SHAH ALAM - Mahkamah akan menentukan nasib empat ahli Parlimen Sabah yang mengumumkan keluar parti Bersatu mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 (Akta A1663) yang baru dikuatkuasakan pada 5 Oktober lalu. Pakar Perlembagaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mahkamah akan menentukan nasib empat ahli Parlimen Sabah yang mengumumkan keluar parti Bersatu mengikut Akta Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 (Akta A1663) yang baru dikuatkuasakan pada 5 Oktober lalu.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, sekiranya jelas dari segi perundangan mereka keluar parti, segala tindakan di bawah akta berkenaan akan terpakai.

"Soalan utama ialah sama ada mereka keluar parti atau tidak. Kalau keluar parti, undang-undang antilompat parti terpakai.

"Ini persoalan undang-undang yang perlu tafsiran mahkamah. Elok mahkamah putuskan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Akhbar ini pada Ahad melaporkan, kepimpinan Bersatu Sabah yang diketuai Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan keluar daripada parti itu setelah mengambil pertimbangan keadaan landskap politik negara ketika ini.

Akta A1663 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September lalu sebelum dikuatkuasakan pada 5 Oktober.

Akta itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu apabila 209 ahli Parlimen menyokongnya diikuti sokongan majoriti 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos.

Dalam pada itu Nik Ahmad Kamal memaklumkan, sebarang keputusan mengenai kedudukan kerusi empat ahli Parlimen tersebut sama ada perlu dikosongkan atau sebaliknya akan diputuskan speaker Dewan Rakyat.

"Keputusan itu diputuskan oleh Speaker sebab mereka adalah ahli Parlimen. Tunggu Parlimen bersidang (19 November)," ujar beliau.

Nik Ahmad Kamal turut menjelaskan, sekiranya Speaker Dewan Rakyat memutuskan empat Ahli Parlimen terlibat hilang kelayakan, maka Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu diadakan dalam waktu terdekat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Ahad menegaskan kedudukan empat ahli Parlimen yang bertanding menggunakan logo GRS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan ditentukan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Akta itu menjelaskan, ahli Parlimen perlu mengosongkan kerusi jika bertanding atas satu tiket parti dan menang, lalu melepaskan keanggotaan atau tidak lagi menjadi anggota parti berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca