SHAH ALAM - Tiada arahan khusus diberikan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) kepada ahli Parlimen mereka supaya menyokong Perdana Menteri dalam usul undi percaya di sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini. Ahli Parlimen Jelebu,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada arahan khusus diberikan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) kepada ahli Parlimen mereka supaya menyokong Perdana Menteri dalam usul undi percaya di sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagaimanapun berkata, kesemua ahli Parlimen BN perlu mengikut keputusan yang telah ditetapkan parti.

Beliau juga yakin semua ahli Parlimen BN akan memberi sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Jalaluddin yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, selain kekangan akta antilompat parti, ahli Parlimen BN turut terikat dengan perlembagaan parti masing-masing yang melarang mereka bertindak sebagai individu melainkan dengan keputusan pucuk pimpinan.

"Jadi mana-mana yang bertindak selain daripada apa yang diputuskan oleh parti akan dikenakan tindakan,” jelas beliau kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ketika ditanya kemungkinan terdapat arahan mewajibkan ahli Parlimen BN memberi sokongan undi percaya kepada Anwar, Jalaluddin berkata, perkara tersebut tidak perlu dilakukan, sebaliknya isu berkaitan masalah rakyat harus diberi keutamaan.

"Ini bukan masanya untuk kita mendatangkan masalah di Parlimen, tetapi masa bagi membincangkan soal berkaitan masalah rakyat supaya dipulihkan dan melihat mana perlu ditambah baik.

"Saya tidak fikir kita perlu mengganggu gugat kerajaan yang telah kita sama-sama setuju tubuhkan,” ujar beliau.

PN akan bincang strategi sebelum sidang berlangsung

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan satu pramesyuarat bagi membincangkan perkara mahu dibawakan dalam persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama dua hari pada 19 dan 20 Disember ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mesyuarat yang akan diadakan sehari sebelum persidangan Dewan Rakyat itu memutuskan strategi bakal digunakan mereka.

"(Mesyuarat) mengenai bagaimana kita nak masuk ke Parlimen, apa mesej yang kita nak bawa dan keputusan-keputusan perlu kita undi nanti.

"Semua itu dalam pramesyuarat,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian pada Isnin.

Wan Saiful yang merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, beliau tidak akan menyokong usul percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

"Saya secara peribadi sudah pasti akan menolak melainkan kalau ada arahan daripada parti sebaliknya. Tetapi saya tak boleh nak bayang bahawa kita akan menyokong Anwar.

"Saya tidak ada kepercayaan terhadap Anwar dan itu hak saya sebagai ahli Parlimen,” tegasnya.

Beliau dalam masa sama turut menyatakan bahawa undi percaya pada 19 Disember ini menarik untuk ditontonkan.

"Saya memang nak tengok sangat bagaimana (Presiden UMNO) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan (Timbalan Presiden) Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengatakan mereka menyokong Anwar.

"Saya memang nak tengok sangat sebab saya nak tahu bagaimana ahli UMNO akan bertindak kepada keputusan tersebut,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca