SHAH ALAM - Seramai 19 lelaki dan lapan wanita dilantik memegang jawatan timbalan menteri di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat. Ini menjadikan sejumlah 27 timbalan menteri daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seramai 19 lelaki dan lapan wanita dilantik memegang jawatan timbalan menteri di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Ini menjadikan sejumlah 27 timbalan menteri daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) yang akan membantu barisan kabinet.

Daripada 19 lelaki yang membarisi jawatan timbalan menteri, 16 daripadanya merupakan wajah baharu dan 11 veteran dalam pentadbiran. PH merupakan parti yang mempunyai wakil lelaki paling ramai iaitu tujuh orang.

Seramai 55 orang yang terdiri daripada 28 Menteri dan 27 Timbalan Menteri telah terbentuk di bawah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Pembangunan Kerajaan Tempatan), Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari (Pertahanan) dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud (Sumber Manusia).

Turut tersenarai, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Timbalan menteri muka lama bagi parti PH adalah Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong (Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Manakala, empat calon timbalan menteri mewakili GPS ialah Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Huang Tiong Sii (Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (Kesihatan), Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong (Jabatan Perdana Menteri) dan veteran Ahli Parlimen Limbang sejak tahun 2008, Datuk Hasbi Habibollah.

BN yang merupakan parti tertua negara turut menyumbang empat orang calon lelaki muka lama bagi jawatan timbalan menteri iaitu Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Menteri Kewangan, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Dalam Negeri), Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Kerja Raya) serta Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin (Luar Negara).

Dua calon lelaki bagi jawatan timbalan menteri mewakili GRS ialah seorang calon muka baharu, Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khas (Pelancongan, Seni dan Budaya) dan seorang veteran, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup (Sains dan Teknologi).

Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal, yang juga adik kepada Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan satu-satunya wakil dari parti tersebut sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Tidak kurang hebat, angka lapan wanita yang dilantik sebagai timbalan menteri meningkat berbanding lima wanita yang dilantik sebagai menteri di kabinet Kerajaan Perpaduan yang telah diumumkan pada 2 Disember lalu.

Semestinya, PH mempertaruhkan calon wanita paling ramai untuk jawatan timbalan menteri iaitu sebanyak lima orang.

Antaranya ialah Naib Presiden PKR, K Saraswathy sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu (Pembangunan Wanita) dan adik Pengerusi DAP, Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying (Menteri Pendidikan) yang merupakan muka baharu dalam pentadbiran.

Turut dilantik, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching kini kembali bergelar Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital serta bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh yang kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dari parti yang sama.

Wakil dari Sarawak iaitu Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah manakala Ahli Parlimen Mukah, Datuk Seri Hanifah Hajar Taib pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

Satu-satunya calon wanita bagi parti BN ialah Ahli Parlimen Beaufort, Siti Aminah Aching yang juga merupakan calon muka baharu itu dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

Maka dengan ini, seramai 55 orang yang terdiri daripada 28 Menteri dan 27 Timbalan Menteri telah terbentuk di bawah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar.

INFO -

Berikut adalah senarai Timbalan Menteri: -

LELAKI:

Timbalan Menteri Kewangan

1. Datuk Seri Ahmad Maslan

2. Steven Sim Chee Keong

Timbalan Menteri Pengangkutan

3. Hasbi Habibullah

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan

4. Chan Fong Chin

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan

5. Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Timbalan Menteri Pertahanan

6. Adly Zahary

Timbalan Menteri Kerja Raya

7. Datuk Abdul Rahman Mohamad

Timbalan Menteri Dalam Negeri

8. Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

9. Liew Ching Tong

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

10. Datuk Seri Yusuf Apdal

Timbalan Menteri Sains dan Teknologi

11. Datuk Arthur Joseph Kurup

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi

12. Ramkarpal Singh

Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim

13. Datuk Sri Huang Tiong Sii

Timbalan Menteri Luar Negeri

14. Datuk Mohamad Alamin

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya

15. Khairul Firdaus Akbar Khan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan

16. Adam Adli

Timbalan Menteri Sumber Manusia

17. Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud

Timbalan Menteri Kesihatan

18. Lukanisman Awang Sauni

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

19. Datuk Wilson Ugak Kumbong

WANITA:

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

1. Datuk Rubiah Wang

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi

2. Siti Aminah Aching

Timbalan Menteri Ekonomi

3. Datuk Hanifah Hajar Taib

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

5. Aiman Athirah Sabu

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup

6. Fuziah Salleh

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

7. Saraswathy Kandasami

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital

8. Teo Nie Ching

Timbalan Menteri Pendidikan

9. Lim Hui Ying

Klik di sini untuk terus membaca