PADA 31 Ogos 1970, Rukun Negara dilancar Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, Yang di- Pertuan Agong IV. Ia dihasilkan selepas 15 bulan peristiwa rusuhan perkauman 13 Mei 1969.
Konflik yang membawa kepada ketegangan hubungan antara etnik tiga hari selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-3 (PRU3) diumumkan membawa kepada pendekatan untuk memperkenalkan falsafah kebangsaan bertujuan sebagai panduan merapatkan jurang yang menjadi pemisah kepada perpaduan masyarakat pelbagai etnik negara ini.
Selepas 52 tahun, bagaimanakah untuk menilai penghayatan dan pencapaian di sebalik Rukun Negara?
Di Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-260, Pengerusinya, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah agar kerajaan hari ini memperkukuhkan prinsip Rukun Negara dan tidak sekadar menjadi cebisan dokumen rujukan semata-mata.
Peringatan ini datang apabila radikalisme dan ekstremisme mula membengkak, menjadi nanah dalam masyarakat anekaragam negara ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berpesan agar ekstremis kaum dan agama tidak menentukan masa depan negara.
Titah baginda: "Setelah 62 tahun mencapai kemerdekaan, suara perpaduan yang menyatukan warga dan suara kesederhanaan merangkum warga, jangan sama sekali dibenarkan untuk dirampas oleh mana-mana pihak kerana tujuan politik sempit jangka pendek”.
Ini dilihat kunci kepada kemakmuran, keamanan dan kestabilan negara. Aplikasi TikTok turut memadam 2,113 video secara automatik kerana unsur ekstremis dan provokatif sepanjang PRU15.
Adalah menjadi tanggungjawab bersama membawa ketamadunan Rukun Negara dan membina tingkah laku di bawah tiang seri identiti nasional warga Malaysia.
Kerap kali ketika PRU, kita melihat wujud retorik dan penjenamaan berlebihan ke atas elemen keetnikan dan ras sehingga ia dijaja sebagai bahan untuk menarik sokongan.
Walaupun tidak menjadi kesalahan untuk bertindak sedemikian rupa, aksi keterlaluan membahayakan.
Setiap komuniti ada warisan identiti asal mereka tetapi bagaimanakah warisan menjadi wawasan bersama atas semangat kewatanan negara ini.
Malaysia sudah dibina bersama tetapi adakah masing-masing sudah memiliki jati diri kewarganegaraan tanah air ini?
Nilai murni bersama boleh dipacu dengan intervensi bersesuaian. Negara kukuh jika nilai kemanusiaan dihadam bersama ke arah penyatuan dan bukan kebencian.
Etnosentrik, prasangka, diskriminasi dan bermuka-muka dengan nilai kepalsuan perlu dihentikan.
Telapak kerencaman adalah bingkai nilai budi: budi bicara, akal budi, budi bahasa, budi pekerti membentuk seorang budiman.
Wajah Malaysia memerlukan warga yang jujur pada negara; memahami ada pasang surut dan memungkinkannya adalah pemimpin dan masyarakat massa.
Kita perlu kembali kepada Rukun Negara, ‘jangan jong pecah, yu kenyang’. Dokumen ini padat dengan terjemahan ke atas nilai faham, hormat dan terima, sebagaimana kata Tun Abdul Razak sewaktu pelancarannya: "Bagaimana setiap patah prinsip Rukun Negara wajar menjadi darah daging kita.”
Tanggungjawab mengamalkan Rukun Negara itu bukan sahaja terletak pada para pelajar dan murid-murid sekolah. Anggota-anggota dewasa, ibu bapa, pemimpin kaum, guru-guru dan seterusnya orang ramai mempunyai tanggungjawab sama untuk memahami dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Kewarasan politik penting dalam navigasi perubahan dan pembaharuan. Kematangan perlu ditonjolkan tanpa berniat mengelirukan dengan tingkah laku melampau, provokasi dan bidasan tutur kata.
Kebebasan wajar ada saringan kendiri. Percantuman tanpa pengasingan dan penggabungan dengan pergaulan akan membantu.
TIADA KOMPROMI
Perwatakan dan gaya hidup boleh dibaik pulih dan memberi nilai tambah jika kesemua lima prinsip Rukun Negara menjadi amalan dan diterapkan dalam kehidupan, selari ikrar Rukun Negara atas prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Ini bertujuan untuk mencapai perpaduan; memelihara hidup demokrasi; mencipta masyarakat adil dan saksama; menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya; membina masyarakat progresif menggunakan sains dan teknologi moden.
Rohnya adalah dalam Perlembagaan. Parameter dibina jaminan kepada kedudukan agama dan kepercayaan pelbagai, institusi raja-raja sebagai ‘pelindung’, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan hak istimewa bumiputera dan hak sah kaum lain.
Walaupun wujud identiti hibrid kini, Rukun Negara tidak boleh dikompromi. Khazanah bumi yang bernama Malaysia adalah satu peninggalan untuk kita terus membina negara-bangsa yang akur dengan kepelbagaian dan kerencaman dengan acuan sendiri.
Kesatuan di bawah nama Kerajaan Perpaduan Nasional boleh membawa maksud dan makna ke atas Rukun Negara dengan penjenamaan semula, mengimbas pembentukannya dan masa depan dengan menggariskan ‘perpaduan’ melalui teladan yang datangnya daripada pemimpin.
Barangkali pendidikan menyeluruh adalah formulanya.
* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca