[WAWANCARA EKSKLUSIF] Perikatan Nasional (PN) membentuk kluster dalam kalangan semua ahli Parlimennya untuk memudahkan mereka berbahas sebagai pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Bachok dari PN, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, ahli-ahli Parlimen PN itu dibahagikan dalam bentuk kluster atau pengkhususan agar dapat memberi fokus pada setiap isu rakyat dalam sidang Parlimen.
Menurut Syahir yang juga Setiausaha Politik Presiden Pas, PN akan terus perkukuhkan fungsi semak dan imbang dalam Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Raiham Mohd Sanusi bersama Mohd Syahir yang menyentuh tentang pembentukan kluster tersebut.
SINAR AHAD: Tahniah YB atas kejayaan memenangi kerusi Parlimen Bachok pada PRU15 lalu. Apakah keistimewaan Bachok dan apa yang menarik untuk orang ramai berkunjung ke sana?
SYAHIR: Kemenangan yang diperoleh baru-baru ini memang di luar jangkaan. Sokongan yang diterima itu sebenarnya diterima daripada pengundi muda dan anak Kelantan di perantauan.
Bercakap tentang keunikan di Bachok tentulah tarikan utamanya adalah kawasan pantai yang menjadi tarikan pelancongan untuk aktiviti keluarga di samping aktiviti rekreasi.
PRU15 menyaksikan gelombang luar biasa sokongan terhadap PN.
Pada pandangan YB golongan mana yang paling ramai undi PN dan betul ke mereka sokong PN sebab nak tunjuk protes tolak BN dan Pakatan Harapan (PH)?
Secara umumnya kita lihat trend pengundi muda beralih kepada PN khususnya di negeri-negeri majoriti pengundi Melayu. Hasilnya kita dapat lihat peralihan kerusi daripada UMNO/BN kepada Pas/PN.
Malah di beberapa negeri UMNO/BN tiada kerusi langsung iaitu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis termasuklah di Melaka.
Saya kira ada dua faktor yang mempengaruhi perkara ini. Pertama faktor penolakan dan kedua faktor tarikan.
Faktor penolakan itu kita akui memang anak muda khususnya Melayu, mereka telah bosan dengan budaya rasuah, amalan politik lama, sikap-sikap melampau yang dibawa PH dan janji-janji yang tidak dipenuhi. Ia menyebabkan orang Melayu khususnya anak muda yang celik dengan dunia teknologi maklumat (IT) sudah mula menolak BN dan juga PH.
Faktor tarikan yang ada pada Pas dan PN pula adalah dari segi kejayaan membawa citra dan imej baharu selain membawa generasi baharu kepada politik yang tidak berteraskan rasuah, politik wang, janji palsu, fitnah dan penipuan.
Kita tawarkan wajah-wajah baharu dan bekas-bekas menteri yang kompeten. Maka ia memberikan satu pengharapan dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi yang diterima PN.
Selepas PRU15, Pas kembali menjadi pembangkang dan selaku anak muda Pas, adakah YB rasa kecewa dengan keadaan ini? Apa perancangan Pas dan PN selepas ini?
Kita masuk pilihan raya dengan harapan untuk menjadi kerajaan. Saya yakin rakyat yang mengundi PN juga mengharapkan PN menjadi tonggak dalam kerajaan yang akan dibentuk secara campuran.
Tetapi disebabkan perkara yang telah berlaku, Pas dan PN menjadi pembangkang pada hari ini. Namun tidak ada istilah kecewa dalam politik kerana sebagai pembangkang, kita akan terus berkhidmat kepada rakyat dan akan menjalankan fungsi semak dan imbang.
Lebih mudah untuk kita berbahas di Parlimen sebagai pembangkang kerana kita boleh memberikan teguran, kritikan dan cadangan yang lebih luas kepada pihak kerajaan.
Sekarang ini pun kita lihat kabinet yang dibentuk dan menteri-menteri yang dilantik ini telah memulakan langkah yang boleh dipersoalkan. Jadi itu satu ruang untuk kita akan terus perbaiki dan buat teguran kepada kerajaan.
Komitmen kita sebagai pembangkang, kita akan terus perkukuhkan fungsi semak dan imbang.
Sebagai ahli Parlimen, kami pun telah membuat bengkel sesama ahli Parlimen Pas dan PN untuk kita persiapkan ahli-ahli Parlimen mengikut kluster-kluster.
Saya boleh katakan rakyat di luar mengharapkan ada kabinet bayangan tetapi sekarang ini disebabkan jumlah ahli Parlimen PN yang ramai, kita bahagikan dalam bentuk kumpulan kluster dan pengkhususan. Jadi ia lebih berfokus untuk isu-isu rakyat di dalam Dewan (Rakyat).
Langkah politik itu saya kira bersifat andaian dan bergantung kepada situasi dan politik dalaman parti-parti dalam kerajaan iaitu sejauh mana kabinet yang ada ini benar-benar kukuh atau adakah menunggu masa (untuk rebah)? Itu kita tunggu dan lihat sahajalah.
Pas dan PN banyak menang di kerusi Melayu, jadi apa pelan PN untuk menang kawasan bandar sebab ada pihak berpandangan PN tidak mampu dapat sokongan bukan Melayu?
Pandangan saya lebih optimis. Di beberapa kerusi yang Pas dan PN menang, ia perlu dipertahankan bersama. Di kerusi-kerusi yang UMNO menang tipis di Pahang dan Perak termasuk di Bagan Datuk, kita boleh lihat siapa (calon mana) berada di kedudukan kedua.
Kebanyakan kerusi yang UMNO menang di kawasan Melayu ini, Pas dan PN dapat undi nombor dua tertinggi. Jadi itu adalah medan pertempuran untuk PRU seterusnya. Di pantai barat juga, kerusi-kerusi yang diperoleh PH, (calon) nombor dua yang menang juga adalah PN bukannya BN.
Itu tandanya sokongan orang Melayu sudah beralih daripada BN, tetapi mereka tidak akan pergi kepada PH sebaliknya lebih menyokong PN. Kami melihat prospek PN akan bertambah lebih kuat pada PRU yang akan datang.
Kita juga akui Pas masih gagal menembusi kerusi-kerusi campuran yang didominasi oleh DAP. Bukan Pas sahaja malah MCA pun masih lagi gagal menembusi kerusi-kerusi di kawasan majoriti Cina.
Tetapi apa yang berlaku hari ini menzahirkan warna sebenar parti-parti politik yang disokong selama ini. DAP selama ini mengaku menentang rasuah dan kleptokrat tetapi hari ini boleh ‘berpeluk’ dengan golongan yang digelar (dengan gelaran negatif) oleh mereka selama ini.
Jadi pengundi kaum Tionghua boleh melihat dengan jelas prinsip dan retorik yang dimainkan oleh parti-parti tertentu dan boleh buat satu perubahan dalam PRU yang akan datang.
Pas sentiasa dituduh dengan isu berkaitan duit. PM pun menyerang pemimpin Pas dan PN dengan tuduhan terima dana judi dan seleweng RM600 bilion. Betul ke? YB rasa PM ada keberanian untuk tunjuk bukti tuduhan itu?
Dalam Islam sendiri menerusi Surah Al-Hujuraat, kita diajarkan tentang kaedah tabayyun. Ia membawa maksud bila datang suatu berita daripada seseorang yang fasik maka kamu perlu selidik (tabayyun) dahulu.
Jadi dalam PRU14 dimomokkan bahawa Pas terima RM90 juta daripada UMNO. Sampai hari ini tidak dapat dibuktikan wang tersebut masuk ke akaun mana.
Sebelum PRU15 tidak ada ‘bunyi’ kedengaran tetapi selepas pilihan raya baru ada tuduhan mengatakan Pas dapat bantuan daripada tauke judi. Namun sehingga kini, masih tidak ada juga bukti-bukti yang berasas.
Sebagai kerajaan, tidak boleh ada dakwaan bersifat andaian atau gambaran. Ia perlu berdasarkan fakta dan rasional yang jelas.
Jika betul ada penipuan, salah guna kuasa ataupun penyelewengan dari segi dana, maka kita terbuka kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk melakukan siasatan.
Jangan kita sebagai ahli politik yang menjawat jawatan sebagai menteri atau PM bertindak menghukum lebih awal sebelum siasatan dan pendakwaan dilakukan oleh agensi-agensi kerajaan.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menjadi antara pemimpin PH yang lantang menyerang pemimpin Pas dan PN. Adakah pemimpin PN gentar dengan tindakan Rafizi dan sebagai anak muda Pas, adakah YB sendiri akan ke depan membidas tohmahan itu?
Dalam isu ini saya melihat rakyat sendiri boleh menilai hujah dan ucapan mereka. Apa yang dikatakan mereka dulu tidak pun dilaksanakan pada hari ini. Jadi sebelum kami menyanggah, rakyat sendiri boleh melihat bagaimana percanggahan hari ini dan semalam (pemimpin PH).
Jadi cukup dengan situasi itu, ia boleh memberikan bukti kepada rakyat tentang kredibiliti seseorang untuk membicarakan tentang sesuatu polisi yang ingin dikemukakan sebelum membicarakan tentang perihal parti lawan ataupun musuh.
HAJI HADI DARI KACA MATA SYAHIR
YB menjadi setiausaha politik kepada Presiden Pas sejak 2018. Apa personaliti Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kebanyakan orang lain tidak tahu?
Banyak sisinya yang orang lain tidak tahu. Ia dari segi sisi orang politik, ulama dan keluarga.
Saya ingin mula dengan sisi keluarga kerana ia jarang dilihat. Saya sangat dekat dengan Tuan Guru (Abdul Hadi). Sebagai seorang datuk dan seorang ayah, Tuan Guru sama macam datuk dan ayah kita.
Satu sisi atau sikap yang ditunjukkan oleh Tuan Guru ialah beliau sangat mementingkan aspek pendidikan. Kalau jumpa saya, beliau bercerita anaknya belajar di mana, cucunya sekarang darjah berapa, sekolah di mana dan apa jawatan di sekolah.
Sebagai ulama, dahulunya Tuan Guru luas pembacaannya dan mempunyai kemahiran menulis dengan pantas sehingga saya pun hairan bila dan masa Tuan Guru dapat menulis.
Semalam Tuan Guru dah siapkan satu artikel dan hari ni pun sama. Jadi itu perkara biasa yang kami terima daripada Tuan Guru. Tuan Guru menulis sendiri tanpa bantuan sesiapa pun.
Untuk kolum minda presiden yang disiarkan oleh pihak kami, manuskrip asalnya memang ditaip sendiri oleh Tuan Guru dan diemelkan kepada kami. Kami kemudian hanya olah dari segi bentuk percakapan bahasa moden sahaja.
Kalau ucapan-ucapan beliau juga kebanyakannya difikirkan sendiri oleh beliau atau berbincang dengan kami dan beliau sendiri menulis teks atau menyampaikan secara spontan.
Dari sisi seorang ulama pula, beliau sangat menekankan aspek tabayyun. Kalau ada sesuatu isu, beliau ajar kami untuk rujuk al-Quran, hadis dan sirah.
Dalam percaturan politik, Tuan Guru memang boleh katakan sebagai ‘King Maker’ atau penentu yang banyak menentukan hala tuju Pas.
Saya boleh sahkan di sini memang apa yang Pas perolehi pada PRU15 ini memang hasil daripada buah fikiran Tuan Guru kepada kami sebelum pilihan raya.
Kami ada buat bengkel, retreat, pemukiman dan perancangan strategik kerana beliau sarankan fokus pada 80 kerusi, runding minimum 60 kerusi dan kita dapat jumlah itu.
Kita fokus 80 daripada 222 kerusi, keseluruhannya kita sebelum ini ada 197 kerusi kawasan Pas dan runding minimum 60 tapi dapat 63 atau 64 kerusi. Kita menang 43 kerusi dan pertahankan tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan menjadi kerajaan di Perlis serta mendominasi di dua negeri. Satu persatu apa yang disarankan Tuan Guru, kita patuh dan laksanakan.
Selepas ini banyak lagi perencanaan yang akan dibuat. Kami sebagai anak muda dan pimpinan di peringkat pertengahan ini hanya melaksanakan segala misi politik yang dibawa oleh Tuan Guru semata-mata untuk menjaga kestabilan dan perpaduan ummah Islam di negara ini.
Baru-baru ini, YB mengiringi Tan Sri Abdul Hadi memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul. Boleh YB kongsikan apa yang berlaku di sana?
Pihak IPD Sentul menghubungi saya untuk mengambil keterangan. Berdasarkan laporan polis, ada ucapan Tuan Guru ketika kempen di Temerloh, Pahang yang menyatakan di dalam PH ada fahaman komunis, ada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta ada penerima dan pemberi rasuah. Jadi ucapan itu disebarkan dalam berita-berita dan ada laporan polis terhadap ucapan tersebut.
Maka Tuan Guru beri kerjasama. Kebiasaan kami mendapat panggilan daripada pihak polis untuk dapatkan kenyataan dan ada masa mereka datang ke pejabat Pas untuk mengambil keterangan. Tapi kali ini Tuan Guru kata tak apa kita kena pergi ke balai polis. Jadi kami pergi ke Bukit Aman sebelum ke IPD Sentul dan kami disambut baik oleh pihak polis.
Saya ingin katakan tidak ada situasi telefon bimbit dirampas. Semasa diambil keterangan, setiap soalan yang diberikan Tuan Guru jawab secara lisan dan ditemani oleh seorang peguam. Cuma pada hari tersebut ada dua kes. Ada penyiasat dari IPD Dang Wangi turut sama hadir. Bila selesai satu kes, penyiasat kedua pula masuk ke bilik untuk satu kes yang lain.
Jadi kita serah sepenuhnya kepada pihak polis. Kita yakin polis bersikap profesional dalam isu ini dan kita akan beri kerjasama penuh. Kalau nak bawa isu ini ke peringkat seterusnya, Tuan Guru sudah bersedia untuk hadapi segala implikasi undang-undang daripada laporan yang dibuat itu.
EKONOMI MENCABAR 2023
YB berlatar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi. Apa jangkaan YB mengenai situasi ekonomi negara tahun depan di bawah PM? Bagaimana dengan nasib rakyat?
Kita jangkakan pada tahun hadapan, ketegangan di Rusia dan Ukraine sudah di penghujung atau di fasa terakhir maka dagangan dunia di Eropah, Amerika Syarikat dan rantau Timur Tengah akan kembali rancak berbanding sekarang.
Keduanya kita lihat keadaan ekonomi di China. China akan mula membuka sedikit demi sedikit ekonomi yang ditutup akibat Covid-19.
Jadi dengan dua faktor ini, dagangan akan lebih rancak di rantau Eropah, Timur Tengah dan juga barangan dari China akan lebih banyak dieksport. Maka di Asia Tenggara dan Malaysia khususnya akan mendapat kesan positif daripada dua faktor tersebut.
Oleh itu dari segi prospek ekonomi global, kita jangkakan tahun hadapan lebih baik berbanding tahun 2022.
Sekarang ini kita akan melihat kepada ekonomi dalaman iaitu sejauh mana rakyat boleh berbelanja, peluang pelabur luar datang ke negara ini dan bagaimana peniaga dan IKS boleh meningkatkan lagi perniagaan mereka.
Jadi bagi saya, ini perlu diberi fokus oleh kerajaan untuk memastikan ekonomi kita ni tidak berkembang perlahan kerana kita kena bergerak cepat.
Sekiranya kita lambat bertindak, ekonomi kita akan ketinggalan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Singapura yang sudah tentu jauh lebih ke hadapan daripada kita.
Sekarang ini kita perlu bersaing dengan negara yang ekonominya berada di belakang kita seperti Vietnam, Kemboja, Filipina dan Thailand.
Kalau kita terus dengan ketidakstabilan begini dan hilang fokus, tumpu sangat pada politik, batalkan projek-projek yang berkepentingan kepada rakyat hanya kerana politik dendam, ini amat malang kepada negara kerana negara perlukan pemulihan ekonomi, peluang pekerjaan dan peluang perniagaan pada kadar segera. Jadi bagi saya ini perlu jadi fokus utama kerajaan.
Nasihat saya kepada PM, janganlah dihabiskan masa untuk politik balas dendam. Kita harus tumpu kepada perkara-perkara yang sangat asas untuk rakyat, isu keperluan makanan asas harian dan perancangan aktiviti ekonomi yang lebih mantap.
Kos sara hidup juga masih lagi tinggi maka ini perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
Apa komen YB tentang keputusan PM yang tidak meneruskan beberapa projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion?
Saya melihat perkara ini dari dua sudut aspek. Pertama dari segi keperluannya ia tidak boleh ditangguhkan lagi kerana ia sudah lama tertangguh. Banjir ini memberi mudarat yang besar kepada nyawa, harta benda dan menjejaskan aktiviti ekonomi yang lebih luas. Yang keduanya aspek tata kelola seperti prosedur kewangan.
Ada yang kata perlu buat tender terbuka. Ada yang kata oleh kerana keadaan yang mendesak perlu rundingan terus dengan kontraktor dipilih. Tapi apa pun bentuk perolehan dan tender itu, perlu mematuhi segala prosedur kewangan oleh Kementerian Kewangan.
Setakat ini, ia disahkan oleh bekas Menteri Kewangan bahawa segala prosedur dan peraturan kewangan dipatuhi dalam pemberian tender projek tebatan banjir.
Apa komen YB tentang jawatan Menteri Kewangan yang kembali dipegang PM?
Ia satu manifestasi gagal Perdana Menteri untuk melaksanakan janji reformasi beliau bersama pimpinan Pakatan Harapan.
Dalam dunia korporat, ada satu pepatah yang mengatakan bahawa ketua pegawai kewangan (CFO) yang baik itu cenderung untuk tidak bersetuju dengan ketua pegawai eksekutif (CEO). Jadi itulah fungsi semak dan imbang yang tidak ada antara dua jawatan yang penting ini.
Dalam sejarah kabinet Malaysia sejak zaman Tunku Abdul Rahman, PM dan Menteri Kewangan adalah dua individu yang berbeza. Keadaan itu berubah selepas berlaku krisis kewangan antara tahun 1997 dan 1998. PM ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Datuk Seri Anwar dan beliau memegang jawatan Menteri Kewangan 1 dan ada Menteri Kewangan 2.
Ia kemudian diteruskan oleh PM seterusnya iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Tapi sejak zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin seterusnya Datuk Seri Ismail Sabri, situasi berkenaan tidak lagi berlaku. Tapi hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil langkah ke belakang.
Harapan saya agar perkara ini bersifat sementara dan jawatan menteri kewangan perlu diberi kepada orang lain.
PROFIL
Nama Penuh: Mohd Syahir Che Sulaiman
Umur: 39 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Pengajian Pembangunan dari Universiti Malaya pada 2017
Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2006
Pengalaman: Bekas Penolong Naib Presiden, Strategi Pembangunan (Malaysia Vision Valley) di Sime Darby Property
Jawatan: Ahli Parlimen Bachok
Setiausaha Politik Presiden Pas (2018-kini)
Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat (2020-kini)
Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa Pas Pusat (2019-kini)
Klik di sini untuk terus membaca