LANGKAH DAP menjadikan anak muda bangsa Melayu sebagai alat dan tunggangan sentimen agama Melayu Islam bagi memancing undi disifatkan satu dakwaan yang mengarut. Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan bahawa ahli berbangsa Melayu... Klik di sini untuk terus membaca

LANGKAH DAP menjadikan anak muda bangsa Melayu sebagai alat dan tunggangan sentimen agama Melayu Islam bagi memancing undi disifatkan satu dakwaan yang mengarut.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan bahawa ahli berbangsa Melayu dalam DAP tidak dijadikan sebagai token atau dipergunakan oleh parti berkenaan.

Menurutnya, DAP merupakan sebuah parti pelbagai kaum di mana semua orang akan diberi peluang untuk menyertainya sekiranya mereka mempunyai potensi yang baik.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Harian, Mukhriz Mat Husin bersama Syahredzan mengupas beberapa isu berhubung pasca PRU15.

SINAR HARIAN: YB menang besar mengatasi tujuh calon lain dan memperoleh sebanyak 141,568 undi dengan majoriti 69,701. Apa rahsia kejayaan YB jika boleh dikongsikan, kerana sebelum ini Bangi diwakili Dr Ong Kian Ming daripada DAP yang menang PRU14 dengan majoriti hampir sama dengan YB?

SYAHREDZAN: Bangi ini memang kerusi yang telah dikhaskan kepada parti DAP. Berkenaan dengan rahsia sebenarnya tak ada apa-apa rahsia, saya percaya kalau kita tengok peratus yang didapati oleh Ong berbanding dengan saya sebenarnya peratusan itu telah berkurangan. Ong mendapat lebih kurang dalam 60 lebih peratus undi manakala saya cuma mendapat 50 lebih peratus undi. Jadi memang ada pengurangan. Kalau tidak silap saya pengurangan tersebut dalam tujuh ke lapan peratus.

Walaupun dari segi pure numbers (angka tulen) itu memang besar sebab kita kena tahu bahawa terdapatnya peningkatan pengundi di Bangi ini daripada sebelum ini 180,000 dah jadi kepada 300,000 pengundi. Sudah tentu dari segi pure numbers memang kita akan melihat nombor yang besar tetapi kalau kita tengok dari segi peratus itu memang ada berkurangan dan ini sudah tentu ada pelbagai faktor seperti pengundi muda, Perikatan Nasional (PN) dan sebagainya.

Perkara itu ada memainkan peranan tetapi bagaimana kita dapat mengekalkan kemenangan dengan majoriti yang selesa, pada saya ia adalah satu kesinambungan daripada apa yang telah dilakukan oleh Ong sebelum ini. Servis perkhidmatan yang diberikan oleh Ong dan juga pasukan Pakatan Harapan (PH) di Bangi ini telah menunjukkan hasil yang baik dan sebab itu kita boleh mengekalkan kemenangan kerusi Bangi ini.

SINAR HARIAN: Bangi dibelenggu oleh beberapa masalah utama iaitu banjir kilat, kesesakan jalan raya dan pengangkutan awam. Bangi memerlukan sistem jaringan jalan raya yang baik untuk melancarkan pergerakan lebih 688,000 penduduknya. Apa perancangan YB untuk memperbaiki masalah ini?

SYAHREDZAN: Memang ia isu yang sentiasa dibangkitkan oleh penduduk Bangi dan sepanjang lebih kurang dua minggu ini, selepas PRU15, apa yang saya telah lakukan ialah pergi ke banyak tempat di Bangi untuk berjumpa dengan penduduk, pihak berwajib dan sebagainya untuk memahami permasalahan yang dihadapi supaya kita dapat bersama-sama cari satu solusi bagi menyelesaikan isu-isu ini dengan melibatkan sekali pemegang taruh.

Contohnya, kalau ada isu banjir di satu taman itu, kita buatkan satu perjumpaan dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan juga penduduk tempatan supaya kita dengar daripada semua pihak dan kita cuba dapatkan satu penyelesaian.

Penyelesaian itu tidak boleh didapati dengan segera, contohnya mungkin ada banyak isu yang memerlukan penyelesaian jangka masa panjang tetapi yang penting adalah kita melibatkan sekali penduduk dalam proses ini supaya mereka juga tahu apa yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berwajib.

Ahli Parlimen ini dia sendiri tidak ada kuasa untuk mengarahkan ataupun dia sendiri tiada kuasa untuk buat itu dan buat ini, tetapi pada saya ahli Parlimen ini sebagai pemudah cara dan perantara antara penduduk dengan pihak berwajib untuk memudahkan lagi mereka berjumpa dengan pihak-pihak yang tertentu.

Kita boleh pastikan bahawa perjumpaan itu berlangsung dan sebagainya. Itu yang sebenarnya saya tekankan semasa dalam kempen saya iaitu salah satu daripada teras yang saya tekankan adalah kita nak adakan satu situasi di mana kehidupan di Bangi ini sejahtera. Jadi isu-isu seperti ini kita akan cuba selesaikan melalui penglibatan semua pihak.

SINAR HARIAN: Anak muda Melayu yang jadi calon DAP sering kali dikritik dan diperlekehkan. Mereka dikatakan hanya sebagai alat serta tunggangan sentimen Melayu dan Islam bagi memancing undi. Komen YB?

SYAHREDZAN: Saya rasa ia mengarut sebab kalau kita lihat, pada PRU15, DAP letak sembilan orang calon Melayu di Parlimen sahaja.

Di tempat-tempat yang sebelum ini mungkin kita tidak terfikir pun untuk letak calon, tetapi kita letak juga calon di Mersing dan Pontian, Johor contohnya. Begitu juga di Kuala Lipis, Pahang. Akhirnya daripada sembilan calon yang dipertandingkan bagi kerusi Parlimen, yang berjaya menang adalah tiga orang. Tetapi ia menunjukkan bahawa parti ini akan memberi peluang kepada pelapis baharu tidak kira Melayu, Cina atau India.

Kedua, dari segi pemimpin berbangsa Melayu dalam parti ini sebenarnya kita ada pelapis. Sebenarnya lapisan selepas itu kita ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sebagainya seperti Edry Faizal Eddy Yusof di DUN negeri Selangor, di DUN Johor kita ada Marina Ibrahim dan ramai lagi. Itu di peringkat DUN, ada lagi di peringkat ahli majlis.

Kita juga ramai ahli majlis berbangsa Melayu di Selangor, tempat-tempat lain dan sebagainya. Jadi ini menunjukkan sebenarnya kami bangsa Melayu dalam DAP ini bukan sebagai token atau dipergunakan. Kita sebenarnya adalah barisan kepimpinan dalam parti itu sendiri bersama-sama dengan bangsa-bangsa lain.

Kita kena ingat bahawa DAP ini parti pelbagai kaum. Sesiapa yang nak masuk boleh sertainya. Dan kita tidak sekadar perlu ada kuota untuk berada dalam parti.

Semua mempunyai peluang dan jika seseorang itu dilihat mempunyai potensi, orang itu akan diberi peluang dalam parti.

SINAR HARIAN: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui satu kenyataan baru-baru ini mendakwa DAP cuba menyebar dan mempromosikan Islamofobia dengan menampilkan ahli, calon serta pemimpin daripada wajah Melayu Islam, namun tidak boleh menghalalkan ideologinya yang bercanggah dengan Islam. Komen YB?

SYAHREDZAN: Saya tidak tahu dari mana dapat bahawa ideologi kita bercanggah dengan Islam. Kalau kita betul bertentangan dengan Islam, sudah tentu kita dah lama diharamkan tetapi sampai sekarang kita masih boleh libatkan diri dalam PRU. Kita masih lagi boleh kekalkan 40 kerusi kemenangan kita. Jadi pada saya ini semua retorik politik. Hanya kerana kita mengkritik parti beliau, mungkin beliau kata kita Islamofobia.

Saya rasa itu tidak adil, tidak betul.Pada saya, kalau kita tengok kenyataan-kenyataan yang keluar daripada pemimpin PN sejak PRU ini, tidak ada pun kenyataan bagaimana kita hendak bina semula negara, atau bagaimana hendak jadikan rakyat lebih baik. Yang diratib ialah DAP, DAP dan DAP. Adakah itu asas kepada politik mereka iaitu hanya menyebut parti lawan? Cuba bagi cadangan. Kita sudah ada kerajaan sekarang, jadilah pembangkang yang bermanfaat dan bertanggungjawab. PRU sudah habis. Jadi rakyat nak supaya kita ada satu kerajaan yang stabil.

Isu tentang kos sara hidup, gaji, mata wang, ekonomi dan sebagainya, semua ini perlu perhatian. Jadi daripada terus membawa retorik politik ini, saya harap pembangkang kita terutama sekali PN, jadilah pembangkang yang bertanggungjawab dan memberi kritikan yang membina serta cadangan bagaimana kita nak pastikan Malaysia ini boleh terus berada di landasan yang betul, terus maju dan makmur.

SINAR HARIAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dulu bermusuh dengan PKR sekarang sudahpun jadi 'kawan'. Dulu beliau melaungkan 'No Anwar, No DAP', tapi sekarang naratif baharu beliau adalah 'rakyat perlu bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama'. Bagaimana dari kaca mata YB sendiri tentang gabungan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini? Apakah ia mampu bertahan?

SYAHREDZAN: Ya, saya percaya ia mampu bertahan. Yang penting adalah kita kena ada satu pendekatan iaitu negara perlu dijadikan keutamaan. Kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi, politik dan sebagainya. Kita dalam satu situasi yang kita tidak pernah alami sebelum ini, di mana sebelum PRU15, tidak ada satu parti yang dapat majoriti.

Jadi itulah sebabnya kita melihat PH bergabung atau bekerjasama dengan BN, Gerakan Parti Sarawak (GPS) dan parti-parti lain seperti Parti Warisan. Walaupun sebelum itu kita melihat satu pertarungan yang sengit dalam PRU. Situasi seperti ini normal di negara-negara lain.

Cuma di Malaysia, ini kali pertama kita alami apa yang kita panggil sebagai kerajaan campuran selepas pilihan raya (post-election coalition government). Saya rasa ke hadapan, ia juga akan menjadi satu perkara biasa dalam politik Malaysia, yang mana setiap gabungan itu, ia ada sokongannya yang tersendiri dalam beberapa segmen.

Saya rasa rakyat pun telah terima dengan senario baru ini. Jadi itu senario luar biasa yang memerlukan dan akhirnya memungkinkan satu situasi di mana PH dan BN berada dalam satu kerajaan, walaupun sebelum itu macam yang saya cakap, keadaan agak sengit.

Pada DAP, seperti yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan, kita bekerjasama dengan BN ini untuk memastikan bahawa kita ada satu kerajaan yang stabil. Saya percaya bahawa sekiranya semua parti-parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan ini, telus dan benar-benar mahu membangunkan Malaysia, saya yakin Kerajaan Perpaduan ini dapat bertahan dalam lima tahun.

SINAR HARIAN: Berkaitan isu-isu bersifat perkauman dan dakwaan melampau yang dimainkan terutama di media sosial. Orang ramai termasuk anak muda gunakan platform media sosial. Jadi apa pandangan YB?

SYAHREDZAN: Kita lihat pada PRU lepas, memang media sosial memainkan peranan terutama sekali TikTok, di mana telah digunakan untuk menyebarkan sentimen perkauman yang melampau dan juga membahayakan.

Saya bagi contoh, selepas keputusan PRU dan sebagainya, kita tengok banyak video tentang peristiwa serta amaran tentang 13 Mei 1969. Jadi di sini saya rasa peranan platform itu sendiri penting. Contohnya, TikTok, yang mana baru-baru ini kita melihat Menteri Komunikasi dan Digital telah membuat perjumpaan dengan TikTok dan mereka telah bersetuju untuk mengeluarkan kandungan yang ada sifat-sifat ekstrem atau perkauman melampau ini.

Saya rasa ini yang perlu dilakukan. Kita kena bezakan kritikan terhadap pemimpin atau parti politik dengan hate speech (ucapan kebencian) yang mana boleh menggugat keamanan dan sebagainya. Kita raikan kritikan dan kebebasan bersuara tetapi kebebasan itu memang ada hadnya. Hadnya kalau sampai beri amaran tentang peristiwa 13 Mei atau sebarkan propaganda berbaur perkauman dan sebagainya itu tidak boleh dibenarkan. Jadi saya rasa langkah yang diambil oleh kerajaan ini adalah bertepatan dengan apa yang sepatutnya dilakukan.

SINAR HARIAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan fokus tentang penekanan tentang kos sara hidup dan harga barang selain isu ayam segar, telur dan minyak masak peket yang sukar diperolehi. Sehingga kini ada yang menyatakan kartel-kartel sukar untuk dibendung, apa pandangan YB dan penyelesaian kepada isu ini?

SYAHREDZAN: Saya rasa campur tangan daripada kerajaan itu diperlukan. Saya bukan seorang yang pakar dalam isu ini, tetapi saya percaya bahawa apa yang penting adalah terdapatnya political will (kemahuan politik) untuk melakukan sesuatu bagi memastikan kos sara hidup ini terkawal, tidak meningkat dan sebagainya.

Saya percaya dengan keutamaan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan kabinet iaitu kos sara hidup. Saya percaya bahawa barisan kepimpinan menteri ini akan mencari jalan untuk merealisasikan dan memastikan kos sara hidup itu tidak terus meningkat dan dapat dikawal. Ini termasuk apa-apa yang perlu dilaksanakan, saya percaya ia boleh dilaksanakan.

SINAR HARIAN: Keputusan PRU terbaru di Tioman dan Padang Serai. PH gagal pertahankan kerusi tiga penggal mereka dan tewas dengan majoriti lebih besar daripada yang mereka menangi sebelum ini. Adakah jajaran baharu PH dan BN ditolak oleh pengundi di sana? Komen YB?

SYAHREDZAN: Saya rasa susah untuk membuat satu kesimpulan yang terlalu simplistic (pendekatan mudah) seperti itu. Kalau kita tengok peratusan keluar mengundi di kedua-dua tempat itu adalah begitu rendah berbanding dengan peratusan keluar mengundi semasa PRU15. Jadi ia menunjukkan bahawa ada pengundi yang tidak keluar mengundi kerana mereka fikir sekarang ini sudah ada kerajaan.

Jadi untuk kita kata bahawa ini menunjukkan bahawa jajaran baharu tidak diterima, saya rasa kesimpulan itu terlalu simplistic dan tidak mengambil kira faktor-faktor yang dikatakan tadi seperti peratusan keluar mengundi.

Dan juga sememangnya ada ‘gelombang hijau’ yang melanda contohnya di Kedah sendiri dan juga negeri-negeri di kawasan utara Semenanjung yang akhirnya melihatkan bahawa kawasan-kawasan yang kita dah lama menang beberapa penggal pun seperti Alor Setar contohnya. Itu pun tumbang. Begitu juga dengan Permatang Pauh.

Jadi benda ini bukan sesuatu yang baru tetapi kalau kita tengok ia selari dengan apa yang kita lihat dalam PRU15. Ia kesinambungan sebenarnya. Jadi pada saya, sudah tentu kekalahan itu mengecewakan tetapi kita tidak boleh terlalu cepat untuk mengatakan 'oh, ini menunjukkan bahawa jajaran baharu ini tidak diterima'.

SINAR HARIAN: Pada Isnin, Anwar menegur Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang didakwa mempunyai monopoli terhadap import beras. Walaupun Anwar menegaskan bahawa beliau bukan berniat mahu merobohkan empayar Tan Sri Syed Mohktar tetapi arahan yang diberikan untuk membayar RM60 juta kepada pesawah miskin dipersetujui melalui perbincangan yang dibuat. Bagaimanapun ramai mempertikaikan mengapa hanya Syed Mohktar sahaja yang diserang sedangkan ramai lagi taikun lebih kaya di negara ini? Apa komen YB?

SYAHREDZAN: Saya rasa ini polemik politik. Macam contohnya, bila (Anwar) kurangkan (cabutan khas perjudian) daripada 22 kepada lapan kali. Adakah itu tidak mengganggu taikun-taikun judi? Masalahnya apabila perkara ini dipolitikkan, orang hanya tengok Syed Mohktar, orang tidak fikirkah kononnya kritikan ini ada niat politik. Tetapi bila (cabutan khas undi) dikurangkan daripada 22 kepada lapan, bukankah tauke judi pun akan terima kesan?

Tauke judi ini siapa? Adakah mereka berbangsa Melayu, Cina atau bangsa lain? Jadi bila kita tengok semua benda dalam lensa bangsa, padahal apa yang kita sepatutnya lihat adalah apa yang dicakap.

Apa yang mahu dicapai. Bila diminta untuk beri (bayaran) RM60 juta, itu untuk apa? Untuk menolong pesawah-pesawah miskin, Melayu. Jadi itulah masalahnya, bila semua perkara dipolitikkan. Pada saya kita kena move on (bergerak ke hadapan) daripada melihat semua isu melalui satu lensa bangsa ini. Kita nak yang terbaik untuk semua. Jadi saya tak nampak ada isu.

SINAR HARIAN: Apakah harapan YB terhadap Kerajaan Perpaduan?

SYAHREDZAN: Harapan saya juga sama dengan harapan rakyat iaitu kerajaan ini akan berkekalan sampai lima tahun. Kita tidak mahu lagi apa yang berlaku seperti Langkah Sheraton dan sebagainya. Sebab kita nak satu kerajaan yang stabil, dapat laksanakan tanggungjawab mereka sampai akhir penggal. Perkara itu dapat memberi keyakinan kepada pelabur, rakyat dan sebagainya.

Pada masa yang sama, saya juga harap bahawa kerajaan ini akan melaksanakan reformasi institusi yang mana pada akhirnya satu komponen besar dalam kerajaan ialah PH dan kita daripada dulu memperjuangkan reformasi institusi ini. Saya berharap ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan.

Saya gembira juga melihat apa yang dikatakan oleh Menteri Undang-Undang dan Reformasi, Datuk Seri Azalina Othman Said. Walaupun beliau daripada BN tetapi beliau berkata, antara fokus adalah memisahkan peranan Pendakwa Raya itu dengan Peguam Negara. Ini adalah perkara yang memang kita daripada dulu perjuangkan. Jadi saya harap ini dapat dilaksanakan. Itu harapan saya untuk Kerajaan Perpaduan.

PROFIL

Syahredzan Johan

Umur: 39 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) Cardiff University, UK

Pengalaman

- Rakan kongsi di firma guaman di Kuala Lumpur , 15 tahun pengalaman dalam kes litigasi sivil, jenayah dan Perlembagaan

- Mantan pengerusi jawatankuasa undang-undang Perlembagaan jawatankuasa peguam muda di Majlis Peguam Malaysia

Jawatan

- Ahli Parlimen Bangi (2022 sehingga kini)

- Pengerusi Biro Sosial Media DAP (2022)

- Ahli Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (2021)

- Setiausaha Politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang (2018)

Klik di sini untuk terus membaca