SEJAK pindaan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu diluluskan baru-baru ini, ada yang menyuarakan kegusaran mereka. Sebahagian turut mendakwa berlaku diskriminasi terhadap wanita Islam dan akan membawa kesan buruk kepada Terengganu dan... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK pindaan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu diluluskan baru-baru ini, ada yang menyuarakan kegusaran mereka.

Sebahagian turut mendakwa berlaku diskriminasi terhadap wanita Islam dan akan membawa kesan buruk kepada Terengganu dan negara.

Akibat kelantangan suara mereka, ia menarik perhatian kabinet Persekutuan di mana diputuskan Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan menghadap Sultan Terengganu bagi mendapatkan penjelasan mengenai undang-undang tersebut.

Hal ini dijelaskan Menteri Wanita Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Nancy Shukri selepas mesyuarat jemaah menteri.

Dari satu sudut, hal ini sangat positif kerana kerajaan Persekutuan tidak terburu-buru mahu mencampuri urusan negeri, tetapi dari sudut lain pula ia dilihat seolah kerajaan Persekutuan tidak berpuas-hati dengan tindakan kerajaan negeri Terengganu yang sudah diperkenan Tuanku Sultan.

Hujahan utama yang dikemukakan ialah pindaan terhadap Seksyen 29A iaitu berkaitan ‘hamil’ atau melahirkan anak luar nikah. Didakwa sebahagian pihak, ia merupakan diskriminasi kerana perempuan Islam yang hamil atau melahirkan anak luar nikah sahaja akan didakwa tetapi lelaki menyebabkan kehamilan itu dilepas bebas.

Malah, dikatakan juga bagaimana pula bagi wanita Islam yang dirogol dan hamil. Mereka juga akan didakwa di bawah Seksyen 29A tersebut.

Hal ini akan menyebabkan kezaliman sangat dahsyat kepada wanita Islam itu kerana sudahlah beliau dirogol tanpa kerelaannya sendiri, selepas itu didakwa dan jatuh hukum pula di bawah Seksyen 29A, membawa hukuman maksimum jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau disebat tidak lebih enam sebatan.

Sekiranya kita membaca dakwaan sebegini memang kita akan berasa resah terhadap diskriminasi dan kezaliman yang didakwa tersebut. Namun bagi mengetahui hakikat sebenarnya, marilah kita membaca seksyen berkenaan untuk kita faham undang-undang tersebut.

LELAKI JUGA DIHUKUM

Hamil atau melahirkan anak di luar nikah (Seksyen 29A)(1) Mana-mana perempuan yang hamil atau melahirkan anak di luar nikah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau disebat tidak lebih enam sebatan, atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

(2) Mana-mana lelaki yang menyebabkan mana-mana perempuan hamil luar nikah atau melahirkan anak di luar nikah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dihukum menurut peruntukan subseksyen (1).

(3) Hakikat bahawa seorang perempuan hamil luar nikah akibat daripada persetubuhan yang dilakukan dengan kerelaannya adalah keterangan prima facie tentang perlakuan kesalahan di bawah subseksyen (1) oleh orang perempuan itu.

(4) Bagi maksud subseksyen (3), mana-mana orang perempuan yang melahirkan anak sempurna sifatnya dalam tempoh kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya hendaklah disifatkan telah hamil luar nikah.

Berdasarkan seksyen di atas, sangat jelas sebagaimana diperuntukkan di dalam Seksyen 29A(2) bahawa mana-mana lelaki yang menyebabkan mana-mana perempuan hamil luar nikah akan melahirkan anak luar nikah juga boleh dituduh di mahkamah syariah. Oleh itu, tidaklah benar lelaki tersebut bebas dan berlaku diskriminasi terhadap wanita Islam.

Seperkara lagi yang ingin saya sentuh ialah jika pun seseorang itu dituduh di mahkamah syariah, bukanlah orang tersebut akan terus dijatuhi hukuman.

Jika tertuduh mengaku tidak bersalah proses perbicaraan akan berjalan di mana Pendakwa terpaksa membuktikan semua elemen pertuduhan dipenuhi.

Melainkan mahkamah berpuas hati Pendakwa telah membuktikan kes mereka melampaui keraguan yang munasabah semasa perbicaraan, mahkamah tidak akan mensabitkan tertuduh atas mana-mana kesalahan.

Pada pandangan saya sebagai pengamal undang-undang sivil dan syariah, peruntukan seksyen 29A di atas tidak menjurus kepada diskriminasi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ia merupakan undang-undang jenayah yang biasa digubal dalam sistem perundangan negara kita.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca