SEMENTARA Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh menarik nafas lega dengan pengumuman senarai timbalan menterinya, jangan lupa ada juga petanda tidak baik di hadapan yang dihantar oleh rakyat, tidak boleh diabaikan.
Signal itu ialah kekalahan calon kerajaan di Parlimen Padang Serai yang sebelum ini dimenangi mereka sejak tiga penggal yang lalu.
Kerajaan tidak harus leka. Sebaliknya mereka wajar bertanya mengapakah ini terjadi. Dan yang paling penting ialah mengapakah mereka tewas di kerusi yang selama ini dianggap sebagai deposit atau kubu kuat mereka.
Mereka masih berbisa dan mampu menumpaskan calon kerajaan di tempat yang secara tradisinya adalah kubu kuat parti yang kini menjadi kerajaan.
Walaupun bukan kerajaan, PN terus kekal relevan sebagai blok politik yang berpengaruh di Malaysia selain Pakatan Harapan-Barisan Nasional atau PH-BN. Ini tidak harus dilupakan.
Berdasarkan pemerhatian Belalang sendiri pada hari pengundian di Padang Serai, kawasan itu sesak selama beberapa jam kerana dipenuhi dengan anak muda yang membawa bendera PN. Ini adalah realiti.
Pilihan Raya Umum (PRU) yang baru selesai, memberi satu gambaran tidak tersangka iaitu pengundi muda lebih cenderung menyokong PN daripada kepercayaan popular yang konon mereka akan menyokong PH. Ia kini sekadar menjadi mitos.
Faktor ini juga harus dibedah siasat oleh pasukan dalaman Anwar. Mengapa jadi begini? Di mana silapnya?
Bukan itu sahaja, mereka juga wajar mengambil kira kesan sampingan akibat daripada jajaran baharu yang dibentuk oleh PH-BN ini.
Perkara yang harus diambil kira ialah;
> Kesannya ke atas penyokong tegar sendiri atau pendukung reformasi seperti Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim misalnya yang kini merasa diri ‘tertipu’ dengan prinsip perjuangan yang selama ini dilaung-laungkan;
> Kesan ke atas para pengundi lain yang selama ini percaya dengan kempen yang meminta mereka menolak BN tetapi kemudian parti memutuskan untuk bekerjasama kerana kuasa;
> Dan kesan ke atas bukan pengundi mereka yang kini percaya PN lebih boleh diharap berpegang kepada kata-kata dan janji kempen daripada PH-BN sendiri.
Jika tiga perkara ini tidak ditangani, kesannya akan dirasai, jangan kata lagi lima tahun tetapi dalam beberapa bulan sahaja lagi apabila enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan mengadakan pilihan raya negeri (PRN) masing-masing.
Belalang - Selalu berpegang kepada peribahasa jangan Yang Dikejar Tak Dapat, Yang Dikendong Berciciran....
Klik di sini untuk terus membaca