SHAH ALAM - Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menyebabkan mereka terpecat secara automatik sebagai wakil rakyat.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menyebabkan mereka terpecat secara automatik sebagai wakil rakyat.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, ini kerana Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti yang berkuat kuasa mulai 5 Oktober lalu hanya terpakai kepada ahli Parlimen.

Wan Junaidi

Bagaimanapun, Wan Junaidi berkata, kerajaan negeri pimpinan Hajiji sehingga sekarang belum membentangkan enakmen undang-undang anti lompat parti untuk dibahaskan dan diluluskan DUN Sabah selaras dengan apa diputuskan oleh Dewan Rakyat, sebelum ini.

"Satu persoalan timbul sekarang adalah sama ada DUN Sabah sudah meluluskan atau tidak enakmen anti lompat parti.

"Ini kerana pindaan akta anti lompat parti diluluskan Parlimen sebelum ini tidak mengikat atau melarang mana-mana ADUN daripada melompat parti," katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Santubong itu berkata, situasi berkenaan berbeza jika masalah seumpama itu berlaku di Sarawak kerana DUN sudah meluluskan enakmen anti lompat parti, baru-baru ini.

"Jika terdapat mana-mana ADUN Sarawak didapati melompat parti maka mereka secara automatik akan terpecat sebagai wakil rakyat dan satu PRK perlu diadakan semula di kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, jika DUN belum menyelaraskan dan meluluskan enakmen anti lompat parti seperti Jadual 8, Perlembagaan Persekutuan maka, tindakan ADUN Sabah itu tidak memberikan apa-apa kesan (tidak menyalahi undang-undang.

"Sebaliknya, jika pemimpin Sabah yang mengumumkan keluar dari Bersatu itu adalah seorang ahli Parlimen maka beliau akan dianggap melompat parti," katanya.

Terdahulu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah meninggalkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain pula menegaskan tindakan ADUN berkenaan melompat parti tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat kerana DUN Sabah belum meluluskan undang-undang anti lompat parti.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fauzi berkata, perkara itu tertakluk kepada keputusan Speaker DUN Sabah kerana terdapat kekeliruan mengenai definasi 'melepaskan keanggotaan parti politik' dalam pindaan Perlembagaan diluluskan Parlimen, sebelum ini.

Klik di sini untuk terus membaca