yang merupakan ahli Parlimen.

Ini kerana kata Chin Huat, pindaan Perlembagaan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat menukar parti menetapkan bahawa seseorang Ahli Parlimen tidak gugur status sebagai wakil rakyat secara automatik jika beliau dipecat daripada partinya.

Justeru itu, Chin Huat berkata, Ismail Sabri dan Hishammuddin tetap kekal sebagai Ahli Parlimen dan pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika mereka dipecat dari UMNO nanti.

Dalam pada itu, Chin Huat berkata kedudukan Zahid dalam UMNO bergantung kepada sama ada beliau dapat memberikan hala tuju kepada parti berkenaan dalam perkembangan politik terbaru.

AMARAN DAN MESEJ

Dalam pada itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir menjelaskan pemecatan Annuar juga memberikan amaran dan mesej jelas kepada pemimpin UMNO lain supaya tidak melawan arus, menentang keputusan Presiden dan melanggar disiplin parti.

"Tindakan pemecatan Annuar dan beberapa pemimpin lain dari satu sudut adalah langkah terbaik bagi menggagalkan usaha kumpulan terbabit mensabotaj parti dari dalam.

"Ini kerana Annuar sudah lama mengeluarkan kenyataan bercanggah dan tidak sehaluan dengan pendirian parti. Sebagai seorang pemimpin kanan UMNO serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar tidak seharusnya dilihat berada di landasan berbeza dengan parti, tetapi beliau memilih untuk bertindak bersendirian," katanya kepada Sinar Premium.

Walaupun ada yang melihat pemecatan itu, sebagai langkah strategik kem Zahid menjelang pemilihan UMNO tahun depan, namun Jeniri berkata, keputusan tegas itu demi mengembalikan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti terbabit.

"Saya tidak fikir MKT berbuat demikian demi menyelamatkan mana-mana pemimpin termasuk Zahid sebagai Presiden pada pemilihan UMNO akan datang, namun ia sebenarnya lebih kepada tindakan parti untuk mendisiplinkan ahlinya," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca