MENURUT Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar, hutan berperanan penting dalam perubahan iklim kerana hutan adalah punca dan penyelesaian bagi pelepasan gas rumah hijau. Justeru, dunia sedang berlumba ke arah sifar bersih... Klik di sini untuk terus membaca

MENURUT Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar, hutan berperanan penting dalam perubahan iklim kerana hutan adalah punca dan penyelesaian bagi pelepasan gas rumah hijau.

Justeru, dunia sedang berlumba ke arah sifar bersih karbon menjelang 2050, dengan setiap kerajaan mengambil langkah untuk menangani isu berkaitan kelestarian dan pengurusan hutan.

Kesatuan Eropah (EU) misalnya telah mempersetujui undang-undang baharu yang menghalang syarikat berkaitan komoditi daripada menjual produk seperti kopi, daging lembu, soya, minyak sawit serta koko yang dikaitkan dengan penebangan hutan di seluruh dunia, dalam pasaran blok itu.

Syarikat terbabit dikehendaki mengemukakan pernyataan bukti yang menunjukkan rantaian bekalan mereka tidak menyumbang kepada penebangan hutan sebelum barangan itu dijual dalam pasaran EU, atau mereka boleh dikenakan denda yang tinggi.

Justeru, syarikat terbabit perlu menunjukkan bila dan di mana komoditi itu dihasilkan, serta maklumat yang ‘boleh disahkan’ bahawa komoditi tersebut bukan ditanam di kawasan hutan yang ditebang selepas 2020.

Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia pula, telah mengamalkan teknik pembakaran sifar dan mengenakan larangan ke atas pembakaran terbuka pada 1998 seperti ditetapkan di bawah Amalan Pertanian Baik dan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia.

Ini bertentangan dengan tuduhan terhadap Malaysia yang telah sekian lama dikaitkan dengan penebangan hutan hujan tropika dan pembakaran tanah gambut yang menyebabkan pencemaran udara sedangkan pembakaran hutan tropika adalah dilarang oleh undang-undang Malaysia.

Dasar ini juga menyaksikan pengehadan jumlah kawasan penanaman sawit kepada 6.5 juta hektar bagi memastikan penanaman sawit mampan. Malaysia turut melaksanakan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2016-2025) sejajar dengan Sasaran Biodiversiti Aichi 2020 selain komited dalam menggalakkan pemuliharaan dan peningkatan stok karbon dalam hutan dan penggunaan tanah lain selain menyokong pertanian pintar iklim.

Tambahan pula, syarikat perladangan sawit utama termasuk Sime Darby, IOI Group dan Wilmar telah menyumbang dana untuk pemuliharaan alam semula jadi dan perlindungan spesies dengan Ladang Sime Darby misalnya telah memperuntukkan 5,779 hektar kawasan bernilai konservasi tinggi untuk perlindungan biodiversiti.

Ini bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, yang menyelar syarikat multinasional kerana mengutamakan keuntungan berbanding pemuliharaan alam semula jadi. Malah di Malaysia, penekanan seimbang diberikan dalam aspek pembangunan sosioekonomi dan pemeliharaan sumber hutan seperti yang termaktub dalam objektif Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992).

KELESTARIAN HUTAN

Hakikatnya, amalan Pengurusan Hutan Lestari telah dilaksanakan sejak 1901 lagi dengan penuaian keseluruhan kayu berdasarkan kuota yang ditetapkan setiap negeri atau pemotongan tahunan yang dibenarkan.

Sistem Pengurusan Terpilih yang diamalkan juga memastikan kelestarian hutan.

Selain itu, banyak undang-undang berkaitan telah dipinda bagi memantapkannya seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Terkini, pada Julai 2022, Parlimen meluluskan pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 dengan peningkatan hukuman.

Malaysia kini mempunyai kira-kira 18.2 juta hektar litupan hutan dan adalah menjadi aspirasi kerajaan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan hutan negara dikekalkan.

Justeru, usaha berterusan perlu dilakukan untuk melindungi hutan negara, melindungi mata pencarian masyarakat dan memudahkan pemain industri perkayuan untuk berkembang daripada penuaian kayu tradisional.

Antaranya, dengan meneruskan program menanam pokok di bawah program Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan meningkatkan kerjasama masyarakat setempat dengan mendorong mereka tampil memberi maklumat terhadap kegiatan pencerobohan hutan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca