KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah yang tertunda sebelum ini akibat kematian salah seorang calon semasa kempen sedang dijalankan, sangat menarik.
Padang Serai sepatutnya menjadi langkah mudah untuk Pakatan Harapan (PH) yang menguasai kerusi tersebut sejak 2008.
Mereka telah membentuk kerajaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula melancarkan pendekatan populis, serta menggunakan jentera kerajaan ‘menyerang’ Perikatan Nasional (PN) dengan isu dana judi dan penyelewengan RM600 bilion.
Sokongan terbuka Barisan Nasional (BN) yang mempunyai puluhan ribu penyokong di situ kepada PH sepatutnya menjamin kemenangan mereka. Namun ketika kelebihan semua kepada PH, PN membuat kejutan menang dengan majoriti yang begitu besar.
PN memenangi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi. Calonnya, Datuk Azman Nasrudin memperoleh 51,637 undi menewaskan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.
Sementara calon BN yang mengumumkan memberi laluan kepada PH tetap meraih 2,983 undi.
UMNO DI PERSIMPANGAN
Keputusan keseluruhan PRU15 memberi isyarat jelas bahawa BN dan UMNO sedang mengalami kemerosotan yang sangat nyata sejak 2008.
Pada tahun 2008, BN mendapat 50.27 peratus undi popular dan 139 kerusi Parlimen dan UMNO sendiri memenangi 79 kerusi Parlimen.
Pada tahun 2013 (PRU13), BN memenangi 133 kerusi Parlimen (UMNO menang 86 kerusi) dan undi popular turut merosot kepada 47.38 peratus.
Pada tahun 2018 (PRU14), UMNO dan BN hilang kuasa buat pertama kali di peringkat Persekutuan apabila hanya mampu memenangi 79 kerusi dengan UMNO sendiri hanya berjaya memenangi 54 kerusi Parlimen. Undi popular merosot kepada 33.80 peratus.
Pada Tahun 2022 (PRU15), BN hanya mendapat 30 kerusi dengan UMNO sendiri hanya meraih 26 kerusi. Undi popular BN pula merosot kepada 22.36 peratus.
Prestasi BN yang makin menurun ini banyak berkait dengan tunjangnya UMNO. Kegagalan UMNO memimpin BN untuk kembali mentadbir negara bukanlah sesuatu yang mengejutkan dan luar biasa.
Ramai pihak telah menyarankan agar UMNO segera melakukan perubahan kepimpinan sebelum PRU15. Namun UMNO sebagai sebuah parti orde lama sangat terikat dengan tradisi dan feudalisme dalaman, walaupun di luar mereka tampak mempersendakan penyokong parti lain yang mentaati pemimpin secara keterlaluan.
Apabila diberitahu kepimpinan UMNO sedia ada sangat tidak popular dalam kalangan rakyat, parti tersebut tidak mengambil langkah memeriksa dan mencari penyelesaian.
Sebaliknya, mereka menukar UMNO kepada sepasukan tentera politik yang tidak peduli dengan tanggapan pengundi dan hanya mementingkan kesatuan dalaman.
Sudah tentu kesatuan dalaman parti politik sangat penting. Namun kesatuan sahaja tanpa dukungan pengundi tidak akan menterjemahkan kepada kemenangan dalam PRU. Inilah yang berlaku kepada Pas sejak berdekad lamanya.
Walaupun telah kalah buat kali kedua dengan lebih teruk, UMNO tidak menampakkan keseriusan untuk berubah bagi memenangi semula hati rakyat, terutamanya pasaran utama pengundi mereka - dalam kalangan Muslim moderate (sederhana).
Bukan sahaja pemimpin UMNO yang mempunyai saham besar dalam kekalahan 2018 dan 2022 masih terus dipertahankan, malah mereka bertindak lebih luar biasa dengan menyertai kerajaan dan bekerjasama dengan DAP.
Pengorbanan besar prinsip parti ini bukan sahaja menyebabkan perpecahan UMNO tetapi akan menyebabkan kehilangan lebih banyak sokongan dalam kalangan pengundi tradisi.
UMNO kini harus membuat keputusan sama ada mereka mahu mengikut jejak Golkar di Indonesia atau mahu kembali menjadi sebuah parti yang kuat dan mampu memimpin negara.
Semua ini bergantung kepada ahli-ahli UMNO. Apakah ahli UMNO akan meneruskan sikap ego menolak pandangan orang Melayu di luar parti dan mengangkat pemimpin seperti institusi suci?
Atau mereka bangun melakukan perubahan kepimpinan bagi berusaha mendapatkan semula keyakinan orang Melayu, yang merupakan pasaran utama mereka.
Kegagalan melakukan perubahan kepimpinan UMNO kali ini mungkin akan menyebabkan ikatan politik baharu, PN akan mengekalkan kedudukan mereka sebagai kuasa baharu politik negara.
* Ab Jalil Becker ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca