SHAH ALAM - Keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan sokongan dua pertiga ketika usul undi percaya pada sesi Dewan Rakyat minggu depan masih belum dapat dipastikan meskipun sokongan ahli Parlimen terhadap beliau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan sokongan dua pertiga ketika usul undi percaya pada sesi Dewan Rakyat minggu depan masih belum dapat dipastikan meskipun sokongan ahli Parlimen terhadap beliau dilihat semakin meningkat.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, Ahli Parlimen Tambun itu berkemungkinan berhadapan masalah memperoleh jumlah undian diperlukan itu khususnya daripada beberapa ahli Parlimen BN.

"Tapi kita tahu sebelum ini dikatakan ada 10 ahli Parlimen BN yang tidak menyokong (pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Usul undi percaya terhadap kepimpinan Anwar akan menjadi antara agenda utama pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada ahli-ahli Parlimen, usul itu adalah yang kelapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Di atas kertas, Anwar mempunyai sokongan 148 ahli Parlimen, iaitu jumlah minimum majoriti dua pertiga sekiranya semua ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan memberikan undian secara en bloc terhadap beliau.

Ia membabitkan sokongan daripada PH yang terdiri daripada 82 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Bebas (2) serta Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua pihak harus menghormati keputusan Perdana Menteri untuk membentangkan usul undi percaya terhadapnya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian menunjukkan Anwar adalah seorang yang berani.

"Pandangan peribadi saya sangat mudah. Akhirnya dalam sistem Westminster, sesiapa sahaja boleh mengusulkan undi percaya pada bila-bila masa.

"Tetapi untuk Perdana Menteri hari ini mengadakan usul tersebut walaupun sudah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong selain sokongan gabungan besar dan beliau mahu ia dibuat daripada bawah... saya rasa kita perlu menghormati keputusannya," kata Azalina pada sidang akhbar selepas majlis penutup Forum Hari Hak Asasi Manusia 2022 pada Isnin.

Azalina berkata, Anwar mahu ahli Parlimen menunjukkan sokongan mereka kepada dirinya dan ia adalah hak prerogatifnya sebagai sebagai Ketua Majlis Mesyuarat (Ketua Dewan).

"Saya rasa beberapa perdana menteri tidak akan melakukannya. Tetapi dia (Anwar) mahu. Mungkin apabila Kerajaan Perpaduan ini bercakap tentang ketelusan dan akauntabiliti serta itulah langkahnya.

"Ahli Parlimen perlu menunjukkan sokongan kerana ini adalah Kerajaan Perpaduan yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Tidak hadir mengundi adalah satu bentuk protes

Sementara itu, sebahagian ahli Parlimen BN berkemungkinan melakukan tindakan protes dengan tidak hadir ke sesi pengundian usul percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid berkata, langkah tersebut merupakan satu tindakan penentangan pasif yang lazim digunakan bagi menyatakan pendirian menolak usul tertentu.

"Sesetengah ahli Parlimen BN berkemungkinan besar akan memilih cara penolakan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, terdapat beberapa ahli Parlimen BN yang secara terbuka menolak kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).Ini termasuklah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka siong.

Sementara itu, Kartini berkata, ketidaktentuan tahap sokongan daripada keseluruhan Ahli Parlimen BN itu sememangnya menjejaskan keupayaan Anwar bagi mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga ketika usul tersebut diundi minggu depan.

Bagaimanapun beliau berkata, kegagalan memperoleh jumlah sokongan dua pertiga itu tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

"Usul undi percaya tidak memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat. Cukup sekadar majoriti mudah. Sokongan dua pertiga majoriti hanya diperlukan jika ada usul pindaan Perlembagaan,” jelas beliau.

Kartini berkata, Anwar dilihat tidak berhadapan halangan mendapatkan majoriti mudah 112 undi untuk melepasi usul undi percaya dengan kewujudan sokongan daripada parti lain yang membentuk kerajaan seperti Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

Klik di sini untuk terus membaca