SHAH ALAM - Empat kerusi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah dalam keadaan terumbang-ambing dan menjadi tanda tanya susulan tindakan kepimpinan parti mengisytiharkan keluar Bersatu.
Bersatu Sabah mempunyai lima ahli Parlimen, dengan empat daripadanya bertanding di bawah tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) kekal bersama gabungan itu.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tindakan empat ahli Parlimen itu membawa kepada krisis baharu kerana tiada penjelasan yang tepat dalam pentafsiran peruntukan Undang-undang Anti Lompat Parti yang dilihat masih samar.
Beliau berpandangan, status kesemua ahli Parlimen terlibat perlu ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat, melainkan ada pihak yang membawanya ke mahkamah.
"Ada kesamaran dalam undang-undang ini kerana tiada tafsiran diperuntukkan dalam Perkara 160(2) mengenai ayat ‘melepaskan keanggotaan parti politik itu’, dan 'tidak lagi menjadi anggota parti politik itu' seperti yang termaktub dalam Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam kes ahli Dewan Rakyat di Sabah, apa maksud 'parti politik' menurut Undang-undang Anti Lompat Parti? Adakah gabungan parti GRS ataupun Bersatu, atau salah satu daripada keduanya?
"Ini kerana mereka dicalonkan semasa proses penamaan bertanding atas tiket GRS tetapi pada masa sama merupakan ahli parti Bersatu?” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut Wan Ahmad Fauzi, Speaker Dewan Rakyat berhak menentukan sama ada berlaku kekosongan luar jangka bagi keempat-empat kerusi Parlimen terlibat.
"Dalam peruntukan ini, pentafsiran dan penentuannya diberi kepada Speaker. Kalau berlaku lompat parti, Speaker kemudian akan hantar notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pilihan raya kecil akan diadakan.
"Bagaimanapun, sekiranya Speaker berpandangan (kerusi Parlimen) tersebut tidak perlu dikosongkan, kerana melepaskan atau tidak lagi menjadi keanggotaan parti politik itu hanya berlaku apabila meninggalkan keanggotaan GRS, maka tidak kosonglah,” jelas beliau.
Untuk rekod, Undang-undang Anti Lompat Parti berkuat kuasa bermula 5 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dengan pelaksanaan akta tersebut, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti pada atau selepas tarikh terbabit akan hilang kelayakannya.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, ahli Parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi yang disandangnya.
Wan Junaidi sebelum ini memaklumkan, Jawatankuasa Pilihan Khas memutuskan bahawa ahli Dewan Rakyat yang keluar daripada suatu parti politik dalam suatu gabungan, dan menyertai parti politik yang lain dalam parti gabungan yang sama atau berbeza, maka ahli Dewan Rakyat tersebut terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi.
Ujarnya, ini kerana keanggotaan seseorang ahli Dewan Rakyat merujuk kepada keanggotaan dalam sesebuah parti politik, tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.
Klik di sini untuk terus membaca