TIDAK sampai sebulan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pindaan akta larangan ahli Parlimen lompat parti diluluskan sidang Parlimen beberapa bulan lalu akhirnya sudah teruji. Hal ini susulan Pengerusi... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK sampai sebulan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pindaan akta larangan ahli Parlimen lompat parti diluluskan sidang Parlimen beberapa bulan lalu akhirnya sudah teruji.

Hal ini susulan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan pemimpin koalisi parti itu membuat keputusan sebulat suara keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) pada Sabtu.

Dengan keputusan mengejut itu, GRS akan dijadikan platform politik sementara empat bekas ahli Parlimen dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu Sabah termasuk Hajiji sendiri, tatkala menunggu kelulusan penubuhan sebuah parti lokal baharu.

Gerakan politik mengejut GRS itu sekali gus mengesahkan kebimbangan pakar perlembagaan bahawa pelaksanaan pindaan akta larangan Ahli Parlimen melompat parti sebenarnya mempunyai lompang kelemahan ketara.

Menurut Perkara 49A(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, seseorang ahli Dewan Rakyat boleh didefinisikan sebagai melompat parti sekiranya beliau melepaskan keanggotaan parti politiknya, ataupun tidak lagi menjadi ahli anggota parti politik tersebut.

Namun, larangan terhadap lompat parti ini bukanlah mutlak dan tertakluk kepada beberapa pengecualian.

Hal ini dinyatakan dengan jelas menerusi Perkara 49A(2) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan keahlian seseorang ahli Parlimen tidak boleh dilucutkan sekiranya beliau dipecat dan keduanya pindaan akta ini hanya menyentuh keanggotaan ahli Parlimen di peringkat individu dan merangkumi penukaran pendirian parti secara en bloc.

Berikutan itu, keputusan nekad GRS keluar PN adalah merupakan sebahagian daripada lompang kelemahan pindaan akta anti lompat parti yang dimanfaatkan pemimpin koalisi berkenaan secara bijak.

Terdapat desas-desus mengatakan terdapat gerakan untuk menjatuhkan Hajiji (kiri) bagi digantikan dengan Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah pasca pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Asas keputusan kesemua pemimpin Bersatu Sabah kecuali Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee keluar parti itu adalah disebabkan mereka bertanding pada PRU15 atas kapasiti GRS secara en bloc.

"Jadi keputusan empat ahli Parlimen Bersatu keluar parti dan duduk sementara di bawah blok GRS dilihat tidak akan melucutkan kedudukan mereka sebagai ahli Dewan Rakyat, walaupun bakal dicabar Bersatu melalui tindakan mahkamah.

"Di peringkat DUN pula, status 13 ADUN Bersatu termasuk Hajiji keluar parti juga masih terjamin walaupun mereka bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dua tahun lalu.

"Hal ini kerana pindaan akta anti lompat parti di peringkat Parlimen, masih belum dikuatkuasakan dan dipinda kerajaan negeri Sabah di peringkat enakman undang-undang negeri sehingga kini," ujar penganalisis politik daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dick Limbang Dugun kepada Sinar Premium.

Di sebalik dakwaan tindakan GRS keluar daripada Bersatu dan PN semata-mata untuk mengekalkan kuasa politik, Limbang sebaliknya berpandangan keputusan besar itu dibuat kerana pemimpin koalisi itu lebih arif situasi politik negeri-negeri Borneo Utara.

Dengan blok Sabah dan Sarawak mencakupi keterangkuman penduduk pelbagai etnik dan agama termasuk kaum bumiputera bukan Islam, GRS sedar rakyat Borneo Utara sukar menerima pendekatan PN didominasi Pas yang dilihat terlalu menekankan aspek politik agama dan ketuanan Melayu.

"Dengan PRN Sabah dijangka diadakan dua tahun lagi, GRS sedar pengekalan mereka di bawah PN akan memberi implikasi negatif penolakan pengundi negeri itu terhadap mereka.

"Rakyat Sabah lebih mahukan parti-parti lokal menekankan agenda pembangunan negeri itu di samping menuntut hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia Tahun 1963 (MA63), berbanding bermain sentimen politik semenanjung.

"Saya juga menjangkakan dinamika politik terbaharu di Sabah ini menyaksikan GRS bakal membentuk satu gabungan parti lokal negeri itu termasuk Parti Warisan (Warisan), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagaimana penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak selepas PRU14," kata Limbang lagi.

IDEA BIJAK

Hakikatnya, penubuhan GRS dari awal lagi merupakan satu idea bijak daripada bekas pemimpin UMNO yang melompat menyertai Bersatu pasca PRN Sabah tahun 2020.

Ini kerana strategi penubuhan GRS itu secara tidak langsung meneutralkan kebangkitan Warisan pasca PRU14.

Lebih menarik, koalisi itu dianggap gabungan parti lokal negeri berwajah baharu yang menjadi cerminan GPS walaupun dibiayai PN.

Bagaimanapun, pasca PRU15 menyaksikan apabila PH, BN, GPS, Warisan dan beberapa parti lokal Sabah lain bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan, jajaran baharu itu pula dilihat satu ancaman politik yang boleh menggugat kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Keputusan GRS keluar PN menyebabkan kedudukan koalisi ditunjangi Bersatu dan Pas itu di Sabah semakin sukar dan hampir lumpuh.

"Saya difahamkan terdapat gerakan untuk menjatuhkan Hajiji bagi digantikan dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berlaku pasca PRU15.

"Gerakan itu dipercayai mengambil kira kedudukan kerusi DUN BN, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua ADUN Bebas berjumlah 33 kerusi akan menyokong PH dan Warisan sebanyak 27 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri Sabah baharu.

"Situasi menekan Hajiji dan GRS itu turut dipercayai menjadi faktor utama koalisi berkenaan terpaksa keluar Bersatu dan PN.

"Bagaimanapun langkah terkini GRS itu sebenarnya membawa lembaran politik baharu Sabah yang kini kembali didominasi parti lokal," luah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar.

Pertimbangan politik terkini GRS juga secara tidak langsung bakal menyebabkan PN di Sabah lumpuh sepenuhnya.

Perkara ini disebabkan koalisi itu hanya mempunyai Ronald Kiandee sebagai wakil rakyat tunggal negeri berkenaan ketika ini.

"Saya fikir sukar untuk PN kembali bangkit mengambil alih kerajaan negeri Sabah pada masa hadapan.

"Ini disebabkan majoriti rakyat Sabah termasuk kaum bumiputera bukan Islam bukan sahaja berdepan sindrom Pasfobia pasca PRU15, bahkan PN sukar memecahkan tembok sentimen kenegerian kuat di negeri itu," tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca