SEBELUM saya membincangkan istilah ‘sanctum’, kita fikirkan dahulu etimologi istilah ‘sembahyang’ – untuk melihat bagaimana evolusi sesuatu istilah itu memberi kesan kepada hidup kita. ‘Sembahyang’ berasal daripada dua... Klik di sini untuk terus membaca

SEBELUM saya membincangkan istilah ‘sanctum’, kita fikirkan dahulu etimologi istilah ‘sembahyang’ – untuk melihat bagaimana evolusi sesuatu istilah itu memberi kesan kepada hidup kita.

‘Sembahyang’ berasal daripada dua perkataan: (i) ‘sembah’; dan (ii) ‘yang’. ‘Sembah’ ialah kelakuan menyampaikan dengan takzim serta sopan. ‘Yang’ pula bermakna ‘dewa’ atau ‘tuan’.

Dalam konteks asalnya ia membawa maksud arwah leluhur dan roh-roh penjaga alam serta semangat seperti Semangat Padi yang pernah dipuja sebelum dikaitkan dengan dewa-dewa Hindu. (https://ms.wikipedia.org/wiki/Sembahyang)

Menurut satu lagi definisi yang hampir sama, istilah ‘yang’ berkerabat dengan istilah ‘hyang’, yakni entiti spiritual atau tuhan tunggal lagi agung dalam bahasa Sunda, Kawi, Jawa, dan Bali. Makna ‘sembahyang’ ialah menyembah atau memuja ‘hyang’ yang menguasai alam semesta.

Penyebaran Islam di Asia Tenggara oleh ulama Islam melanjutkan pengungkapan ‘sembahyang’ ini kepada kegiatan ‘solat’ yang terdapat dalam agama Islam menurut sunnah Nabi Muhammad SAW. (https://profilbaru.com/word/Sembahyang)

Sekarang kita kembali ke etimologi istilah ‘sanctum’ yang mula muncul dalam penggunaan bahasa Inggeris pada dekad 1570-an. Dalam bahasa Latin ‘sanctum’ bermakna tempat yang suci atau kudus (daripada ‘quds’ dalam bahasa Arab).

Istilah ‘sanctum sanctorum’ (dalam bahasa Latin) bermakna holy of holies (dalam bahasa Inggeris) dan qodesh haqqodashim (dalam bahasa Ibrani).

RUMPUN BAHASA

Istilah ‘qodesh’ mempunyai hubungan dengan istilah ‘quds’ (dalam bahasa Arab) kerana kedua-dua bahasa Ibrani dan bahasa Arab adalah daripada rumpun bahasa Semitik.

Pada tahun 1706, ‘sanctum sanctorum’ sebagai ‘bilik atau sanggar (retreat) peribadi seseorang’ telah mula diguna secara meluas dalam bahasa Inggeris. (https://www.etymonline.com/word/sanctum)

Dalam penggunaan bahasa Inggeris moden, ‘inner sanctum’ bermakna bilik paling peribadi di mana tuannya menikmati privasi bersama-sama mereka yang akrab dengannya dan dipercayai olehnya. (https://www.oxfordlearnersdictionaries.com/definition/american_english/sanctum)

Nabi Muhammad SAW mempunyai dua kumpulan terulung yang rapat dengan baginda: (i) Semua Ummahat al-Mukminin (Ibu-ibu Mukminin) umat baginda serta keluarga mereka; dan (ii) Semua sahabat seperjuangan setia baginda.

Namun, dalam kalangan ahli keluarga serta sahabat baginda, wujud kumpulan terakrab dengannya. Saiyidatuna Khadijah binti Khuwailid dan Saiyidatuna Aisyah binti Abu Bakr RA mendapat tempat istimewa dalam jiwa baginda. Empat Khulafa' ar-Rasyidin pula merupakan peribadi yang terulung dalam kalangan para sahabat baginda; dengan Saiyiduna Abu Bakr RA ayah Aisyah RA merupakan sahabat baginda yang paling akrab.

Kebanyakan pemimpin di pelbagai peringkat dalam dunia korporat, akademia, pertubuhan dan sudah tentu siasah mempunyai ‘inner sanctum’ masing-masing. Ia merupakan satu keperluan yang tabii bagi insan yang memimpin masyarakat.

Bagi sebahagian pemimpin, ‘inner sanctum’ mereka ialah beberapa orang ahli keluarga terdekat, para rakan, penasihat serta pakar bidang.

Dalam privasi bilik inilah pemimpin dapat meluahkan perasaan semahu-mahunya di hadapan mereka yang dipercayainya. Atau, betulkah mereka benar-benar boleh dipercayai?

Inilah risiko yang dihadapi oleh pemimpin seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 (PM10), atau mana-mana Perdana Menteri yang mempunyai ‘inner sanctum’. Adakah jiwa kumpulan ‘inner sanctum’ Anwar sekental jiwa PM10? Dapatkah mereka menghayati idealisme dan aspirasi pemimpin tertinggi mereka?

Kita percaya Anwar dapat memastikan mereka ini bukanlah musang berbulu ayam yang menunggang dan membonceng sambil mengaut keuntungan daripada kafilah PM10.

Mereka mestilah bukan daripada kalangan penjaga pintu Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan sambil mengumpul duit tol bagi sesiapa yang mahu bertemu PM10.

Pencegahan lebih baik daripada rawatan bagi PM10 yang kita doakan memandiri (survives) dan memperoleh sukses dalam lima tahun ini insya-ALLAH.

* Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca